Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump ramal perang Iran berakhir jelang akhir Nov
Dakwa Teheran mahu capai perjanjian, ramal harga petrol turun mendadak sebaik sahaja konflik berakhir
Trump ramal perang Iran berakhir jelang akhir Nov
DOONBEG (Ireland): Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mendakwa Iran mahu mencapai perjanjian bagi menamatkan perang, sambil meramalkan harga petrol di Amerika akan turun dengan mendadak sebaik sahaja konflik itu berakhir.
Menurut Encik Trump, perang yang kini memasuki bulan ketujuh itu mungkin berakhir sebelum atau tidak lama selepas pilihan raya separuh penggal Amerika pada November.
“Lihat, ia boleh berakhir sebelum pilihan raya separuh penggal, tetapi ia mungkin akan berakhir selepas pilihan raya separuh penggal,” katanya kepada wartawan di Ireland pada 13 September.
Beliau berada di negara itu untuk menghadiri beberapa pertemuan dan menyaksikan kejohanan golf Terbuka Amgen Irish yang berlangsung di Trump International Golf Links miliknya di Doonbeg.
Encik Trump mendakwa pegawai Iran “sentiasa menghubungi” Amerika kerana mahu mencapai persetujuan untuk menamatkan perang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Washington hanya akan menerima perjanjian yang dianggap menguntungkan Amerika.
“Saya tidak akan membuat perjanjian yang tidak baik,” katanya.
Teheran sebelum ini menolak dakwaan bahawa ia berulang kali menghubungi Washington untuk mengadakan rundingan damai.
Agensi berita Iran, Mehr, turut menyifatkan dakwaan terkini Encik Trump sebagai “tidak masuk akal” dan menuduh beliau cuba mengalihkan perhatian daripada masalah ekonomi dalaman Amerika yang semakin terjejas akibat perang.
Encik Trump pada masa yang sama menegaskan bahawa sebarang persetujuan mesti memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear.
“Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dan mereka tidak akan memiliki senjata nuklear,” katanya.
Perang itu mencetuskan pergolakan besar dalam pasaran tenaga dunia, terutama selepas gangguan terhadap perkapalan dan prasarana minyak di Timur Tengah.
Harga petrol purata di Amerika mencecah AS$4.31 ($5.47) bagi setiap 3.79 liter pada Ahad, meningkat daripada AS$4.07 sebulan lalu dan AS$3.19 setahun lalu, ujar Persatuan Automobil Amerika (AAA).
Encik Trump berkata harga petrol akan “merosot seperti batu” apabila perang berakhir.
Pasaran minyak pula dijangka terus berdepan tekanan selepas serangan terkini terhadap saluran paip minyak Arab Saudi meningkatkan kebimbangan mengenai bekalan tenaga sejagat.
Namun, Encik Trump turut membangkitkan kemungkinan Amerika tidak berundur sepenuhnya dari Iran selepas perang berakhir.
Menurutnya, Washington mungkin memilih untuk terus berada di Iran dan “mengambil minyak”, sambil membandingkan kemungkinan itu dengan pendekatan Amerika terhadap Venezuela.
“Kami akhirnya akan keluar, kecuali kami memutuskan untuk kekal dan mengambil minyak, seperti di Venezuela,” katanya.
Menurut Encik Trump, hasil yang diperoleh Amerika dari Venezuela sudah cukup untuk menampung kos perang di negara itu “berkali-kali”.
Beliau tidak memberikan butiran mengenai bagaimana Amerika boleh kekal di Iran atau menguasai sumber minyak negara tersebut.
Apabila ditanya mengenai usaha beberapa negara Teluk mengadakan rundingan dengan Teheran, Encik Trump berkata beliau tidak membantah langkah tersebut.
“Saya tidak peduli. Itu terpulang kepada mereka. Tidak mengapa,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika usaha diplomatik untuk meredakan konflik berdepan kesukaran, dengan pertempuran terus menjejas laluan tenaga utama dan meningkatkan tekanan terhadap ekonomi serantau serta sejagat.
Perang yang bermula pada akhir Februari itu juga sudah meragut nyawa 18 anggota tentera Amerika.
Walaupun Encik Trump terus meramalkan perang akan berakhir 2026, belum ada tanda jelas Washington dan Teheran hampir mencapai persetujuan, dengan kedua-dua pihak masih berbeza pendirian mengenai syarat untuk menghentikan konflik. – Agensi berita.
