Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia peroleh perintah mahkamah kawal Telegram

Jun 19, 2025 | 3:59 PM
M’sia, perintah mahkamah, Telegram
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) fail tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram yang menyebarkan kandungan melanggar undang-undang dan menggugat ketenteraman awam. - Foto hiasan KOSMO!

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram, ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’ yang dikenal pasti menyebarkan kandungan yang berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam Malaysia, serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.

Tindakan itu merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial khususnya kerana Telegram merupakan pemegang Lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang dikuatkuasakan sejak Januari 2025.

Menurut SKMM, Telegram sebagai pemegang lesen berkenaan telah melakukan kegagalan serius untuk menangani kandungan yang telah berulang kali dilaporkan kepada SKMM, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan oleh suruhanjaya itu.

“Berikutan tahap pematuhan yang tidak memuaskan, SKMM telah memohon dan berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi sebagai langkah terakhir bagi menghentikan penyebaran kandungan memudaratkan tersebut serta menghalang penerbitan semula kandungan seumpamanya.

“Tindakan ini diambil demi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus dilindungi,” kata SKMM dalam kenyataan pada 19 Jun.

SKMM berkata pihak Telegram akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi.

“SKMM sebagai badan kawal selia ingin mengingatkan bahawa semua penyedia platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing,” katanya.

Saluran ‘Edisi Khas’ dan ‘Edisi Siasat’ berkenaan sering berkongsi maklumat daripada orang awam berkait dakwaan salah laku, amalan rasuah atau kegiatan tidak bermoral membabitkan penjawat awam terutama anggota dan pegawai penguat kuasa.

Sebelum ini Kerajaan Malaysia menetapkan, bermula Januari 2025 semua platform media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna diperlukan mempunyai lesen untuk beroperasi di Malaysia.

Ia termasuk WhatsApp, Facebook, Instagram, YouTube, Telegram, WeChat dan TikTok.

Sementara itu Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Encik Siraj Jalil, berkata perintah injunksi interim itu akan membolehkan SKMM mengambil tindakan lanjut terhadap Telegram termasuk menerusi badan antarabangsa sekiranya platform itu terus gagal mematuhi undang-undang yang termaktub di bawah Lesen Perkhidmatan Aplikasi itu.

Beliau berkata ketiadaan pejabat Telegram di Malaysia menyukarkan SKMM untuk mengarahkan tindakan menutup akaun atau menurunkan kandungan yang dikesan menyalahi undang-undang, berbeza dengan beberapa platform lain seperti Facebook (Meta) dan TikTok, yang mempunyai pejabat urusan di Malaysia.

“Menerusi perintah injunksi interim ini, Telegram perlu mematuhi arahan SKMM supaya mengambil tindakan menutup akaun atau menurunkan kandungan ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’ di platform itu.

“Langkah ini berikutan Telegram tidak mempunyai pejabat urusan di Malaysia. Justeru, proses mahkamah akan memudahkan SKMM mengambil tindakan perundangan lanjut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg