Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Hun Manet: Kemboja bukan ‘tempat selamat’ sindiket penipuan
PM Hun Manet: Kemboja bukan ‘tempat selamat’ sindiket penipuan
PHNOM PENH: Kemboja tidak akan membenarkan negaranya menjadi tempat berlindung sindiket penipuan dalam talian, kata Perdana Menteri Hun Manet, ketika Phnom Penh berusaha menunjukkan kesungguhannya membanteras industri penipuan rentas sempadan bernilai berbilion dolar.
Berucap pada pembukaan persidangan antarabangsa mengenai penipuan siber di Phnom Penh pada 23 September, Encik Hun Manet berkata pemerintahnya juga mahu memperkukuh kerjasama dengan negara lain bagi memerangi rangkaian jenayah yang semakin canggih dan beroperasi merentasi sempadan.
“Kemboja tidak akan sesekali menjadi tempat selamat bagi penipuan dalam talian,” katanya kepada perwakilan dari lebih sedozen negara, termasuk Amerika Syarikat dan China.
“Kemboja tidak akan membenarkan sindiket jenayah menjejas kemajuan negara kita dan kehidupan lebih 17 juta rakyat Kemboja,” tambah beliau.
Beliau turut menyuarakan sokongan terhadap kerjasama antarabangsa yang lebih erat, termasuk perkongsian maklumat risikan dalam masa nyata.
Persidangan itu diadakan ketika pemerintah Kemboja berusaha menunjukkan kemajuan dalam kempen membanteras pusat penipuan berskala besar yang berkembang pesat di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pihak berkuasa Kemboja mendakwa operasi mereka telah berjaya menghapuskan pusat penipuan yang beroperasi pada skala perindustrian.
Bagaimanapun, dakwaan itu dipersoalkan sesetengah penganalisis yang berkata operasi serbuan setakat ini belum menyentuh individu berpengaruh yang didakwa mempunyai kaitan dengan rangkaian tersebut.
Wakil serantau Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Cik Delphine Schantz, berkata penganjuran persidangan itu menunjukkan “keterbukaan yang semakin meningkat untuk bekerjasama”.
Pada masa sama, beliau menegaskan masih banyak yang perlu dilakukan.
“Jelas bahawa lebih banyak boleh dan perlu dilakukan, baik di peringkat nasional mahupun dari segi kerjasama antarabangsa,” katanya.
Beliau menggesa negara terbabit membentuk pemahaman bersama mengenai corak utama jenayah berkenaan serta mewujudkan kerangka kawal selia yang lebih terselaras.
Ini termasuk meningkatkan pelaburan dalam keupayaan mengumpul dan mengendalikan bukti digital yang penting bagi siasatan dan pendakwaan kes penipuan siber.
Kemboja, bersama beberapa negara Asia Tenggara lain, muncul sejak beberapa tahun lalu sebagai antara pusat utama industri penipuan siber rentas sempadan.
Banyak operasi itu dipercayai dikendalikan kumpulan jenayah yang sebahagian besarnya diterajui warga China.
Sindiket berkenaan mengendalikan pusat penipuan yang menempatkan ramai pekerja, termasuk mangsa pemerdagangan manusia yang ditahan dan dipaksa melakukan penipuan terhadap mangsa di negara lain.
Antara modus operandi yang digunakan ialah penipuan percintaan, menyamar sebagai anggota polis atau pegawai pihak berkuasa serta pelbagai skim penipuan kewangan dalam talian.
Pada 21 dan 22 September, wartawan dibawa melawat beberapa kompleks besar yang telah ditutup oleh pemerintah Kemboja.
Salah sebuah pusat itu dilaporkan pernah menempatkan sehingga 20,000 pekerja.
Wartawan turut ditunjukkan bahan yang dirampas polis, termasuk lencana palsu Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika dan polis China yang dipercayai digunakan sindiket untuk menyamar sebagai pegawai penguat kuasa bagi memperdaya mangsa.
Kemboja meningkatkan operasi membanteras sindiket berkenaan susulan tekanan antarabangsa, termasuk daripada Amerika.
Washington menganggarkan rakyat Amerika mengalami kerugian melebihi AS$10 bilion ($12.8 bilion) akibat penipuan yang dikendalikan dari rantau ini pada 2024 sahaja.
Menurut pihak berkuasa Kemboja, ratusan pusat penipuan telah diserbu sepanjang 2025, manakala ratusan ribu individu dihantar pulang ke negara masing-masing.
Tindakan besar-besaran itu bertujuan melumpuhkan rangkaian yang telah menjadikan beberapa kawasan di Kemboja sebagai pangkalan operasi penipuan antarabangsa.
Bagaimanapun, penganalisis dan tokoh pembangkang mempersoalkan sejauh mana tindakan tersebut berjaya memutuskan keseluruhan rangkaian jenayah berkenaan.
Mereka mendakwa serbuan itu belum menyentuh beberapa individu yang mempunyai hubungan politik dan didakwa melindungi operasi sindiket.
Kumpulan jenayah juga dipercayai menyesuaikan operasi mereka dengan memecahkan rangkaian besar kepada unit lebih kecil dan memindahkan sebahagian kegiatan ke luar negara bagi mengelakkan tindakan pihak berkuasa.
Tokoh pembangkang Kemboja yang hidup dalam buangan, Cik Mu Sochua, berkata kredibiliti tindakan keras Phnom Penh akhirnya bergantung pada kesediaan pihak berkuasa menyiasat setiap dakwaan yang mempunyai asas.
Menurut beliau, siasatan perlu dilakukan tanpa mengambil kira kekayaan, pengaruh atau kedudukan rasmi individu yang dikaitkan dengan rangkaian berkenaan.
“Kredibiliti tindakan keras itu akan bergantung pada sama ada pemerintah Kemboja bersedia menyiasat semua dakwaan yang mempunyai asas, tanpa mengira kekayaan, pengaruh atau kedudukan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.
Persidangan di Phnom Penh itu sekali gus menjadi ujian terhadap usaha Kemboja untuk meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa operasi membanteras sindiket penipuan bukan sekadar menutup pusat fizikal, tetapi turut menyasarkan rangkaian jenayah yang mengendalikan dan mendapat keuntungan daripada industri tersebut. – Agensi berita.