JOHOR BAHRU: Lampu hijau telah diperoleh untuk pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) di tanah Kementerian Pertahanan Malaysia di Skudai.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata kementerian itu telah bersetuju memberikan 28.33 hektar daripada 202.34 hektar tanah miliknya bagi pembangunan hospital tersebut.
Beliau menambah, projek itu kini di peringkat perancangan Kementerian Kesihatan (KKM) selepas persetujuan Kementerian Pertahanan itu.
“Saya telah melawat tapak itu bersama Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, pada bulan lalu (Ogos), dan kementeriannya sedang merangka rancangan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Kesejahteraan peringkat negeri di Hab Kesejahteraan Hospital Sultanah Aminah pada Jumaat.
“Ini antara projek tumpuan kerajaan negeri.
“Jika perancangan berjalan lancar, kita akan membawa kepada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ) dan kemudian mudah-mudahan mendapat pertimbangan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya disenaraikan dalam Belanjawan 2024,” katanya lagi.
Pembinaan HSA 2 telah lama dibincangkan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi keperluan perubatan daripada kira-kira dua juta orang di ibu kota Johor dan dan kawasan sekitarnya.
Pada masa ini, dua hospital di bandar itu – Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail – beroperasi pada 90 peratus kapasiti dengan HSA menjadi hospital awam kedua paling sibuk di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur.
Sementara itu, Encik Ling juga berharap pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat di HSA akan turut disegerakan untuk mengatasi masalah kesesakan.
“Sebelum ini, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan RM500 juta ($145.22 juta) untuk menaik taraf perkhidmatan di HSA termasuk tempat letak kenderaan bertingkat. Jadi, saya harap pembinaan itu dapat disegerakan,” katanya.
Mengenai projek pembinaan hospital baru di Pasir Gudang pula, Encik Ling berkata ia dijangka siap akhir 2024.
Pada awal September, Dr Zaliha Mustafa, telah mempersembahkan cadangan pembinaan HSA2 kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Dalam pertemuan itu, Dr Zaliha turut mempersembahkan perancangan kerja naik taraf beberapa kemudahan di HSA. – The Star, BHM.