TEHERAN: Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata pada 20 Oktober Russia dan Iran tidak pernah bekerjasama seerat sekarang, ketika Moscow berusaha memainkan peranan sebagai pengantara dalam perang di Timur Tengah.

Encik Araghchi menerima kunjungan rakan sejawatannya dari Russia, Encik Sergei Lavrov, di Iran pada 19 Oktober, dalam lawatan pertama Encik Lavrov sejak pertempuran itu tercetus.

“Kami membincangkan pelbagai isu dari Eropah hingga Asia Barat, termasuk Lebanon, Palestin, Ukraine dan Yaman. Kami turut memberikan tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama ekonomi dan nuklear,” tulis Encik Araghchi di platform X.

“Sepanjang sejarah hubungan Iran dan Russia, kedua-dua negara tidak pernah bekerjasama seerat seperti sekarang,” tambah beliau.

Menjelang lawatan itu, Encik Lavrov berkata usaha Moscow “bertujuan menghalang perang besar-besaran daripada tercetus semula”, ketika rundingan antara Amerika Syarikat dengan Iran menemui jalan buntu.

Lawatannya berlangsung selepas Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, memberitahu rakan sejawatannya dari Iran, Encik Masoud Pezeshkian, pada Oktober bahawa Moscow bersedia menyumbang kepada usaha pengantaraan.

Russia dan Iran, dua negara yang paling banyak dikenakan sekatan di dunia, mengekalkan hubungan erat.

Perang di Timur Tengah tercetus pada Februari susulan serangan Amerika dan Israel ke atas Iran.

Gencatan senjata pada April dan memorandum persefahaman antara Amerika dengan Iran pada Jun gagal menghentikan pertempuran di Selat Hormuz dan kawasan sekitarnya.

Iran mendakwa menguasai laluan perairan strategik itu, yang menampung satu perlima aliran minyak dunia pada waktu aman, dan kerap menyasarkan kapal yang melaluinya tanpa kebenaran Teheran.

Sebagai tindak balas, Washington terus melaksanakan sekatan balas melalui operasi tentera laut terhadap pelabuhan Iran.

Menjelang lawatan Encik Lavrov ke Iran, Kementerian Luar Russia berkata perbincangan dijangka tertumpu kepada “usaha menangani krisis antarabangsa yang meruncing akibat pencerobohan haram Amerika dan Israel” terhadap republik Islam itu.

Kementerian itu berkata perang tersebut telah menggugat kemantapan dan keselamatan “bukan sahaja di Timur Dekat dan Timur Tengah, malah di seluruh dunia”. – AFP.