BANGKOK: Kira-kira 8,000 bagasi masih terkandas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi selepas banjir menyebabkan kekurangan kakitangan dan menjejaskan operasi Thai Airways International (THAI), dengan pihak berkuasa menjangkakan tunggakan itu dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga empat hari.

Lebih 10,000 bagasi terkumpul antara 26 dengan 29 September selepas banjir menyebabkan ramai kakitangan THAI tidak dapat datang bekerja, sekali gus mengganggu operasi pengasingan, pemindahan dan penghantaran bagasi di lapangan terbang utama Bangkok itu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Encik Phiphat Ratchakitprakarn, berkata kira-kira 1,800 bagasi sudah diproses dan dihantar kepada penumpang setakat 30 September.

Ini bermakna kira-kira 8,000 bagasi masih menunggu untuk diproses.

Menurut beliau, THAI mampu memproses sehingga 2,000 bagasi sehari sekiranya operasi dapat dijalankan pada kapasiti penuh.

“Thai Airways sedang berusaha menyelesaikan tunggakan bagasi dan masalah penumpang, khususnya penumpang transit yang masih ramai,” katanya kepada wartawan ketika meninjau keadaan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.

Bagi mempercepatkan operasi, pemerintah Thailand mengerahkan 100 anggota Tentera Udara Diraja Thailand untuk membantu kakitangan lapangan terbang mengangkat dan memindahkan bagasi.

Namun, tugas mengasingkan dan memadankan bagasi dengan pemilik masing-masing akan terus dikendalikan kakitangan THAI kerana ia memerlukan kemahiran dan pengetahuan khusus.

“Pengasingan bagasi memerlukan kemahiran dan kepakaran tertentu. Oleh itu, kami menambah tenaga kerja untuk membantu dalam kerja mengangkat dan memindahkan bagasi supaya kakitangan Thai Airways dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas yang memerlukan kepakaran mereka,” kata Encik Phiphat.

Ketua Pegawai Eksekutif THAI, Encik Chai Eamsiri, berkata kira-kira 90 peratus kakitangan barisan hadapan syarikat penerbangan itu sudah kembali bekerja, manakala sekitar 80 peratus kakitangan operasi juga kembali bertugas.

Encik Phiphat mengakui gangguan besar itu telah menjejaskan imej syarikat penerbangan nasional Thailand, terutama selepas gambar dan aduan mengenai ribuan bagasi yang terkandas tersebar luas di media sosial.

“Imej kita sudah tercalar. Apa yang berlaku hari ini tersebar di media sosial di seluruh dunia. Tiada siapa boleh menyembunyikannya,” katanya.

“Apa yang boleh kita lakukan sekarang ialah menyelesaikan masalah ini bersama-sama.”

THAI kini mempercepatkan proses pengasingan bagasi dan menghubungi penumpang secara langsung menggunakan maklumat hubungan yang didaftarkan dengan syarikat penerbangan itu.

Bagi penumpang domestik dan warga Thailand, mereka boleh memilih sama ada mengambil sendiri bagasi di lapangan terbang atau meminta ia dihantar ke tempat penginapan masing-masing.

Thailand Post menyediakan perkhidmatan penghantaran percuma bagi membantu proses itu.

Namun, penumpang transit menjadi antara cabaran terbesar kerana sebahagian daripada mereka enggan meneruskan perjalanan tanpa bagasi masing-masing.

Keadaan itu memerlukan kakitangan melakukan pemeriksaan satu demi satu bagi memastikan setiap bagasi dipadankan dengan pemilik yang betul sebelum penumpang meneruskan perjalanan.

THAI berkata ia mempunyai perlindungan insurans bagi bagasi yang hilang dan bersedia membayar pampasan kepada penumpang yang mengalami kerugian.

Syarikat itu juga bersedia menanggung perbelanjaan tertentu yang timbul akibat kelewatan atau perubahan penerbangan.

Krisis bagasi itu turut menyebabkan operasi penerbangan terjejas.

Lebih 60 penerbangan domestik dan antarabangsa dilaporkan dibatalkan sejak beberapa hari lalu, manakala beberapa perkhidmatan dikurangkan bagi mengelakkan lebih banyak bagasi terkumpul dan memberi ruang kepada kakitangan menyelesaikan tunggakan sedia ada.

THAI turut menggantung sementara penerimaan kargo masuk, keluar dan transit di terminal kargonya di Suvarnabhumi dari 30 September hingga 6 Oktober selepas banjir menjejaskan perjalanan kakitangan ke tempat kerja serta operasi gudang.

Pada masa sama, krisis itu mencetuskan persoalan mengenai tahap kesiapsiagaan THAI menghadapi kecemasan, khususnya selepas syarikat itu menjalani penstrukturan semula dan mengurangkan jumlah kakitangan tetap.

Laporan media Thailand menyatakan sebahagian kerja pengendalian darat telah diserahkan kepada tenaga kerja luar, termasuk pekerja harian dan sambilan.

Nation TV melaporkan bahawa kekurangan tenaga kerja menjadi lebih serius ketika banjir apabila sebahagian pekerja sementara tidak hadir bertugas.

Seorang bekas kakitangan THAI yang berkhidmat lebih 32 tahun, Dr Rungradit Kongyoungyune, pula berpandangan bahawa banjir mungkin menjadi pencetus kepada krisis itu, tetapi tidak semestinya menjelaskan keseluruhan kelemahan operasi yang berlaku.

“Jika banjir adalah satu-satunya punca, mengapa kita mampu mengharungi krisis yang lebih buruk pada masa lalu?” katanya seperti dipetik Post Today.

Beliau membandingkan keadaan sekarang dengan banjir besar Thailand pada 2011, ketika operasi penerbangan berdepan gangguan besar tetapi kakitangan terus bekerja dalam keadaan sukar.

Krisis terbaru itu kini bukan sahaja menuntut THAI menyelesaikan ribuan bagasi yang masih terkandas, malah menimbulkan persoalan lebih luas mengenai sama ada pengurangan kakitangan dan pergantungan kepada tenaga kerja luar telah menjejaskan daya tahan operasi syarikat penerbangan itu ketika berdepan kecemasan. - Agensi berita