Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Siapa sebenarnya pemberontak Houthi?

Feb 19, 2024 | 05:30 AM



Houthi terus mengelirukan angkatan tentera paling berkuasa di dunia.

Mereka berupaya menembak menggunakan peluru berpandu ke arah kapal di Laut Merah yang dianggap ada kaitan dengan Amerika Syarikat, Britain ataupun Israel.

Kegiatan mereka telah meninggalkan kesan besar terhadap perdagangan sejagat, memaksa kapal dagang melencong beribu-ribu batu jauhnya.

Tentera Houthi tidak gentar dengan serangan udara berulang kali yang diketuai Amerika ke atas pangkalan peluru berpandu mereka, malah berikrar untuk bertindak balas terhadap aset Amerika dan Britain.

Jadi siapakah Houthi, bagaimana mereka menjadi begitu kuat dan apakah yang berlaku di Laut Merah sekarang?

Siapa Houthi?

Houthi adalah kumpulan minoriti Yaman dari pergunungan barat laut negara itu.

Mereka mendapat nama tersebut daripada pengasas pergerakan mereka, Hussein Badreddin al-Houthi.

Gerakan Houthi berperang beberapa kali menentang pemerintah Yaman pada awal 2000-an.

Pada Mei 2015, Presiden Ali Abdullah Saleh al-Ahmar memberi sokongan kepada gerakan Houthi hingga mereka berjaya membuat Presiden Abdrabbuh Mansur Hadi meletak jawatan dan meninggalkan negara itu, sekali gus membawa kepada kejayaan pihak Houthi menawan Sanaa.

Encik Saleh sebelum itu merupakan presiden pertama republik Yaman, menyusuli penyatuan Yaman pada 22 Mei 1990, sehingga peletakan jawatannya pada 25 Februari 2012, menyusuli Revolusi Yaman.

Tindakan Encik Saleh meletakkan Pengawal Republikan setianya kepada Houthi telah membolehkan mereka menguasai 80 peratus penduduk Yaman.

Bagaimanapun pada Disember 2017, pemberontak Houthi dilaporkan telah membunuh Encik Saleh berdekatan Sanaa setelah beliau dikatakan berpaling tadah – daripada menyokong kepada melawan Houthi.

Sejak Houthi merampas kuasa, Yaman yang sudah menjadi negara Arab termiskin, ia telah dipecahbelahkan oleh perang saudara yang dahsyat.

Dianggarkan 150,000 orang terbunuh dalam perang yang menyebabkan berjuta-juta penduduk bergantung kepada bantuan makanan.

Selama tujuh tahun Houthi terselamat daripada gabungan serangan udara besar-besaran tetapi tidak berhasil menggulingkan mereka.

Gabungan itu diketuai oleh Arab Saudi yang bimbang terhadap hubungan Houthi dengan musuh ketat mereka, Iran.

“Orang Houthi mempunyai minda untuk berjaya, hasil siri kemenangan selama dua dekad,” kata pakar Timur Tengah dengan firma perundingan Navanti yang berpangkalan di Virginia, Amerika, Encik Mohammed Al-Basha.

“Menampilkan daya tahan dari 2015 hingga 2022, mereka berjaya menggagalkan percubaan gabungan pimpinan Arab Saudi untuk mengembalikan semula pemerintah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di Sanaa,” tambahnya.

Dari pertengahan November 2023 dan seterusnya, Houthi telah menggunakan peluru berpandu dan dron mereka untuk menyasarkan kapal dagang yang melintas perairan sempit dan strategik di Selat Bab Al-Mandeb.

Sokong Hamas

Sebagai tanda sokongan kepada Hamas yang berperang dengan Israel, Houthi berikrar meneruskan sasaran sehingga Israel menamatkan serangannya ke atas Gaza.

Apabila kapal perang Amerika dan Britiain datang untuk mempertahankan kapal kontena yang belayar di Laut Merah, Houthi menyerang kapal tersebut tetapi kehilangan tiga bot laju dan 10 kelasi dalam pertembungan berat sebelah dengan Tentera Laut Amerika.

Namun, kekalahan itu sebaliknya telah meluapkan semangat meraih kemenangan dan memupuk keangkuhan dalam pasukan mereka,” kata Encik Al-Basha.

Golongan Houthi – yang kebanyakannya berfahaman Zaidi Islam Syiah di Yaman namun majoritinya golongan Sunni – mewakili hanya sekitar 15 peratus penduduk Yaman.

Namun mereka menganggap diri mereka sebagai pemerintah yang sah.

Perbezaan mereka
dengan penduduk lain

“Mereka secara umumnya suka berperang, ganas dan kejam,” dakwa Duta Britain ke Yaman dari 2015 hingga 2107, Encik Edmund Fitton-Brown.

“Saya menemui contoh hebat kekejaman di Aden dan Taiz.

“Houthi menganggap diri mereka sebagai golongan elit. Beberapa tindakan ganas mereka terhadap orang awam Sunni di tengah dan selatan Yaman adalah luar biasa.

“Mereka bersedia mengerahkan penembak tepat dan membunuh bukan pejuang demi keseronokan,” dakwa Encik Fitton-Brown.

Sudah lama terdapat usaha bersepadu, diketuai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk menamatkan perang saudara di Yaman.

Saudi, yang mengiktiraf pemerintah Yaman yang sah tetapi digulingkan, telah memuktamadkan gencatan senjata yang rapuh dengan Houthi.

Encik Fitton-Brown mempunyai beberapa pengalaman berurusan dengan mereka dalam rundingan.

“Ia sangat mencabar”, akuinya.

“Mereka susah diajak berbincang, suka bermusuhan, berubah-ubah fikiran, mudah mengamuk, datang lewat dan keluar mesyuarat sesuka hati.

“Mereka berkeras untuk mendapatkan layanan VIP (orang penting) dan bekalan ‘qat’ (dadah daripada daun yang dikunyah ramai warga Yaman) mesti disediakan.

“Semasa rundingan damai, mereka membuat Kuwait, sebagai tuan rumah, jadi marah dan kecewa,” tambahnya.

Sejak Houthi memulakan serangan ke atas perkapalan, Amerika dan Britain bertindak balas dengan serangan udara ke atas pangkalan peluru berpandu mereka, terdapat bantahan besar-besaran terhadap Barat di ibu negara Yaman.

Encik Al-Basha berkata: “Dengan menentang apa yang dilihat ramai penduduk di utara Yaman sebagai kuasa asing, termasuk Amerika, Britain dan pakatan pimpinan Arab Saudi, dan secara langsung berhadapan dengan Israel untuk menyokong Gaza, Houthi telah meraih populariti.”

Beliau menambah bahawa Yaman kini kekal sebagai sebuah negara yang berpecah, dengan penentangan anti-Houthi berterusan di timur laut Yaman, Maarib, Taiz dan wilayah selatan.

Nampaknya tidak mungkin Houthi akan muncul sebagai pemenang dalam “pilihan raya yang bebas dan adil”.

Mengenai bantahan, Encik Fitton-Brown berkata Houthi membawa keluar perusuh ke jalan raya dengan cara menakutkan mereka.

“Houthi menganjurkan demonstrasi, memberi cuti ketika waktu bekerja, memaksa kehadiran mereka. Ramai kakitangan mereka diambil kerana menganggur dan terdesak untuk mendapatkan gaji,” ujar beliau.

Houthi nampaknya mempunyai bekalan dron dan senjata, kebanyakannya dibekalkan oleh Iran menerusi penyeludupan jalan laut atau merentasi sempadan padang pasir dengan Oman.

Bagaimana ini berakhir?

“Mereka tidak akan mahu kehilangan maruah “ kata Encik Fitton-Brown.

Beliau berkata: “Jika gencatan senjata berlaku di Gaza, mereka mungkin mengambil peluang untuk mengisytiharkan kemenangan, mendakwa telah mencapai matlamat mereka.

“Jika Iran bimbang tindakan Houthi itu akan meletakkan Republik Islam dalam risiko, mereka mempunyai pengaruh yang cukup untuk membantu Houthi mencari jalan keluar.”

Jadi buat masa ini, keadaan di selatan Laut Merah berada dalam kebuntuan.

Houthi tidak akan berundur di bawah tekanan tentera, meskipun satu demi satu tapak pelancaran peluru berpandu mereka musnah akibat serangan udara yang diketuai Amerika.

Mereka masih mempunyai banyak senjata dan terdapat tanda mereka sedang meningkatkan keupayaan dengan menyediakan tapak peluru berpandu permukaan-ke-udara dengan tujuan menembak jatuh jet pejuang Barat.

Nampaknya, Laut Merah dan Teluk Aden yang bersebelahan akan kekal sebagai zon berbahaya dunia. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >