Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baucar istimewa buat warga harungi isu kos sara hidup

Jul 6, 2025 | 5:30 AM
Lidah pengarang
Lidah pengarang - Foto fail

Baucar istimewa buat sambutan tahun kemerdekaan istimewa.

Sempena sambutan hari kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60) pada 2025, warga Singapura berusia 21 tahun dan ke atas menerima berita gembira dengan pengagihan baucar khas pada Julai ini.

Warga Singapura berusia lebih 60 tahun pastinya lebih gembira kerana diberikan baucar SG60 ini bernilai $800 mulai 1 Julai.

Mereka yang lebih muda pula – berusia 21 hingga 59 tahun – akan menerima baucar berkenaan sebanyak $600 tiga minggu kemudian, atau mulai 22 Julai ini.

Kededua nilai baucar itu dianggap lumayan dengan separuh daripada nilai baucar itu boleh dibelanjakan di pasar raya tempatan yang menerima baucar tersebut, manakala separuh lagi di gerai makanan dan kedai di estet kejiranan.

Cara memperoleh dan menggunakan baucar SG60 itu serupa dengan cara mendapatkan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) yang diperkenalkan pemerintah Singapura secara berkala semasa pandemik Covid-19 sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Singapura atas perpaduan mereka, dan juga untuk menyokong perniagaan tempatan.

Menurut pemerintah, antara tujuan utama baucar SG60 itu adalah bagi membantu warga Singapura menangani kos sara hidup yang meningkat.

Warga turut dinasihatkan agar tidak tergesa-gesa menebus baucar SG60 memandangkan ia sah sehingga 31 Disember 2026.

Satu perkara yang menggembirakan tentang baucar SG60 ini adalah ia diberi kepada segenap lapisan warga, yang berusia 21 tahun dan ke atas, tidak kira pendapatan dan jenis kediaman.

Seperti kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam satu hantaran di media sosialnya pada 1 Julai, baucar itu adalah “cara kami (pemerintah) untuk mengiktiraf sumbangan semua rakyat Singapura dalam perjalanan membina negara kita”.

Bezanya baucar SG60 ini dengan baucar CDC adalah ia diberikan kepada setiap individu Singapura (21 tahun dan ke atas), dan merupakan sebahagian daripada pakej SG60 lebih luas yang diumumkan Encik Wong dalam Belanjawan 2025.

Sekitar tiga juta orang dewasa akan menerima baucar itu, yang dianggarkan menelan belanja $2.02 bilion bagi pihak pemerintah.

Pemberian baucar SG60 juga melengkapi bantuan kewangan berkala yang diberikan pemerintah dan ini termasuklah baucar CDC, rebat U-Save untuk bil utiliti dan rebat bagi Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) pada Julai.

Hampir sejuta isi rumah dengan warga Singapura tinggal di flat HDB akan menerima rebat U-Save dan rebat caj penyelenggaraan tersebut.

Turut diberikan pada Julai ini adalah kepada keluarga yang mempunyai anak yang layak dan akan menerima kredit LifeSG Anak atau tokokan ke dalam akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA).

Secara keseluruhannya, pelbagai bantuan dari segi baucar, wang tunai dan tokokan diberikan kepada warga dalam membantu mereka menghadapi kos sara hidup yang meningkat.

Umumnya, masalah kos sara hidup bukan hanya berlaku di Singapura, bahkan di negara di Asia Tenggara dan serata dunia. 

Sama penting adalah bagi warga berhemat dalam berbelanja seiring amalan kewangan lebih bijak.

Mereka tidak harus bersikap boros apabila menggunakan baucar SG60 dan baucar CDC lain yang diedarkan secara percuma.

Semasa tempoh ekonomi dan geopolitik yang tidak menentu sekarang ekoran perang di Eropah, perang dagangan dan tarif, adalah perlu bagi warga berusaha menambah tabung simpanan keluarga demi menyediakan payung sebelum hujan.

Kita juga harus bersyukur kerana kemampuan negara ini untuk terus memberi baucar khas yang membawa keceriaan kepada warga.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg