ADEN: Konflik di Yaman semakin memuncak apabila tentera pemerintah melancarkan serangan terhadap kedudukan Houthi di sepanjang pantai Laut Merah, sedang kumpulan yang disokong Iran itu terus menyerang negara jiran Arab Saudi.

Anggota Houthi Yaman yang menyokong Iran kini meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi dan mengancam untuk memburukkan lagi gangguan bekalan tenaga global.

Serangan terbaharu ke atas saluran paip minyak Arab Saudi serta beberapa kapal di teluk pada 13 September turut menggugat keamanan di Asia Barat.

Walaupun Pertahanan Awam Arab Saudi pada 14 September mengumumkan keadaan selamat selepas mengeluarkan amaran kemungkinan bahaya di empat bandar di selatan negara itu susulan peningkatan serangan kumpulan Houthi.

Agensi terbabit sebelum ini mengeluarkan amaran bagi bandar Najran, Khamis Mushait, Jazan dan Abha.

Pertempuran terbaru berlaku selepas Houthi merampas bandar pelabuhan Mokha dan sebuah pulau di Selat Bab al-Mandab daripada pasukan yang menyokong pemerintah Yaman.

Selat Bab al-Mandab merupakan laluan perkapalan penting yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan menjadi laluan alternatif penting ketika perkapalan melalui Selat Hormuz terjejas akibat perang Iran-Amerika Syarikat.

Houthi, yang menguasai kawasan paling ramai penduduk di Yaman serta sebahagian besar wilayah utara negara itu, menyerang Arab Saudi sejak mengisytiharkan sekatan laut terhadap Riyadh pada Julai lalu, dengan serangan menyasarkan kapal Arab Saudi di Laut Merah.

Pedagang minyak menjangkakan harga akan meningkat selepas pasaran dibuka semula pada 14 September susulan perkembangan hujung minggu yang menjejaskan bekalan pengeksport terbesar dunia itu.

Pemerintah Yaman berikrar mengerahkan lebih banyak tentera ke pantai Laut Merah bagi merampas semula kawasan yang jatuh ke tangan Houthi.

Encik Sultan al-Arada, anggota Majlis Pimpinan Presiden Yaman mengakui kehilangan Mokha dan beberapa kawasan di pantai barat sebagai kekalahan yang “menyakitkan dan dikesali”.

Namun, beliau berkata tentera pemerintah sedang menyusun semula pasukannya dan “akan kembali bertempur”.

Ketua Majlis Pimpinan Presiden, Encik Rashad al-Alimi, pula menyifatkan kekalahan itu sebagai perkembangan sementara.

Menurut beliau, pemerintah akan terus berusaha mendapatkan semula institusi negara dan mengembalikan kedaulatan ke atas seluruh wilayah Yemen.

Di Arab Saudi, media kerajaan menyiarkan video kerosakan pada rumah dan sebuah masjid akibat serangan rentas sempadan terbaharu yang didakwa dilakukan Houthi, di wilayah Jazan di selatan.

Houthi secara berasingan turut mendakwa menyerang sebuah pangkalan tentera Saudi di wilayah bersebelahan.

Bandar-bandar di selatan Arab Saudi menerima amaran berkala sejak minggu lalu, dengan situasi memuncak susulan serangan dron pada 11 September yang melumpuhkan saluran paip timur-barat sepanjang 1,200 kilometer merentasi Semenanjung Arab.

Tentera Yaman pada 13 September pula berkata ia melancarkan serangan udara terhadap kedudukan Houthi di Mokha, bandar pesisir Dhubab dan beberapa kawasan lain di wilayah Taiz.

Houthi pula melaporkan serangan oleh pasukan yang disokong Arab Saudi di Taiz serta bedilan meriam di Saada, kubu kuat kumpulan itu berhampiran sempadan Saudi.

Pasukan National Resistance yang bersekutu dengan pemerintah berkata lebih 500 anggota tentera pemerintah terbunuh di pantai barat sepanjang empat minggu lalu, angka korban menyeluruh pertama yang diumumkan pihak berkenaan.

Pasukan itu mendakwa lebih 1,000 anggota Houthi turut terbunuh dalam pertempuran di wilayah Hodeida dan Taiz. Houthi belum mengulas angka tersebut.

Pertempuran turut merebak ke Arab Saudi.

Pihak berkuasa Saudi membunyikan siren amaran di bandar Abha dan wilayah Khamis Mushait pada petang 13 September, meminta penduduk berlindung daripada kemungkinan serangan.

Kedua-dua kawasan itu menjadi sasaran Houthi beberapa kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Jurucakap tentera Houthi, Brigedier Jeneral Yahya Saree, mendakwa kumpulan itu menggunakan dron dan peluru berpandu untuk menyerang sasaran di Arab Saudi, termasuk sebuah pangkalan tentera berhampiran sempadan Yemen.

Beliau tidak mengemukakan bukti atau menyatakan bila serangan itu berlaku.

Pertahanan awam Saudi pula berkata satu projektil jatuh di kawasan lain berhampiran sempadan Yaman di sepanjang Laut Merah, menyebabkan dua orang cedera serta merosakkan sebuah masjid dan beberapa bangunan.

Pihak berkuasa menyalahkan Houthi bagi serangan tersebut.

Houthi sejak kebelakangan ini turut menyasarkan prasarana minyak dan perkapalan Arab Saudi sebagai sebahagian daripada sekatan yang diumumkan kumpulan itu.

Perkembangan tersebut menimbulkan kebimbangan baru terhadap bekalan dan harga minyak dunia, ketika konflik Iran-Amerika turut mengganggu laluan tenaga melalui Selat Hormuz.

Kemaraan Houthi di pantai barat Yaman juga membawa kumpulan itu semakin hampir dengan pangkalan utama tentera Amerika di Djibouti.

Kedudukan terbaru mereka hanya sekitar 32 kilometer dari pangkalan tersebut, di seberang Selat Bab al-Mandab.

Pangkalan itu merupakan kemudahan tentera utama Amerika di Afrika. Djibouti turut menempatkan pangkalan tentera beberapa negara lain termasuk China, Perancis dan Jepun.

Keganasan terbaru meningkatkan kebimbangan Yaman mungkin kembali terjerumus dalam perang saudara besar selepas gencatan senjata yang bermula pada 2022 berjaya mengurangkan pertempuran selama beberapa tahun.

Pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan Arab Saudi sudah berperang dengan Houthi selama kira-kira 12 tahun.

Perang saudara yang bermula lebih sedekad lalu meragut sekitar 150,000 nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk berdepan kebuluran.

Pertempuran terbaru sekali lagi mencetuskan perpindahan penduduk secara besar-besaran.

Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) berkata lebih 82,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka sejak awal September.

Lebih 2,000 rakyat Yemen turut menyeberangi laut menuju Djibouti bagi menyelamatkan diri.

Seorang wanita yang melarikan diri dari Khawkha di wilayah Hodeida berkata sebuah peluru mortar jatuh berhampirannya ketika beliau meninggalkan bandar itu pada tengah malam, tidak lama sebelum Houthi menguasainya.

“Saya melihat sendiri kereta dan bas terbakar, manakala mayat kanak-kanak dan wanita bergelimpangan di jalan raya. Keadaannya amat mengerikan,” katanya.

Di kem Al Salam di bandar pelabuhan Aden, pengarahnya, Encik Ahmad al-Masawi, berkata ramai penduduk meninggalkan kediaman secara tergesa-gesa tanpa sempat membawa pakaian atau barangan keperluan.

“Mereka berhimpit-himpit di kem, rumah dan malah di jalan raya,” katanya sambil merayu pertubuhan antarabangsa meningkatkan bantuan.

Seorang penduduk Hodeida, Encik Hussein Haydara, berkata beliau pernah melarikan diri apabila Houthi mengambil alih kawasannya pada 2015.

Tetapi kali ini, katanya, keadaan jauh lebih sukar kerana keluarganya terpaksa meninggalkan rumah secara tiba-tiba.

“Dahulu kami mempunyai masa untuk merancang. Kali ini kami terpaksa melarikan diri secara mendadak. Kami hampir tidak sempat membawa apa-apa selain anak-anak dan barangan paling ringan,” katanya. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti