Sambutan Aidilfitri suram di Timur Tengah akibat perang, krisis kemanusiaan
Sambutan Aidilfitri suram di Timur Tengah akibat perang, krisis kemanusiaan
Lebaran tetap disambut secara sederhana, cerminan ketabahan hadapi konflik berpanjangan
DUBAI: Sambutan Aidilfitri di beberapa negara Timur Tengah tahun ini berlangsung dalam suasana suram apabila konflik bersenjata, perpindahan penduduk dan serangan udara berterusan menjejaskan kemeriahan perayaan.
Di banyak kawasan, keluarga terpaksa menyambut Aidilfitri di pusat perlindungan atau petempatan sementara, jauh daripada kediaman masing-masing.
Letupan dilaporkan berlaku di beberapa lokasi ketika umat Islam sedang menunaikan solat, sekali gus menggambarkan keadaan keselamatan yang masih rapuh.
Walaupun berdepan kesukaran, sebahagian masyarakat tetap menyambut Aidilfitri secara sederhana, mencerminkan ketabahan dalam menghadapi konflik yang berpanjangan.
Menurut laporan media antarabangsa termasuk Al Jazeera dan Gulf News, suasana menjelang Aidilfitri di negara-negara Islam menjadi semakin suram susulan sekatan keselamatan dan ketegangan serantau.
Di Kuwait, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan acara berskala besar seperti konsert, persembahan teater dan majlis perkahwinan, selain melarang penggunaan pembesar suara di kawasan terbuka.
Di Arab Saudi, menjelang Aidilfitri, letupan besar akibat serangan peluru berpandu dan dron dilaporkan berlaku di Riyadh, manakala amaran ancaman turut disalurkan kepada orang ramai melalui telefon bimbit buat pertama kali, mencerminkan tahap krisis keselamatan yang semakin serius.
Suasana muram turut dirasai di negara-negara majoriti Syiah yang berpusat di Iran susulan kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei.
Masyarakat Syiah misalnya mengumumkan “Aidilfitri senyap” dengan tidak membeli pakaian baharu atau mengadakan sambutan, sebaliknya hanya menunaikan solat.
Dalam masa sama, kesan perang turut menjejaskan perjalanan udara apabila banyak laluan penerbangan dikurangkan dan harga tiket meningkat mendadak, memaksa ramai membatalkan rancangan untuk pulang bertemu keluarga.
Lapangan terbang utama seperti Dubai dan Doha turut terjejas, manakala sekatan di Selat Hormuz menyebabkan harga minyak melonjak, sekali gus meningkatkan kos perjalanan udara.
“Bahkan mereka yang tidak pernah terlepas pulang beraya kini berdepan gangguan dalam perancangan mereka,” menurut laporan media, yang turut menyifatkan suasana perayaan semakin suram.
Ketegangan antara negara Teluk dan Iran juga memburukkan keadaan apabila pertemuan tergempar menteri luar dari 12 negara Islam di Riyadh mengeluarkan kenyataan bersama mengkritik Iran.
Dalam kenyataan itu, serangan Iran terhadap negara jiran disifatkan sebagai “kejam”, sekali gus menunjukkan ketegangan antara kuasa Sunni dan Syiah semakin ketara menjelang Aidilfitri.
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, berkata negaranya mempunyai hak untuk mengambil tindakan ketenteraan jika perlu.
“Kami mempunyai kemampuan yang besar, dan ada batas kesabaran yang telah kami tunjukkan,” katanya.
Di Lebanon, kesan konflik lebih ketara apabila lebih satu juta penduduk terpaksa meninggalkan rumah susulan pertempuran antara Israel dengan kumpulan Hezbollah.
Serangan Israel dilaporkan mengorbankan lebih 1,000 orang, manakala serangan balas roket oleh Hezbollah memburukkan lagi keadaan dan memaksa ramai berpindah ke kawasan lebih selamat.
Seorang penduduk, Cik Lilian Jamaan, berkata beliau tidak lagi merasai kegembiraan Aidilfitri.
“Tiada kegembiraan untuk Aidilfitri, Ramadan atau apa-apa lagi,” katanya dari sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan di Sidon.
Menurut beliau, keadaan yang sukar menyebabkan beliau tidak dapat menjalani ibadah Ramadan seperti biasa.
“Makanan bukan perkara utama bagi saya sekarang, tetapi keadaan ini sangat mencabar,” katanya.
Beliau dan anaknya tidur bersama orang lain di sekolah, manakala suaminya terpaksa tidur di dalam kereta.
Seorang lagi mangsa perpindahan, Cik Asmahan Taleb, berkata sukar untuk meraikan Aidilfitri dalam keadaan sedemikian.
“Bagaimana kita mahu menyambut Aidilfitri apabila kita dihalau dari rumah dan tanah sendiri? Di mana kegembiraan itu?” katanya.
Di Baitulmakdis Timur , pihak berkuasa Israel mengharamkan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis Timur yang diduduki, dengan alasan sekatan keselamatan susulan perang dengan Iran.
Rakyat Palestin pula menyeru jemaah supaya berkumpul berhampiran Kota Lama bagi menunaikan solat sedekat mungkin dengan Masjid Al-Aqsa bagi menandakan berakhirnya Ramadan.
Di Gaza, walaupun kemusnahan masih jelas dengan bangunan runtuh dan ekonomi yang terjejas, sebahagian penduduk cuba menghidupkan kembali tradisi Aidilfitri.
Cik Jawaher Hammouda, 35 tahun, berkata beliau kembali menghasilkan makanan tradisi untuk dijual walaupun kini tinggal di khemah.
“Orang ramai cuba mencari kegembiraan. Walaupun hidup susah dan harga tinggi, mereka tetap mahu menyambut Aidilfitri,” katanya.
Encik Sufian Al Rifi, 52 tahun, yang sebelum ini memiliki beberapa kilang kuih, kini hanya mampu menghasilkan sedikit produk selepas mengeluarkan mesin dari runtuhan.
“Terdapat permintaan, walaupun tidak seperti dahulu. Orang ramai tetap mahu menyambut Aidilfitri,” katanya.
Bagi Cik Nisreen Nofal, 50 tahun, yang masih meneruskan tradisi membuat biskut Aidilfitri, peperangan telah memusnahkan banyak perkara, termasuk tradisi keluarga.
“Perang memusnahkan segalanya, termasuk tradisi kami. Tetapi kami memilih untuk menghidupkannya semula,” katanya.
Walaupun ada sedikit ruang untuk bernafas tanpa peperangan berterusan di Gaza, kegembiraan itu masih rapuh.
“Ini Aidilfitri pertama tanpa perang dalam dua tahun. Itu sendiri satu rahmat,” kata Cik Amani Abu Jalhoum, 33 tahun.
Namun, beliau mengakui perasaan sedih masih menyelubungi ramai.
“Ramai sudah tiada. Banyak keluarga tidak dapat menyambut langsung,” katanya. – Agensi berita.

