SANAA: Pemberontak Houthi di Yaman kini mara ke arah kedudukan tentera kerajaan yang disokong masyarakat antarabangsa, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan serangan ke atas Aden, ibu kota sementara negara itu.

Mengapakah Perang Di Yaman Penting?

Sejak perang saudara Yaman tercetus semula pada musim panas akibat kesan limpahan konflik Amerika Syarikat-Iran, Houthi yang bersekutu dengan Teheran menguasai banyak kawasan, menyerang kapal di Laut Merah dan Arab Saudi.

Kemaraan itu membolehkan Houthi menguasai Selat Bab el-Mandeb, laluan penting perdagangan dan tenaga dunia, serta mengepung Taiz, bandar ketiga terbesar Yaman.

Houthi kini mungkin mempertimbangkan serangan terhadap Aden, pusat pentadbiran pemerintah sejak perang bermula pada 2015 dengan sokongan pasukan tempatan dan Arab Saudi.

Serangan Houthi terhadap Arab Saudi dan kapal di Bab el-Mandeb menyukarkan kedudukan strategik Riyadh serta melonjakkan harga minyak yang sudah terjejas akibat gangguan Iran di Selat Hormuz.

Langkah itu turut mengukuhkan kedudukan Teheran dalam peperangannya dengan Amerika.

Konflik tersebut juga memburukkan krisis kemanusiaan di Yaman, negara Arab termiskin, menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Bagaimanakah Perang Saudara Yaman Bermula?

Walaupun Yaman Utara dan Selatan bersatu pada 1990, perpecahan dalaman berlarutan selama beberapa dekad.

Kebangkitan Arab Spring pada 2011 memecahbelahkan tentera dan menjatuhkan Presiden Ali Abdullah Saleh, membawa kepada peralihan kuasa yang disokong negara Teluk.

Presiden sementara Abd-Rabbu Mansour Hadi, dianggap lemah, manakala Encik Saleh mengganggu peralihan kuasa untuk kembali memerintah.

Pada 2014, pihak Houthi memasuki Sanaa dengan kerjasama sulit Encik Saleh.

Houthi dan puak pemisah selatan menolak cadangan perlembagaan baharu sebelum pihak Houthi menahan Encik Hadi dan memaksanya meletakkan jawatan pada 2015.

Bagaimanapun, Encik Hadi melarikan diri ke Aden dan menolak pemerintahan Houthi.

Arab Saudi kemudian membentuk gabungan Arab serta melancarkan serangan udara untuk mengembalikannya berkuasa.

Pertempuran sengit di Aden, Taiz dan Marib membawa kepada kebuntuan ketenteraan menjelang 2016 sehingga gencatan senjata 2022, yang bertahan sehingga musim panas tahun ini.

Siapakah Houthi Dan Mengapa Mereka Mara?

Bermula sebagai gerakan kebangkitan mazhab Zaidiyah dalam fahaman Syiah pada akhir 1990-an, kumpulan Houthi berulang kali menentang pemerintah.

Ketika pusat pemerintah Yaman berpecah pada 2011, pihak Houthi meluaskan penguasaan dan menjalin hubungan dengan Iran serta Hezbollah.

Selepas menawan Sanaa pada 2014, pihak Houthi membungkam pengkritik, menyelewengkan bantuan dan memaksa kanak-kanak menyertai tentera, lapor siasatan agensi berita, Reuters.

Houthi mendakwa mahu mengembalikan nilai al-Quran.

Sejak gencatan senjata 2022, kumpulan Houthi terlibat dalam konflik serantau bersama Iran, menyerang Israel dan kapal Laut Merah antara 2023 dengan 2025 berhubung perang Gaza.

Susulan serangan Amerika-Israel terhadap Iran pada 28 Februari, kumpulan Houthi kembali menyasarkan kapal, lapangan terbang serta kemudahan tenaga Arab Saudi.

Houthi semakin kuat sejak perang saudara bermula, mara pantas di Laut Merah pada September dan menguasai kawasan yang semakin meluas di Taiz.

Sebahagian kejayaan Houthi berpunca daripada perpecahan pihak pemerintah, selain kerjasama dengan penasihat Hezbollah dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, kata sumber kanan Iran.

Senjata mereka kini lebih canggih, termasuk dron dan peluru berpandu pemasangan tempatan yang mampu menyerang sasaran jauh.

Siapakah Penyokong Pemerintah Dan Mengapakah Mereka Kehilangan Kawasan?

Walaupun pemerintah Yaman berpusat di Aden, ramai pemimpinnya bertugas dari Arab Saudi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktirafnya sebagai pemerintah yang sah.

Pada 2022, Encik Hadi diketepikan dan digantikan dengan Majlis Kepimpinan Presiden yang diketuai Encik Rashad al-Alimi, bagi meredakan perpecahan mendalam dalam kalangan kumpulan anti-Houthi.

Di Marib dan al-Jawf, pasukan penyokong pemerintah yang didukung Riyadh mempunyai hubungan dengan Parti Islah, cabang Ikhwanul Muslimin di Yaman yang ditentang Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Di selatan, gabungan tentera berpecah antara puak pemisah, Salafi Sunni dan kumpulan lain.

Perpecahan Arab Saudi-UAE pada Disember lalu memburukkan keadaan, sedangkan kedua-duanya sebelum ini membiayai dan melatih pasukan anti-Houthi.

Usaha Riyadh mendapatkan sekutu lain gagal.

Amerika enggan terlibat secara langsung, manakala Turkey, Pakistan dan Mesir hanya menjanjikan sokongan pertahanan. – Agensi berita.