Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemimpin baru Hamas tuntut gencatan senjata kekal, pengunduran penuh Israel
Pemimpin baru Hamas tuntut gencatan senjata kekal, pengunduran penuh Israel
Pemimpin baru Hamas tuntut gencatan senjata kekal, pengunduran penuh Israel
GAZA: Ketua baharu Biro Politik Hamas, Encik Khalil al-Hayya, menggariskan keutamaan pentadbiran baharunya dengan menuntut gencatan senjata kekal, pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza serta pembinaan semula wilayah itu, sambil menegaskan penubuhan sebuah negara Palestin merdeka akan diteruskan.
Dalam ucapan sulungnya selepas dipilih mengetuai Hamas, Encik al-Hayya berkata keutamaan paling mendesak ketika ini ialah menghentikan serangan Israel di Gaza, menamatkan penderitaan rakyat Palestin dan memastikan penduduk dapat kembali menjalani kehidupan yang bermaruah.
Beliau turut berikrar untuk mempercepatkan usaha pembinaan semula Gaza, membebaskan tahanan Palestin di penjara Israel, menolak sebarang usaha memindahkan penduduk Palestin keluar dari Gaza serta memperkukuh perpaduan antara Gaza, Tebing Barat dan Baitulmakdis.
“Kami akan terus berusaha dalam setiap cara bagi mengurangkan penderitaan rakyat kami dan mengembalikan kehidupan yang bermaruah kepada penduduk Gaza,” katanya dalam ucapan yang disiarkan televisyen Al-Aqsa TV pada 22 Julai.
Encik Al-Hayya dipilih sebagai ketua baharu Biro Politik Hamas oleh Majlis Syura Pergerakan itu pada 20 Julai selepas menewaskan bekas ketua politik Hamas, Khaled Meshaal, dalam pusingan akhir pemilihan.
Beliau menggantikan Encik Yahya Sinwar yang terbunuh dalam operasi tentera Israel di Gaza pada 2024.
Selepas kematian Encik Sinwar, Hamas dikendalikan oleh sebuah majlis kepimpinan lima anggota yang turut dianggotai Encik al-Hayya.
Dalam ucapan sulungnya, Encik al-Hayya menyifatkan pelantikannya sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul bagi meneruskan perjuangan rakyat Palestin.
“Keutamaan pertama dan paling jelas ialah menghentikan sepenuhnya pencerobohan, pembunuhan dan keganasan oleh pendudukan Israel serta memastikan pengunduran sepenuhnya dari Jaluran Gaza,” katanya.
Beliau menegaskan Gaza akan terus menjadi sebahagian daripada Palestin dan menolak sebarang cadangan yang menjejaskan hak rakyat Palestin, termasuk hak menentukan nasib sendiri serta penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara.
Menurut Encik al-Hayya, matlamat itu kekal selaras dengan dokumen dasar Hamas yang diperkenalkan pada 2017.
Dalam ucapannya, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada penduduk Gaza yang menurutnya terus tabah menghadapi peperangan dan kemusnahan.
“Kami mengetahui betapa besarnya penderitaan yang kamu alami.
“Kamu tinggal di khemah dan rumah yang musnah. Bumi menjadi tempat tidur dan langit menjadi bumbung kamu.
“Ada hari-hari kamu tidak mempunyai makanan untuk diberikan kepada anak-anak yang menangis kelaparan,” katanya.
Beliau berkata pembinaan semula Gaza merupakan hak rakyat Palestin dan bukan ihsan mana-mana pihak.
“Pembinaan semula adalah hak mutlak rakyat kami. Ia bukan hadiah atau pemberian sesiapa dan tidak boleh dijadikan syarat dalam sebarang tawar-menawar politik atau konsesi,” katanya.
Selain pembinaan semula Gaza, Encik al-Hayya berkata Hamas akan terus berusaha membebaskan tahanan Palestin yang dipenjarakan Israel.
“Kami akan terus berusaha membebaskan para tahanan, menamatkan penderitaan mereka dan memastikan mereka memperoleh kehidupan yang setimpal dengan pengorbanan mereka,” katanya.
Beliau turut menghulurkan tangan kepada semua kumpulan politik Palestin bagi memulakan dialog nasional demi memperkukuh perpaduan.
“Kami menghulurkan tangan kepada semua parti dan kumpulan Palestin untuk bersatu di bawah satu program nasional yang dipersetujui bersama,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) serta mengeratkan hubungan strategik dengan negara Arab dan Islam.
Dalam ucapannya, Encik al-Hayya turut memberi penghormatan kepada rakyat Palestin di Baitulmakdis, Tebing Barat, kem pelarian dan diaspora yang menurutnya terus mempertahankan hak mereka walaupun berdepan tekanan berterusan.
Beliau juga menyeru anggota Briged Al-Qassam serta penyokong Hamas supaya meneruskan legasi yang ditinggalkan pemimpin terdahulu, termasuk Sheikh Ahmed Yassin, Abdul Aziz al-Rantisi, Ismail Haniyeh, Yahya Sinwar, Mohammed Deif dan Saleh al-Arouri.
Menyentuh usaha diplomatik, al-Hayya mengucapkan penghargaan kepada Mesir, Qatar dan Turkey atas peranan mereka sebagai pengantara dalam rundingan gencatan senjata.
“Kami menghargai segala usaha yang dilakukan oleh Mesir, Qatar dan Turkey bagi menghentikan pertumpahan darah di Gaza,” katanya.
Beliau turut menggesa negara yang menjadi penaja rundingan supaya meningkatkan tekanan terhadap Israel bagi melaksanakan sepenuhnya perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini.
“Kami menyeru negara penaja rundingan supaya memberikan tekanan sebenar kepada pemerintah Israel agar melaksanakan semua perkara yang telah dipersetujui dan meneruskan fasa rundingan seterusnya,” katanya.
Encik Al-Hayya bagaimanapun tidak menyebut peranan Amerika Syarikat dalam ucapannya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Iran, Yaman, Lebanon dan Iraq yang menurutnya memberi sokongan kepada rakyat Palestin sepanjang konflik berlarutan.
Kepada masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik al-Hayya menggesa tindakan lebih tegas bagi melindungi orang awam di Gaza.
“Nilai keadilan dunia akan runtuh sekiranya kanak-kanak di Gaza terus gagal dilindungi dan penjenayah perang Israel tidak dipertanggungjawabkan,” katanya.
Sementara itu, pegawai kanan Hamas, Encik Osama Hamdan, berkata pemilihan Encik al-Hayya membuktikan kesinambungan institusi Hamas serta komitmen pergerakan itu untuk meneruskan usaha menentang pendudukan Israel.
Beliau berkata Hamas akan terus berusaha mempertahankan hak rakyat Palestin serta mencapai matlamat penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka melalui perpaduan nasional dan usaha diplomatik. - Agensi berita