WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah membatalkan lebih 300,000 visa Amerika sepanjang penggal kedua beliau.

Demikian menurut Jabatan Negara pada 20 Oktober, ketika pemerintah persekutuan terus mempergiat tindakan tegas besar-besaran mengekang kebanjiran imigran.

Angka itu menunjukkan kadar pembatalan visa semakin meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Dalam laporan terkini pada 10 Ogos, Jabatan Negara memaklumkan lebih 175,000 visa telah dibatalkan sejak penggal kedua Encik Trump bermula pada Januari 2025.

Menurut Encik Trump, tindakan tegas terhadap imigresen dan usaha mengusir pendatang oleh pentadbirannya bertujuan meningkatkan keselamatan dalam negara.

Aktivis hak asasi manusia berkata tindakan itu mencabuli hak terhadap proses perundangan yang adil dan kebebasan bersuara, selain mewujudkan persekitaran tidak selamat, terutama bagi etnik minoriti yang bimbang menjadi sasaran berdasarkan kaum.

Ketika mengumumkan angka terkini itu di X, jurucakap Jabatan Negara, Encik Tommy Pigott, berkata pentadbiran Encik Trump “telah membatalkan lebih banyak visa dengan lebih pantas berbanding mana-mana pentadbiran dalam sejarah”.

Encik Pigott berkata pentadbiran itu “tidak akan bertolak ansur dengan warga asing yang berada di negara ini menggunakan visa tetapi melanggar undang-undang, melakukan penipuan atau mengancam keselamatan negara kami”.

Antara pembatalan visa yang dikecam hebat oleh aktivis hak asasi manusia melibatkan penunjuk perasaan warga asing yang menyokong Palestin dan membantah serangan Israel, sekutu Amerika, terhadap Gaza, serta warga asing yang mengulas pembunuhan pengulas politik konservatif, mendiang Charlie Kirk, di media sosial.

Selain cuba mengusir penunjuk perasaan warga asing, pentadbiran Encik Trump turut memperketat pemeriksaan media sosial terhadap pendatang dan pemohon visa.

Aktivis hak asasi manusia berkata pemerintah menggunakan alasan keselamatan negara untuk menyasarkan pengkritik, serta kes penipuan terpencil untuk menyasarkan masyarakat pendatang secara meluas, termasuk masyarakat Amerika berketurunan Somalia di Minnesota.

Walaupun Encik Trump berkempen pada 2024 dengan janji menghentikan imigresen haram, pentadbirannya turut menyukarkan imigresen sah, antaranya dengan mengenakan bayaran tinggi bagi visa pekerjaan tertentu. – Agensi berita.