Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sedia ruang selamat bagi warga bincang konflik Gaza

Oct 12, 2025 | 5:30 AM
Foto fail
Foto fail - Foto fail

Pada 7 Oktober, penduduk dunia memperingati ulang tahun kedua perang berdarah di Gaza. Di merata dunia ramai penduduk menyertai tunjuk perasaan sambil menyeru dicapai segera perjanjian aman, demi memberi keadilan dan keamanan kepada penduduk Gaza yang sudah lama menderita.

Perkembangan terbaru menunjukkan adanya harapan damai selepas Israel dan Hamas dilaporkan bersetuju bagi pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin – satu kejayaan diplomatik besar selepas berbulan-bulan rundingan untuk menamatkan perang dua tahun yang memusnahkan teruk wilayah Gaza.

Persetujuan itu juga dilaporkan melibatkan kemasukan bantuan kemanusiaan yang benar-benar diperlukan penduduk Gaza, yang telah diisytiharkan sebagai kawasan yang mengalami kebuluran.

Singapura antara negara yang berterusan memberi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. Sehingga 7 Oktober, negara ini telah menghantar 10 pakej bantuan kemanusiaan dengan sumbangan bernilai lebih $24 juta, demi mengurangkan kesengsaraan yang dialami penduduk di wilayah itu.

Di negara ini tiada tunjuk perasaan ganas atau penuh emosi sehingga menjejas keselamatan orang ramai. Cuma krisis kemanusiaan di Gaza telah menimbulkan pelbagai pandangan dan reaksi dalam kalangan warga.

Antaranya, ada yang meluahkan rasa tidak puas hati di atas kejadian tragik yang berterusan di Gaza, dan ada juga yang secara aktif membantu memberi bantuan kemanusiaan.

Setiap rakyat Singapura bebas meluahkan pandangan mereka mengenai konflik Gaza itu. Namun apa yang penting adalah mereka harus juga menimbangkan kedudukan dan sentimen masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini semasa meluahkan pendapat mereka khususnya apabila dibuat secara terbuka. Ini bagi mengelakkan reaksi kurang elok, yang boleh menjejas keadaan harmoni di negara ini.

Dalam hal ini, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menegaskan bahawa keselamatan dan kepentingan nasional Singapura perlu diutamakan dalam apa jua yang dilakukan, termasuk dalam perbincangan dan luahan pandangan mengenai isu Gaza.

Beliau menambah, perbincangan mengenai konflik Gaza tidak selalunya mudah, namun perlu untuk mendalami pemahaman isu tersebut dan mengelakkan salah faham yang membesar jika tidak ditangani secara aktif dan bijak.

Dalam konflik Gaza, pemerintah telah mendekati pelbagai segmen masyarakat dan kumpulan berbeza untuk berbincang tentang keadaan di Gaza selain menyediakan ruang selamat dan membina bagi rakyat Singapura meluahkan perasaan dan pandangan mereka.

Ini antaranya melalui sesi pendekatan anjuran unit maklum balas pemerintah Reach, dan dialog tertutup dengan pemimpin dan anggota masyarakat pelbagai agama.

Dalam meluahkan pandangan dan perspektif mengenai konflik Gaza, paling utama adalah bagi kita saling menghormati akan perbezaan pendapat, walaupun terdapat pandangan yang tidak kita setujui.

Walaupun sukar, proses perbincangan ini, sama ada mengenai isu Gaza dan isu-isu tempatan dan luar negara lain, perlu dilakukan secara berhemah dan bijak, dan merupakan satu proses pembangunan negara yang membantu meningkatkan pemahaman antara warga berbilang bangsa, agama dan pemahaman.

Ia juga merupakan proses pembentukan tatalaku dan adab dalam membincangkan isu-isu sukar, rumit dan sensitif secara berhemah dan berlapang dada di samping bersetuju untuk tidak bersetuju, agar dapat ditangani sebarang salah faham, tindakan tidak rasional dan reaksi penuh emosi.

Walaupun sukar, proses ini penting dalam membangunkan satu bangsa Singapura yang lebih empati, ihsan dan inklusif selain menyediakan ruang selamat dan selesa bagi warga untuk terus berbincang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg