JAKARTA: Parlimen Indonesia dijangka mengundi pada 18 Februari bagi usul meminda undang-undang perlombongan negara untuk meningkatkan pembangunan industri pemprosesan mineral domestik dan mengawal permit perlombongan yang diberikan kepada kumpulan agama dan universiti.
Pindaan itu bertujuan menggalakkan penyertaan perniagaan berskala kecil dalam sektor perlombongan dan memastikan keselamatan bekalan bijih untuk industri pemprosesan mineral.
Langkah itu diambil ketika Indonesia yang kaya dengan sumber alam giat berusaha untuk memajukan sektor logam domestiknya.
Draf Rang Undang-undang telah diluluskan dalam mesyuarat pada 17 Februari antara Parlimen dengan pemerintah.
Ia dijangka disahkan secara rasmi dalam undian yang lebih luas semasa mesyuarat pleno pada 18 Februari.
Undang-undang perlombongan baru akan memberi keutamaan akses kepada konsesi perlombongan bagi syarikat yang bertujuan menyediakan kemudahan pemprosesan.
Kumpulan agama dan universiti, melalui unit perniagaan di bawah kawalan mereka, juga akan diberi keutamaan akses ke kawasan perlombongan tertentu untuk memberi mereka sumber pendapatan.
Sebelum ini, keutamaan sedemikian hanya diberikan kepada syarikat milik pemerintah.
“Pindaan kepada undang-undang ini juga memberi kita kepastian semasa kita cuba menyusun semula pelesenan perlombongan kami,” kata Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Encik Bahlil Lahadalia dalam mesyuarat pada 17 Februari.
Semakan undang-undang itu juga untuk memenuhi perintah mahkamah perlembagaan 2021 untuk menyemak beberapa artikel berkaitan perlombongan yang dikatakan mahkamah tidak berperlembagaan.
Langkah pemerintah mengeluarkan peraturan membenarkan pertubuhan agama seperti Nahdlatul Ulama (NU) menguruskan aset perlombongan, disifatkan oleh pengkritik sebagai ganjaran kepada kumpulan agama atas sokongan politik mereka.
Encik Bahlil sebelum ini dipetik sebagai berkata keputusan itu adalah tindak balas kepada “aspirasi” daripada pelbagai individu dan organisasi yang didakwanya mengadu kepada Presiden mengenai konsesi perlombongan yang diberikan kepada syarikat asing.
Beliau juga berkata ia adalah satu bentuk penghargaan kepada pertubuhan itu yang berada di barisan hadapan sepanjang perjuangan kemerdekaan negara.
“Organisasi massa mempunyai entiti perniagaan bebas, sebagai contoh NU, yang mempunyai perbadanan yang kami berikan konsesi perlombongan,” kata Encik Bahlil. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg