Penggunaan ganja dalam kalangan kanak-kanak cetus kebimbangan di Thailand

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penggunaan ganja dalam kalangan kanak-kanak cetus kebimbangan di Thailand

Industri ganja pernah dilihat sebagai penyelamat ekon Thailand selepas Covid-19
Jan 22, 2026 | 1:57 PM

Penggunaan ganja dalam kalangan kanak-kanak cetus kebimbangan di Thailand

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Thailand, weed, children, ganja, dasar ganja, penyelamat ekonomi,  ancam keselamatan awam
Beribu-ribu kedai di dapati menjual gula-gula jeli dan manisan bercampur ekstrak ganja di seluruh Thailand. - Foto ST

BANGKOK: Industri ganja pernah dilihat sebagai penyelamat ekonomi Thailand selepas kemerosotan akibat pandemik Covid-19, namun perkembangan sektor yang tidak terkawal telah mencetuskan reaksi awam yang semakin negatif.

Keadaan itu kini membuka kemungkinan ganja sekali lagi diklasifikasikan sebagai dadah terlarang selepas pilihan raya pada Februari.

Thailand menjadi negara Asia pertama yang menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya dan membenarkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah. 

Langkah itu disokong secara meluas, dengan orang ramai diberitahu bahawa negara itu akan muncul sebagai hab bekalan serantau ganja untuk tujuan perubatan dan sekali gus mengembangkan sektor pelancongan kesihatan dan mewujudkan tanaman komersial baru untuk petani.

Dalam tempoh beberapa bulan, sasaran tersebut sebaliknya telah mencetuskan peningkatan mendadak penggunaan secara rekreasi, termasuk dalam kalangan kanak-kanak.

Beribu-ribu kedai didapati menjual gula-gula jeli dan manisan lain yang mengandungi ekstrak ganja.

Doktor memberi amaran tentang peningkatan kemasukan ke hospital dan negara asing mengadu tentang peningkatan penyeludupan dadah, khususnya ganja.

Kajian juga menunjukkan peningkatan penggunaan rekreasi ganja dalam kalangan kanak-kanak sekolah.

“Ia menjadi tidak terkawal dan telah memberi impak negatif yang besar, terutamanya kepada kanak-kanak dan golongan muda di bawah umur 25 tahun,” kata Encik Yodsakorn Khunphakdee, penyelaras Rangkaian Belia Menentang Ganja.

Kumpulannya telah mengemukakan petisyen kepada Kementerian Kesihatan Awam pada 2025 dengan 200,000 penandatangan menggesa agar ganja kembali dijadikan kesalahan dadah.

Walaupun pihak berkuasa menyatakan dasar itu bertujuan untuk kegunaan perubatan, namun kekurangan peraturan yang jelas mewujudkan keraguan.

Dr Patraporn Kinorn, seorang doktor pakar psikiatri kanak-kanak, berkata beliau melihat peningkatan bilangan pesakit muda yang ketagih ganja.

Belia menggunakan ganja untuk merawat kemurungan, tetapi mendapati keadaan mereka semakin teruk, katanya dalam seminar tentang penyakit berkaitan ketagihan ganja di Bangkok pada awal Januari.

Satu kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Thailand, yang diterbitkan pada 2024, menunjukkan bilangan orang yang menggunakan ganja untuk tujuan rekreasi meningkat hampir 10 kali ganda daripada 1.2 juta pada 2020 kepada 11.1 juta pada 2022.

Mereka yang mengambilnya atas sebab perubatan meningkat daripada 430,000 kepada hanya 540,000 dalam tempoh yang sama.

Lebih dua pertiga rakyat Thailand yang ditinjau pada 2024 mahu ganja dikelaskan semula sebagai narkotik, menurut Institut Pentadbiran Pembangunan Negara.

Perdana Menteri, Encik Anutin Charnvirakul, pernah dipuji sebagai ‘Raja Kanabis’ kerana memperjuangkan ganja dalam kempen pilihan raya untuk kegunaan perubatan dan sebagai tanaman komersial. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg