Hartanah berhalaman baru yang lebih kecil menarik minat penaik taraf memandangkan bekalan hartanah sedemikian kekal mendatar selama 25 tahun.
Keadaan itu berlaku apabila bilangan flat dan kondominium meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh yang sama.
Menurut The Straits Times (ST), statistik daripada Jabatan Perangkaan Singapura menunjukkan bekalan rumah berhalaman meningkat 12 peratus daripada 67,229 unit pada 2000 kepada 75,338 unit pada 2025.
Sebaliknya, bilangan flat dan kondominium meningkat sebanyak 228 peratus – naik daripada 114,532 unit kepada 375,612 unit dalam tempoh yang sama.
Di Singapura, rumah berhalaman ‘lot kecil’ biasanya dibina di atas petak tanah yang mempunyai saiz plot minimum Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) iaitu kira-kira 1,615 kaki persegi untuk teres pertengahan dan sekitar 2,150 kaki persegi untuk rumah sebandung.
Banyak projek baru-baru ini berada dalam lingkungan 1,600 kaki persegi hingga 3,000 kaki persegi, yang biasanya disifatkan oleh pemaju dan ejen hartanah sebagai unit bertanah padat.
Peralihan ke arah unit berhalaman lebih kecil didorong oleh perubahan keperluan, harga tanah lebih tinggi, kos pembinaan, peraturan lebih ketat dan bekalannya yang tidak menentu, kata pakar hartanah.
Keluarga yang lebih muda mengutamakan susun atur yang cekap dan harga keseluruhan yang lebih mudah diurus, sementara peningkatan kos tanah dan pembinaan menjadikan rumah lebih besar lebih sukar dijual, kata mereka.
Pegawai Eksekutif Utama, agensi hartanah ERA Singapore, Encik Eugene Lim, berkata rumah berhalaman yang lebih kecil lebih mudah dibeli pemilik kondominium kerana harganya lebih mudah diurus.
Pembeli biasanya terbahagi kepada tiga kumpulan, katanya.
Pertama, pemilik kondominium yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan harga yang kukuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kini boleh mengeluarkan wang untuk menaik taraf.
Kedua, isi rumah yang memerlukan lebih banyak ruang, dan ketiga ialah pembeli yang telah lama menginginkan rumah berhalaman.
Kajian ERA Research and Market Intelligence mendapati permintaan rumah berhalaman lot kecil baru meningkat apabila harga kondominium naik antara 2020 dengan 2025.
Pada 2020, terdapat 17 jualan rumah berhalaman baru yang dibina di atas petak tanah antara 1,600 kaki persegi dengan 3,000 kaki persegi.
Ini meningkat kepada 74 unit pada 2024 manakala 30 unit dijual dalam 11 bulan pertama 2025.
Ejen hartanah juga akur dengan perubahan itu.
Timbalan Pengarah Bersekutu, cawangan firma hartanah OrangeTee, Encik Geryl Lim, berkata permintaan hartanah berhalaman melonjak selepas tempoh Covid-19 pada 2020 dan 2021.
Beliau menyatakan sebahagian daripada mereka adalah penaik taraf Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan kondominium dari estet seperti Dawson dan Bishan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg