RIYADH: Arab Saudi menyaksikan episod musim sejuk luar biasa apabila salji turun, hujan lebat dan penurunan suhu mendadak melanda sebahagian besar negara itu, lapor laman India Today.
Kejadian itu berlaku di sebuah negara yang sinonim dengan cuaca panas terik dan landskap padang pasir, sekali gus menarik perhatian penduduk yang teruja, namun berwaspada.
Fenomena berkenaan turut menekankan bagaimana perubahan iklim mencetuskan corak cuaca tidak biasa di wilayah yang tidak bersedia menghadapinya.
Media yang sama melaporkan salji mengejutkan dilaporkan di utara Arab Saudi, mengubah rupa banjaran gunung di Wilayah Tabuk.
Trojena, destinasi tanah tinggi di Jebel Al-Lawz setinggi kira-kira 2,600 meter (m), turut dilitupi salji bersama hujan ringan.
Sebahagian Wilayah Hail, termasuk sekitar bandar Hail, juga menyaksikan salji turun sekali gus menandakan ia satu kejadian yang jarang berlaku.
Difahamkan, suhu menurun di bawah kosong darjah Celsius di beberapa lokasi pada awal pagi, termasuk mewujudkan keadaan sesuai untuk pengumpulan salji di kawasan tanah tinggi.
Gelombang sejuk itu turut disertai hujan meluas di beberapa wilayah termasuk hujan sederhana hingga lebat di Riyadh, Qassim dan sebahagian wilayah Timur.
Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM), salji turut diperhatikan di Al-Majmaah dan Al-Ghat di utara Riyadh.
Jurucakap NCM, Hussein Al-Qahtani berkata, keadaan itu didorong oleh jisim udara sejuk yang memasuki kawasan tengah dan utara serta berinteraksi dengan awan pembawa hujan.
Beliau berkata, suhu dijangka kekal rendah terutama di bahagian utara dan tengah, manakala pihak berkuasa menasihatkan penduduk untuk memandu dengan berhati-hati dan mengelakkan lembah berisiko banjir.
Difahamkan, imej dan video banjaran gunung bersalji yang tular di media sosial menarik kehadiran orang ramai ke Al-Majmaah dan Al-Ghat.
Kejadian itu turut menghidupkan semula perbincangan mengenai peningkatan ketidakstabilan cuaca sejagat susulan perubahan iklim. - Agensi Berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg