Arab Saudi gantung kontrak 1,800 agensi pelancongan umrah kerana prestasi buruk
Arab Saudi gantung kontrak 1,800 agensi pelancongan umrah kerana prestasi buruk
RIYADH: Kerajaan Arab Saudi menggantung kontrak 1,800 agensi pelancongan asing daripada kira-kira 5,800 yang beroperasi dalam sektor umrah, menurut pengumuman Kementerian Haji dan Umrah pada 2 Februari.
Memetik Khaleej Times, kementerian berkenaan memberi agensi terbabit tempoh 10 hari untuk membetulkan kekurangan yang ditemukan semasa penilaian berkala termasuk prestasi dan mutu perkhidmatan.
Jelas mereka, penggantungan itu hanya terpakai untuk pengeluaran visa baharu dan bertujuan membantu agensi meningkatkan pematuhan terhadap piawaian diluluskan.
“Kontrak agensi akan diaktifkan semula apabila syarat dipenuhi dalam tempoh ditetapkan.
“Jemaah dengan visa sah atau tempahan sedia ada tidak akan terjejas dan perkhidmatan umrah akan diteruskan tanpa gangguan,” katanya.
Jurucakap kementerian, Ghassan Alnwaimi menegaskan, tindakan akan diambil terhadap agensi yang gagal membetulkan kekurangan berkenaan sebelum tarikh akhir.
Agensi pelancongan umrah mesti mendapat kebenaran rasmi kementerian, dan semua pakej perlu ditempah serta disahkan melalui platform Nusuk.
Mulai 2026, agensi perlu mengurus dokumen jemaah dengan ketat termasuk pasport sah sekurang-kurangnya enam bulan, visa umrah sah dan insurans kesihatan.
Difahamkan, kementerian itu juga mengurangkan tempoh sah kemasukan visa umrah kepada 30 hari, manakala tempoh tinggal dibenarkan sehingga 90 hari bagi menunaikan ibadah dan perjalanan dalam Arab Saudi.
Jemaah wajib menggunakan aplikasi Nusuk untuk mendapatkan permit umrah, mengurus tempahan, jadual slot ritual dan kebenaran masuk melalui kod QR di masjid suci.
Visa hanya dikeluarkan dengan Nombor Rujukan Tempahan (BRN) yang disahkan bagi penginapan, pengangkutan darat dan tiket penerbangan.
Kerajaan menetapkan tarikh akhir tegas untuk musim Umrah 2026 seperti pengeluaran visa 20 Mac, kemasukan jemaah (3 April) dan keluar wajib (18 April).

