PARIS: Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, menegaskan Israel tidak boleh menghalang usaha pengiktirafan negara Palestin melalui pengilhakan wilayah di Gaza atau merampas lebih banyak wilayah di Tebing Barat.
Perancis adalah antara beberapa negara yang merancang mengiktiraf negara Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan datang di New York, dengan Belgium menjadi negara Barat terbaru mengumumkan langkah itu.
“Tiada serangan, cubaan penaklukan atau pengusiran penduduk secara paksa mampu menjejaskan momentum ke arah penyelesaian dua negara”, kata Encik Macron di wadah X selepas berbincang dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Encik Mohammed bin Salman.
Encik Macron turut mengecam keputusan Amerika Syarikat menafikan visa kepada anggota kepimpinan Palestin untuk menghadiri mesyuarat di New York sebagai sesuatu yang ‘tidak boleh diterima’, dengan langkah yang turut dikritik Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan.
“Kami mendesak supaya langkah ini ditarik balik dan memastikan wakil Palestin dapat hadir selaras dengan Perjanjian Negara Tuan Rumah,” tambah Encik Macron.
Kenyataan itu dibuat menyusuli rancangan Israel yang dilaporkan sedang mempertimbangkan pengilhakan Tebing Barat yang didudukinya sebagai tindak balas terhadap Perancis dan beberapa negara lain yang mengiktiraf negara Palestin.
Setakat ini, masih belum jelas di mana dan bila langkah itu akan dilaksanakan, sama ada hanya di penempatan Israel atau sebahagiannya atau di kawasan tertentu Tebing Barat seperti Lembah Jordan.
Sebarang langkah ke arah pengilhakan Tebing Barat dijangka mengundang kecaman meluas daripada Palestin, yang menuntut wilayah itu untuk negara masa depan mereka serta negara Arab dan Barat.
Malah pendirian Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengenai isu berkenaan juga tidak jelas.
Terdahulu, janji Encik Netanyahu untuk mengilhakkan penempatan Yahudi dan Lembah Jordan dibatalkan pada 2020 bagi memberi laluan kepada usaha menjalin hubungan dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menerusi Perjanjian Abraham yang diusahakan Encik Trump dalam penggal pertamanya.
Kenyataan Perancis itu juga dibuat ketika Israel memperhebat operasi perang menentang Hamas di Gaza, meskipun berdepan tekanan antarabangsa berhubung kesan kemanusiaan yang semakin parah terhadap penduduk Palestin di wilayah pantai yang dikepung itu.
Sementara itu, Ketua Misi Palestin di London, Encik Husam Zomlot, berkata pengiktirafan negara Palestin mampu mempercepat penyelesaian dua negara.
“Britain, Perancis, Canada, Australia dan Belgium semuanya menyatakan akan mengiktiraf negara Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hujung bulan ini (September).
“Langkah ini bertujuan memberi tekanan kepada Israel supaya menamatkan serangan di Gaza dan menghentikan pembinaan penempatan Yahudi baru di Tebing Barat yang diduduki.
“Saya fikir ia akan menjadi tembakan permulaan kepada apa yang kami harap sebagai satu larian pantas, bukan sekadar perarakan, untuk melaksanakan penyelesaian dua negara, dan kami berharap Britain memainkan peranan aktif, berkesan dan bermakna,” katanya kepada agensi berita, Reuters.
Penyelesaian dua negara membayangkan kewujudan bersama dalam keadaan damai sebuah negara Palestin di wilayah yang ditawan Israel dalam perang 1967, dengan Gaza dan Tebing Barat dihubungkan melalui koridor merentas Israel.
Namun, kata Encik Zomlot, cadangan itu semakin sukar dicapai berikutan pembangunan pantas pembinaan penempatan Yahudi di wilayah diduduki, selain kedua-dua pihak kekal dengan pendirian tegar berhubung isu teras termasuk sempadan, nasib pelarian Palestin dan status Baitulmakdis.
“Sebaik sahaja kita berjaya mewujudkan tekanan yang mencukupi, tekanan yang benar-benar bermakna, saya yakin ia pasti boleh dicapai,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg