BOYOLALI, Indonesia: Polis Indonesia menahan dan mendakwa seorang lelaki berusia 40 tahun atas tuduhan membunuh ibu mentuanya secara terancang selepas siasatan mendapati wanita itu maut akibat diracun melalui sate ayam yang dihantar ke rumah mangsa di Boyolali, Jawa Tengah.

Kes itu mencetuskan perhatian meluas di daerah Ngemplak selepas mangsa, Allahyarhamha Aminah, 57 tahun, meninggal dunia tidak lama selepas memakan sate yang dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran Gosend pada 18 Mei lalu.

Ketua Polis Boyolali, AKBP Indra Maulana Saputra, berkata suspek dikenali sebagai Purwadi Wahyudi mengaku membeli sate ayam dan mencampurkannya dengan racun tikus sebelum menghantarnya kepada mangsa.

“Suspek mengaku membeli sate tersebut, mencampurkannya dengan racun tikus dan menggunakan aplikasi penghantaran untuk menghantar makanan itu ke rumah mangsa,” katanya dalam sidang media pada 8 Jun.

Menurut polis, Purwadi pada awalnya disiasat sebagai saksi sebelum bukti forensik dan siasatan saintifik membawa kepada penahanannya sebagai suspek utama kes pembunuhan itu.

Polis berkata kejadian terbongkar pada pagi 19 Mei apabila anak kedua mangsa, Cik Luriyanti Putri, datang ke rumah ibunya untuk meninggalkan anaknya di bawah jagaan mangsa seperti biasa.

Bagaimanapun, rumah tersebut berkunci dan lampu masih menyala.

Selepas panggilan tidak dijawab, seorang saksi dikenali sebagai BF diminta melihat keadaan dalam rumah melalui lubang pengudaraan.

Saksi kemudian melihat Allahyarhamha Aminah terbaring di lantai ruang tamu berhampiran kerusi.

“BF kemudian meminta bantuan seorang lagi saksi dan mencari pemutar skru untuk membuka pintu,” kata Indra.

Sebaik memasuki rumah, mereka menemui mangsa terbaring dengan kesan muntah di sekitar mulut dan pada pakaian.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia.

Ahli keluarga mula berasa curiga selepas mengingati bahawa Allahyarhamha Aminah sebelum itu pernah memberitahu menerima penghantaran sate ayam daripada pengirim tidak dikenali.

Menurut laporan media Indonesia, Purwadi dipercayai menggunakan akaun Gosend atas nama adik iparnya sendiri, Cik Luriyanti Putri, lengkap dengan gambar profil wanita tersebut bagi mengelakkan identitinya dikesan.

Purwadi merupakan suami kepada kakak Cik Luriyanti.

Perkara itu menimbulkan kecurigaan pemandu penghantaran kerana akaun penghantar menggunakan nama wanita tetapi individu yang ditemuinya ialah seorang lelaki.

Apabila ditanya, Purwadi mendakwa dirinya anak kepada mangsa.

Siasatan polis kemudian menemukan beberapa bukti mencurigakan.

Seorang saksi menemui lidi sate yang telah digunakan berhampiran rumah mangsa, manakala jiran mangsa mendapati beberapa ekor ayam berhampiran reban turut mati dipercayai selepas memakan sate tersebut.

Berikutan itu, polis bersama pasukan perubatan forensik Polis Jawa Tengah menggali semula kubur mangsa dan menjalankan bedah siasat pada 30 Mei.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat pembengkakan organ serta kesan sel darah merah di luar saluran darah pada otak, paru-paru, jantung, limpa dan hati mangsa.

“Pemeriksaan forensik dan makmal mengesahkan terdapat bahan kimia toksik serta racun tikus dalam tubuh mangsa,” kata Indra.

Beliau berkata penemuan itu menjadi asas utama polis menyimpulkan bahawa Allahyarhamha Aminah meninggal dunia akibat diracun.

Polis berkata mereka menggunakan kaedah Siasatan Jenayah Saintifik (SCI) dan menyoal siasat 13 saksi sepanjang penyiasatan.

Siasatan mendapati Purwadi membeli sate ayam dan lontong daripada sebuah gerai sate Madura di Kartasura sebelum menukarnya ke dalam bungkusan plastik hitam.

Menurut polis, langkah itu dipercayai dilakukan untuk mengelirukan siasatan dan mewujudkan gambaran seolah-olah makanan tersebut dihantar oleh Cik Luriyanti.

Polis turut mendapati sate yang dijual di gerai asal biasanya dibungkus menggunakan plastik putih lutsinar.

“Suspek menitis racun ke dalam bungkusan sate melalui bahagian atas ketika dalam perjalanan menuju lokasi pertemuan dengan pemandu Gosend,” kata Indra.

Pemandu penghantaran juga diarahkan memberitahu mangsa bahawa sate tersebut dihantar oleh “Mbake”, panggilan Jawa untuk kakak perempuan atau wanita lebih tua.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Boyolali, Indrawan Wira Saputra, berkata motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada rasa sakit hati suspek terhadap layanan ibu mentuanya.

Menurutnya, Purwadi yang tidak bekerja merasakan dirinya sering dipinggirkan dan tidak dihormati oleh mangsa.

“Suspek mengaku sakit hati kerana mangsa sering mengabaikan dan tidak menghormatinya,” katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati pembunuhan itu dirancang dengan teliti termasuk penggunaan akaun palsu dan usaha mengubah bungkusan makanan bagi mengelakkan syak wasangka.

Polis turut merampas pelbagai bahan bukti termasuk pakaian mangsa yang mempunyai kesan muntah, bangkai ayam, 12 lidi sate, rakaman audio, telefon bimbit mangsa dan suspek serta motosikal Honda Scoopy milik suspek.

Purwadi kini didakwa mengikut Artikel 458(1) dan 459 Kanun Jenayah Indonesia berkaitan pembunuhan terancang.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara maksimum 20 tahun. - Agensi berita