Pemeriksaan Nipah di lapangan terbang tidak berasaskan sains

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemeriksaan Nipah di lapangan terbang tidak berasaskan sains

Jan 31, 2026 | 9:58 PM

Pemeriksaan Nipah di lapangan terbang tidak berasaskan sains

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Penumpang menjalani pemeriksaan suhu badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, berhampiran Jakarta, Indonesia. Langkah itu dilaksanakan susulan pengesahan dua kes maut virus Nipah di India.
Penumpang menjalani pemeriksaan suhu badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, berhampiran Jakarta, Indonesia. Langkah itu dilaksanakan susulan pengesahan dua kes maut virus Nipah di India. - Foto REUTERS

Langkah pemeriksaan di lapangan terbang bagi virus Nipah yang dipertingkatkan di beberapa negara Asia minggu ini, susulan pengesanan dua kes di India, dilihat lebih bertujuan memberi jaminan dan keyakinan kepada orang ramai.

Beberapa pakar terkemuka berpandangan pendekatan berasaskan sains bagi mengekang penularan virus berkenaan akan lebih berkesan.

Beberapa negara termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia dan Pakistan melaksanakan pemeriksaan suhu badan di lapangan terbang selepas India mengumumkan penemuan dua kes virus Nipah yang membawa maut di Bengal Barat.

Kementerian Kesihatan negara berkenaan menyifatkan langkah itu sebagai tindakan berjaga-jaga bagi menangani ancaman penyakit berkenaan.

Virus Nipah ialah jangkitan zoonotik yang merebak daripada haiwan kepada manusia melalui sentuhan rapat dengan haiwan dijangkiti, pengambilan produk tercemar, serta penularan antara manusia melalui air liur dan perkumuhan.

Simptom termasuk demam, batuk, sawan dan kekeliruan, dengan tempoh inkubasi antara lima hingga 14 hari.

Virus itu boleh membawa maut sehingga 75 peratus kes, namun penularannya antara manusia adalah terhad.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan ia tidak mengesyorkan pemeriksaan di lapangan terbang ketika ini, selain menilai risiko penularan virus dari India sebagai rendah.

“Berdasarkan apa yang kita ketahui setakat ini, kebarangkalian wabak ini mencetuskan epidemik antarabangsa berskala besar adalah sangat rendah,” kata Dr Md Zakiul Hassan, pakar Nipah di sebuah pusat penyelidikan penyakit cirit-birit antarabangsa (ICDDR) di Bangladesh yang terlibat dalam pemantauan kes Nipah hampir setiap tahun.

Profesor Piero Olliaro, pakar penyakit berkaitan kemiskinan di Universiti Oxford, berkata pemeriksaan di lapangan terbang bagi penyakit jarang berlaku seperti Nipah berkemungkinan tidak berkesan.

“Negara kadangkala melaksanakannya sekadar untuk menunjukkan tindakan diambil bagi meyakinkan rakyat mereka dilindungi,” katanya.

Olliaro dan pakar kesihatan awam lain berkata pemeriksaan suhu di lapangan terbang jarang berkesan dalam membendung penularan penyakit.

Semasa COVID-19, misalnya, kajian menunjukkan langkah itu gagal mengesan sebahagian besar kes.

Selain itu, demam boleh berpunca daripada pelbagai penyakit, manakala ujian susulan bagi penyakit jarang seperti Nipah memakan masa, tambah pakar.

Sehubungan itu, tumpuan sedunia terhadap Nipah wajar diberikan kepada pemahaman virus di kawasan terjejas serta perlindungan golongan berisiko melalui pembangunan vaksin dan rawatan baru.

“Ada individu yang menderita akibat penyakit ini dan mereka wajar diberi perhatian,” kata Profesor Olliaro.

Beliau menambah, langkah itu turut penting bagi menghadapi sebarang risiko pandemik pada masa hadapan sekiranya virus berkenaan bermutasi dan menjadi ancaman antarabangsa.

“Kesediaan bermakna kita memiliki alat yang diperlukan sejak awal, bukan mencarinya selepas semuanya sudah terlambat,” katanya. - REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg