ROMM kembali ke Canning Rise pada 2029
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2029 akan berpeluang melangsungkan pernikahan di ruang lebih luas dengan pemandangan yang indah, apabila Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) kembali ke bangunan baru di tapak asal di Canning Rise.
ROMM dan juga Pejabat Pendaftar Perkahwinan (ROM) akan berpindah dari pejabat sementara di Esplanade pada masa ini ke bangunan yang diperluas dan diubah suai di Taman Fort Canning itu.
Mengumumkan sedemikian pada 8 Februari, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata bangunan lebih besar itu akan menggabungkan warisan dan kemodenan yang akan memberi pasangan lebih banyak pilihan mengadakan majlis perkahwinan mereka.
Antara lain, bangunan yang diubah suai ini akan menampilkan teres taman atas bumbung untuk upacara luar, dan bilik ijab kabul yang lebih luas.
Keseluruhan, saiz bangunan pejabat pendaftar perkahwinan adalah k3,755 meter persegi, atau 60 peratus lebih besar berbanding tapak asal.
Peluasan bangunan dua tingkat di bahagian belakang juga akan meningkatkan bilangan slot untuk upacara pernikahan, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Struktur bingkai bangunan asal akan dikekalkan sebagai tanda penghormatan kepada warisan seni bina tapak tersebut, yang telah menempatkan ROM dan ROMM sejak 1983.
Encik Masagos memberikan maklumat terkini mengenai projek tersebut di majlis Sambutan Perkahwinan Jubli Emas 2026 yang berlangsung di Hotel Fairmont Singapore pada 8 Februari.
Acara tahunan yang dianjurkan bersama oleh Majlis Keluarga Sepanjang Hayat (FFL), ROM dan ROMM, memberi penghormatan kepada pasangan yang telah berkahwin selama 50 tahun atau lebih.
“Visi kami adalah agar bangunan ROM dan ROMM bukan sahaja menjadi tempat pendaftaran perkahwinan, malah merupakan permulaan kebahagiaan bersama seumur hidup, dan tempat asas kukuh untuk perkahwinan dan keluarga diwujudkan,” katanya.
Contohnya, selain ruang majlis, bangunan baru itu juga akan merangkumi kemudahan yang dibina khas untuk program persediaan perkahwinan dan bengkel pengukuhan hubungan, mencerminkan usaha yang lebih luas bagi menyokong pasangan melangkaui hari perkahwinan mereka, kata Encik Masagos.
Kedua-dua ROMM dan ROM telah berpindah ke Esplanade Mall sejak April 2025 untuk membolehkan pembangunan semula dilakukan di Canning Rise.
Hampir 6,000 majlis perkahwinan telah berlangsung di sana, kata MSF.

