LONDON: Putera William berkata melindungi keluarganya adalah perkara paling penting baginya apabila isterinya, Cik Catherine atau Kate Middleton, dan bapanya, Raja Charles, jatuh sakit.
Beliau mendedahkan akan berusaha memodenkan sistem monarki apabila menjadi raja kelak.
Bercakap kepada pelakon dan pelawak Canada, Eugene Levy, dalam rancangan pelancongan di televisyen, pewaris Britain itu berkata beliau kadangkala berasa tidak berdaya berdepan dengan hal keluarga dan berikrar memastikan anak-anaknya selamat daripada sebarang pencerobohan berlebihan oleh pihak media.
“Kebimbangan atau tekanan di sekitar ehwal keluarga agak membebankan saya,” kata putera raja berusia 43 tahun itu kepada bintang sitcom, Schitt’s Creek.
“Apabila ia berkaitan dengan keluarga, maka di situlah saya mula rasa agak tidak berupaya seperti yang saya fikir kebanyakan orang akan melaluinya,” tambah beliau.
Pada 2024, Cik Kate dan Raja Charles, kini berusia 76 tahun, memulakan rawatan untuk barah.
Ketika kesihatan isterinya semakin membaik, Putera William berkata ia merupakan tahun paling sukar yang pernah dialaminya.
“Hidup ini menguji kita. Dan ia pastinya boleh mencabar pada masa-masa tertentu, dan dapat mengatasinya itulah yang menjadikan kita siapa sebenarnya.
“Saya sangat berbangga dengan isteri dan bapa saya, atas cara mereka mengendalikannya sepanjang tahun lalu. Anak-anak saya juga berjaya dengan cemerlang,” ujar beliau.
Putera William membuat kenyataan berterus terang yang luar biasa ketika menunjukkan pelakon itu ke sekitar Istana Windsor, rumah diraja di barat London – tempat raja menjadi tuan rumah kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada September.
Terdapat detik-detik santai – putera raja berkata beliau peminat tegar filem komedi, ‘American Pie’ lakonan Levy, pada masa yang sama beliau turut bercakap tentang kehidupan sebagai raja dan visinya untuk masa depan.
Beliau yang turut menyentuh mengenai liputan akhbar mengenai keretakan perkahwinan bapanya dan mendiang ibunya, Puteri Diana, berkata media telah melaporkan segala-galanya dan di mana-mana saja.
“Kerosakan yang boleh ditimpakan kepada kehidupan keluarga anda adalah sesuatu yang saya berikrar tidak akan berlaku kepada keluarga saya.
“Jadi, saya mengambil pendirian tegas tentang batas liputan dan mereka yang melampaui batas itu, awak tahu saya akan menentangnya,” ujarnya.
Putera William berkata beliau tidak terlalu memikirkan tentang soal menjadi raja, tetapi mengakui beliau merancang melaksanakan peranan itu secara berbeza.
“Saya fikir adalah selamat untuk menyatakan bahawa perubahan adalah dalam agenda saya. Perubahan untuk kebaikan.
“Itulah perkara yang menggembirakan saya, idea untuk dapat membawa perubahan. Bukan perubahan yang terlalu radikal, tetapi perubahan yang saya fikir perlu berlaku,” jelas beliau.
Episod The Reluctant Traveler With Eugene Levy yang menampilkan Putera William akan disiarkan di Apple TV+ pada 3 Oktober. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg