YOGYAKARTA: Seorang bapa di Yogyakarta pada mulanya menyangka anak perempuannya yang berusia tiga tahun hanya enggan ke pusat jagaan kerana mahu bermain di rumah.

Namun polis kemudian mendapati kanak-kanak itu dipercayai antara puluhan mangsa penderaan fizikal di pusat jagaan Little Aresha di bandar Indonesia itu.

Pihak berkuasa menahan 13 pengasuh wanita pada akhir April lalu atas dakwaan penderaan dan pengabaian kanak-kanak, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat serta desakan supaya pemerintah memperketat pemantauan terhadap sektor pusat jagaan kanak-kanak yang semakin berkembang di negara itu.

Polis turut mendakwa pusat jagaan tersebut beroperasi tanpa lesen yang diperlukan.

“Saya sangka itu perkara biasa kerana dia malas hendak pergi... tetapi rupa-rupanya dia trauma berada di sana,” kata bapa mangsa, Encik Aldewa Anjasmara Halip.

Beliau dan isterinya bekerja di pusat beli-belah berhampiran.

Ketua perlindungan kanak-kanak unit siasatan jenayah polis Yogyakarta, Encik Apri Sawitri, berkata kebanyakan daripada lebih 100 kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun di pusat jagaan itu ditemui dengan tangan dan kaki diikat ketika polis menyerbu premis tersebut pada April lalu.

“Ada juga yang diikat pada pintu,” katanya kepada Reuters.

Seorang lagi penyiasat dari Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia, Cik Diyah Puspitarini, berkata ramai kanak-kanak di pusat itu turut ditampar dan dicubit secara rutin.

Menurut beliau, pengasuh memberitahu polis bahawa hukuman fizikal itu dilakukan bagi menjadikan kanak-kanak “lebih mudah dikawal”.

Kesemua 13 suspek terdiri daripada wanita termasuk pemilik pusat jagaan, pengetua dan pengasuh.

Polis tidak mendedahkan identiti penuh suspek dan hanya menggunakan singkatan nama, amalan biasa di Indonesia sebelum sesuatu kes dibicarakan di mahkamah.

Reuters tidak berjaya menghubungi mana-mana suspek atau peguam mereka untuk mendapatkan komen.

Kes itu disifatkan aktivis hak kanak-kanak sebagai antara kes penderaan kanak-kanak terbesar di Indonesia dan mendapat liputan meluas media serta media sosial.

Susulan penahanan tersebut, pemerintah Indonesia berjanji meningkatkan pemantauan, kawal selia dan penyelarasan antara pemerintah pusat dengan pemerintah daerah.

“Kami berharap Yogyakarta dapat menjadi titik permulaan untuk semakan nasional bagi memastikan semua pusat jagaan kanak-kanak di Indonesia memenuhi standard perlindungan kanak-kanak pada tahap tertinggi,” kata Menteri Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia, Cik Arifah Fauzi.

Little Aresha merupakan antara pusat jagaan lebih mahal di Yogyakarta dengan bayaran mencecah satu juta rupiah ($72) sebulan.

Jumlah itu agak tinggi berbanding purata pendapatan bulanan penduduk bandar tersebut sekitar 3.2 juta rupiah.

Sejak kes itu terbongkar, bangunan pusat jagaan tersebut diconteng dengan kata-kata kesat oleh pihak yang marah terhadap kejadian berkenaan.

Menurut Cik Diyah, kes itu terbongkar selepas seorang pengasuh tampil menjadi pemberi maklumat.

Beliau berkata kanak-kanak dikurung dan diikat atas arahan pengetua pusat jagaan bagi membolehkan lebih ramai kanak-kanak ditempatkan di situ.

Pusat jagaan lima bilik itu dikatakan sesak dengan sehingga 30 kanak-kanak ditempatkan dalam sebuah bilik kecil berukuran tiga meter kali tiga meter.

Pengasuh pula didakwa tidak mempunyai latihan mencukupi dan setiap seorang menjaga sekitar 10 kanak-kanak pada satu masa.

Garis panduan pemerintah sebenarnya mencadangkan nisbah seorang pengasuh bagi empat kanak-kanak, namun ia tidak diwajibkan.

Di Indonesia, kesalahan penderaan dan pengabaian kanak-kanak membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda 100 juta rupiah.

Polis turut mendakwa pusat itu melanggar undang-undang pendidikan nasional kerana beroperasi tanpa lesen, kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia kini menggesa pemeriksaan berkala dilakukan ke atas semua pusat jagaan kanak-kanak di negara itu.

Agensi itu juga mahu syarat kelayakan pengasuh dan kemudahan pusat jagaan diperketatkan.

Seorang ibu, Cik Imedia Dwi Anjani, berkata anak lelakinya yang berusia empat tahun ditemui diikat pada pintu ketika serbuan polis dilakukan.

Sebelum ini beliau pernah melihat lebam dan benjol pada badan anaknya, namun diberitahu pengasuh bahawa kecederaan itu berlaku ketika bermain.

Anaknya yang mengalami masalah lambat bercakap tidak mampu menjelaskan apa yang berlaku di pusat jagaan itu.

“Apa yang mereka lakukan sangat kejam,” katanya.

Polis dijangka menyelesaikan siasatan menjelang akhir Jun sebelum laporan diserahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk pertimbangan pendakwaan rasmi. – Agensi berita.