Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

NOTA DARI KL

M’sia lokasi terbaik jalani usia bersara?

Jul 21, 2023 | 05:36 PM



Rata-rata kita mula ‘bekerja’ seawal usia lima tahun sebaik melangkah kaki ke alam prasekolah dengan disajikan pelbagai tugasan atau kerja rumah oleh guru.

Menjengah remaja pada usia 18 tahun, mereka mula meninggalkan alam persekolahan dan bermulalah fasa baru yang lebih rumit serta mencabar di kolej atau universiti. Kemuncaknya adalah tatkala memasuki alam pekerjaan sebenar yang memerlukan bukan sedikit pengorbanan, tetapi menjangkau masa lebih tiga dekad hanya untuk bekerja.

Dengan mengambil kira umur persaraan pada usia 60 tahun, sudah pasti setiap ‘pekerja’ mengimpikan masa persaraan dihabiskan dengan perkara yang menggembirakan hati.

Antara yang difikirkan sebaik tiba waktu persaraan adalah simpanan yang mencukupi untuk mengharungi kehidupan sebagai warga emas, insurans kesihatan sebagai pelindung pada waktu kecemasan selain tempat ‘istirahat’ yang tenang dan mendamaikan jiwa.

Berbanding masyarakat Eropah yang suka mengembara ke serata pelosok dunia sebaik bersara daripada alam pekerjaan, budaya masyarakat Malaysia agak berbeza dan unik.

Paling utama selepas menamatkan perkhidmatan adalah mencari lokasi yang lebih tenang daripada hiruk-pikuk dan kesibukan kota. Apatah lagi mereka yang bekerja di bandar raya besar seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur atau Pulau Pinang.

Sudah pasti tidak mahu lagi melihat deretan kenderaan mundar-mandir di depan mata, masa dihabiskan dengan hidup bersama pendingin hawa akibat bahang ‘hutan batu’ yang melangit dan menghirup asap monoksida yang beracun.

Penulis yakin kebanyakan penghuni kota berasal dari pedalaman atau kampung. Mereka mula berhijrah ke bandar besar metropolitan hanya untuk bekerja dengan ganjaran gaji lumayan berbanding kembali semula ke kampung halaman.

Sudah pasti apabila khidmat mereka tidak lagi diperlukan majikan atau mencapai tempoh untuk bersara, perkara pertama berada dalam benak fikiran adalah kembali semula ke kampung halaman.

Baru-baru ini, syarikat perkhidmatan kewangan yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Nasdaq, melaporkan Malaysia dianggap sebagai tempat persaraan terbaik di Asia selepas disenaraikan di kedudukan pertama dalam 10 tempat paling selamat untuk bersara dengan perbelanjaan kurang daripada AS$2,000 ($2,648) sebulan.

Menurut Nasdaq, GoBankingRates menyenaraikan Malaysia selepas memperoleh data daripada Kumpulan Rantau Asia Pasifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) WorldPopulationReview.

Ia juga memperoleh angka kos sara hidup daripada Numbeo dan Indeks Keamanan Global daripada Laporan Indeks Keamanan Global Institut Ekonomi dan Keamanan 2022. Nasdaq juga sudah menetapkan bahawa negara itu perlu mempunyai indeks keamanan global di bawah 2.0 untuk melayakkannya disenaraikan.

Hasilnya, Malaysia mendahului senarai dengan indeks keamanan global 1.471 dan purata kos sara hidup bulanan AS$1,066.

Kuwait di tempat kedua dengan indeks keamanan global 1.739 dan purata kos sara hidup bulanan AS$1,741. Menyusul senarai negara itu ialah Mongolia, Vietnam, Indonesia, Jordan, Kemboja, Oman, Cyprus dan terakhir dalam senarai itu ialah Nepal.

Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama Malaysia mendahului carta sebagai pilihan lokasi paling ideal untuk bersara. Pada 2018, Malaysia pernah tersenarai di kedudukan pertama kategori sama dalam kalangan negara Asia berpandukan Retirement Index baru daripada International Living.com.

Melihatkan kelebihan dan keunikan Malaysia ini, penulis juga yakin ramai dalam kalangan penduduk di negara jiran termasuk Singapura sebagai tetangga yang paling dekat, turut membeli aset hartanah di Malaysia yang mungkin kini dijadikan ‘rumah persinggahan’ atau sebagai lokasi terbaik untuk bersara kelak.

Penulis melihat kemungkinan muncul trend baru dengan memilih Malaysia sebagai lokasi persaraan selepas ini lantaran Singapura baru-baru ini dilaporkan julung kali direkodkan sebagai bandar termahal untuk kategori barangan dan perkhidmatan bagi golongan kaya, mengatasi Hong Kong, London dan New York.

Dasar kerajaan Malaysia yang menggalakkan warga asing menjadikan Malaysia sebagai ‘rumah kedua’ juga sebenarnya dilihat turut membantu merancakkan sektor hartanah. Namun, sudah pasti harga ditawarkan jauh lebih besar tetapi jika wang bukan alasan, penduduk seluruh dunia berpeluang menghabiskan usia persaraan mereka di sini.

Sebagaimana pandangan dikongsikan Ahli Antropologis dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sarjit S Gill, kos sara hidup yang murah, masyarakat Malaysia yang berbilang etnik, kos perubatan yang rendah dan destinasi sukan yang baik menarik minat orang luar untuk tinggal di Malaysia.

“Masyarakat Malaysia yang berbilang etnik, peramah dan suka membantu dalam apa jua keadaan. Kepelbagaian adalah kekuatan Malaysia yang menjadi tarikan orang luar untuk menetap di Malaysia termasuk menghabiskan hari tua di sini.

“Malaysia juga adalah destinasi sukan yang baik, ramai ‘foreigner’ suka beriadah dengan bermain golf dan ia amat murah di Malaysia berbanding Jepun, Korea Selatan dan China,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata dua perkara penting yang perlu diberikan perhatian ialah lambakan penduduk bakal menyumbang berlakunya kesesakan jalan raya yang sukar dielakkan khususnya di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan tidak mustahil kawasan luar bandar yang asalnya damai juga boleh bertukar sesak.

“Sudah tentu soal keselamatan diri dan indeks jenayah juga perlu diberikan perhatian. Tak mahulah apabila Malaysia popular sebagai lokasi persaraan paling ideal, kes-kes jenayah pula meningkat sehingga menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Jika ada yang masih ingat, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah memperkenalkan Dasar Kependudukan Negara pada pertengahan 1980-an dengan harapan Malaysia mencapai 70 juta penduduk pada 2100.

Dasar yang digubal ini diharap akan melahirkan penduduk yang bukan saja besar dari segi saiznya, malah penduduk yang memiliki sifat rajin, produktif dan berintegriti dan akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara khususnya dalam bidang eksport.

Apapun, penulis amat berbangga menjadi rakyat Malaysia. Keindahan alam yang masih menghijau dan terpelihara, pesisir pantai yang bersih dan tanah tinggi yang nyaman mungkin sukar diperoleh di tempat lain khususnya negara maju.

Selain itu, dengan keramahan penduduk, kemudahan teknologi yang terbaik, kemudahan asas sempurna, jaringan insfrastruktur termasuk status lebuhraya antara terbaik di dunia, kali ini penulis amat bersetuju dan bangga dengan hasil laporan dikeluarkan Nasdaq!




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >