Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

PRN: Gabungan PH-BN, PN perlu kerja keras kerana sama kuat

Label: Pandangan
Jul 07, 2023 | 03:48 PM



Oleh KHIRUL BAHRI BASARUDDIN
Koresponden BH dari Kuala Lumpur

Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Malaysia semakin terasa selepas hari mengundi ditetapkan pada 12 Ogos, manakala 29 Julai ditetapkan sebagai hari penamaan calon.

Semua enam Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubar dan sebaik sahaja pembubaran itu dilakukan, Pakatan Harapan (PH), yang menguasai Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, dan Perikatan Nasional (PN), yang memerintah Kedah, Terengganu dan Kelantan, terus melancarkan jentera pilihan raya masing-masing.

PRN enam negeri ini diadakan berasingan daripada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) atas alasan kerajaan negeri mahu menghabiskan mandat lima tahun yang diberikan rakyat, selain tidak mahu mengikuti rentak kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang mengumumkan tarikh PRU15 lebih awal dari tarikh tamat penggal pemerintahannya.

PRN kali ini agak menarik kerana BN, terutama parti komponen utamanya Umno, yang menjadi seteru PH dan PN semasa PRU15, kini menjadi rakan kerjasama Kerajaan Perpaduan yang dikenali sebagai Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada PRN ini, Umno dijangka menjadi tonggak kerjasama dengan PH di Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala di tiga negeri lain, parti itu dan sekutunya, Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC), akan diberi tanggungjawab membantu mencapai kemenangan buat BN dan PH.

PH sendiri, yang diterajui Datuk Anwar, perlu meyakinkan pengundi untuk terus menyokong gabungan tersebut selepas kehilangan Perak, Melaka dan Johor melalui ‘Langkah Sheraton’ pada 2020.

Jika gabungan PH-BN berjaya pada PRN kali ini, ia akan mengabsahkan keputusan kerjasama politik dua gabungan besar politik itu serta akar umbi mereka, dengan sokongan rakyat melalui peti undi.

Di atas kertas, PH-BN dan PN, yang masing-masing menguasai tiga negeri, mempunyai keseimbangan kekuatan politik. Namun, kededua gabungan itu perlu bekerja keras untuk mencapai kemenangan besar, terutamanya PN, yang menikmati sokongan secara mendadak melalui ‘gelombang hijau’ dengan memperoleh 74 kerusi Parlimen pada PRU15.

Angin perubahan itu digunakan sebagai sandaran oleh PN bahawa gabungan itu akan merampas Negeri Sembilan serta dua negeri kaya di Malaysia, iaitu Selangor dan Pulau Pinang.

Dari segi persiapan jentera pilihan raya, PN nampaknya lebih bersedia daripada PH-BN, yang masih belum mengumumkan jumlah kerusi yang akan ditandingi PH atau BN.

PN sudah mengesahkan akan bertanding di 245 kerusi DUN. Daripada jumlah itu, Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan bertandingm di 126 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 83 kerusi, dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebanyak 36 kerusi.

Jentera pilihan raya PN yang diketuai pengarahnya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Mohd Noor, sudah melancarkan jentera masing-masing dengan menyasarkan Selangor sebagai negeri utama untuk dirampas bagi memberi tekanan terhadap Kerajaan Madani yang disokong 148 Anggota Parlimen (AP), dan supaya tumbang dan diganti oleh PN.

Berdasarkan sokongan yang ditunjukkan pada PRU15, PN dijangka menang besar di Kelantan dan Terengganu, selain boleh menyapu bersih kerusi di Kedah berdasarkan populariti Datuk Sanusi, yang digelar sebagai panglima perang PAS.

Naratif agama Islam dan bangsa Melayu yang dijaja PN telah berjaya menarik pengundi atas pagar, terutama anak muda, untuk mengundi calon gabungan itu. Ini selain penyokong tegar Umno sudah beralih angin dengan memilih PAS dan Bersatu sebagai wadah baru supaya agama dan bangsa mereka terus terjamin di bumi Malaysia.

PH pula, yang akan menggunakan populariti Datuk Anwar dalam kalangan pengundi muda dan rakyat akar umbi, begitu yakin akan mempertahankan tiga negeri di bawah penguasaannya, selain mahu membuat kejutan merampas Terengganu dan Kedah hasil kerjasama dengan seteru lama mereka, BN, yang kini menjadi sahabat baru.

Keyakinan itu berdasarkan kemajuan dan kestabilan tiga negeri pimpinan PH, terutama Selangor, yang menjadi nadi ekonomi Malaysia dan makmur selepas 15 tahun di bawah pemerintahan PH.

Namun, terpulang pada pengundi di enam negeri itu untuk menentukan pilihan mereka parti atau gabungan yang bakal mentadbir sepanjang penggal seterusnya.

Seramai 9,781,416 pengundi berdaftar akan menggunakan hak mereka untuk memilih calon yang pada pandangan mereka adalah yang terbaik, yang akan bekerja untuk rakyat, bukan yang hanya muncul lima tahun sekali apabila mahukan undi rakyat.

Dalam zaman era digital ini, rakyat terdedah kepada maklumat mengenai apa yang dilakukan PH di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, selain penerimaan pengundi terhadap kerjasama PH-BN pada peringkat negeri, yang memungkinkan mereka memberi peluang kepada PH-BN untuk terus memerintah, atau sebaliknya.

Begitu juga, pengundi boleh melihat kemajuan yang dibawa PN di tiga negeri yang dikuasai mereka, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Yang uniknya, kali ini pengundi dapat menilai secara terus kemajuan yang dicapai tiga negeri di bawah PH dan tiga di PN, sekali gus memudahkan mereka memangkah parti yang banyak memberi manfaat kepada mereka.

Apapun, keputusan PRN enam negeri ini tidak akan merubah Kerajaan Perpaduan pada peringkat Pusat, tetapi kesannya akan dijaja hingga ke PRU16 nanti.

FAKTA PILIHAN RAYA NEGERI

Pengundi berdaftar: 9,781,416

Pengundi muda 18-20 tahun: 1,416,903

Pengundi negeri: Kedah (1,585,690); Kelantan (1,413,168); Terengganu (931,654); Pulau Pinang (1,235,326); Selangor
(3,749,450) dan Negeri Sembilan (865,128).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >