LVIV/MOSCOW: Kementerian Pertahanan Russia berkata tentera negara itu telah berjaya menawan bandar di bahagian selatan Ukraine, Kherson, sedang pencerobohan Russia ke Ukraine memasuki hari ketujuh semalam.
Pihak berkuasa Ukraine berkata Kherson dikepung sepenuhnya oleh askar Russia sementara kawasan sekitar pelabuhan Mariupol di bahagian tenggara Ukraine terus diserang Russia, dengan mereka yang cedera tidak dapat dipindahkan.
Menerusi laman Facebook beliau, Mayor Kherson, Encik Igor Nikolayev, berkata:
"Kami masih Ukraine. Masih kukuh."
Tambahnya, beliau perlu memikirkan bagaimana untuk mengumpulkan mayat serta memulihkan bekalan elektrik, gas, air dan sumber pemanasan yang rosak.
Sebelum itu, serangan udara oleh Russia terhadap blok perumahan di Kharkiv dan menara televisyen utama di ibu kota Ukraine, Kyiv, meragut nyawa lebih ramai orang awam.
Ini sedang Moscow giat melancarkan serangan walaupun dikenakan pelbagai sekatan dan terdapat amaran berlakunya satu krisis kemanusiaan.
Menurut tentera Ukraine, askar payung terjun Russia juga tiba di Kharkiv semalam, dengan pertempuran segera berlaku antara askar Ukraine dengan Russia itu.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata Russia sedang cuba memadamkan sejarah negaranya, selepas serangan Russia dekat Pusat Memperingati Holokaus Babyn Yar di Kyiv, yang merupakan tapak puluhan ribu orang Yahudi dibunuh Nazi dalam tempoh dua hari semasa Perang Dunia Kedua. - Agensi berita.
Laporan lanjut perang di Ukraine:
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg