Topik diikuti
Pergi ke BHkuVideo monyet kartun cetus bantahan diplomatik Filipina terhadap China
Video monyet kartun cetus bantahan diplomatik Filipina terhadap China
Video monyet kartun cetus bantahan diplomatik Filipina terhadap China
MANILA: Filipina mengemukakan bantahan diplomatik terhadap China selepas akhbar milik negara itu, China Daily, menyiarkan video yang menggambarkan rakyat Filipina sebagai seekor monyet kartun, tindakan yang disifatkan Manila sebagai bersifat perkauman dan menghina.
Bantahan itu dibuat ketika hubungan kedua-dua negara terus tegang susulan pertikaian berpanjangan mengenai tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
Timbalan Setiausaha Luar Filipina, Encik Leo Herrera-Lim, menyampaikan bantahan rasmi itu dalam pertemuan dengan Duta Besar China ke Manila, Encik Jing Quan, pada 16 Julai.
Dalam kenyataannya, Kementerian Luar Filipina berkata Encik Herrera-Lim menyatakan “bantahan tegas terhadap kandungan yang menghina” dan menuntut supaya video berkenaan segera diturunkan.
“Kandungan seperti ini tidak mencerminkan sikap saling menghormati yang sepatutnya diamalkan antara negara serta menjejaskan usaha mengekalkan hubungan dua hala yang stabil,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut memfailkan bantahan diplomatik rasmi dengan menyatakan China Daily telah melampaui batas perbahasan politik yang sah apabila menggunakan gambaran yang menghina, tidak berperikemanusiaan dan berunsur perkauman terhadap rakyat Filipina.
Kedutaan Filipina di Beijing turut menghantar surat kepada ketua pengarang China Daily bagi menuntut bahan berkenaan dipadamkan dengan segera.
Video berdurasi kira-kira seminit yang dimuat naik di laman Facebook China Daily memaparkan seekor monyet memakai pakaian tradisional Filipina, barong, dipaksa menyanyi di atas pentas karaoke di sebuah bot.
Apabila monyet itu menyanyikan lirik yang dilihat menyokong pendirian China dalam rundingan sempadan maritim dengan Jepun dan Filipina, satu suara menjerit “lagu yang salah” sebelum menyerahkan sekeping kertas bertulis “Keputusan Timbang Tara Laut China Selatan”.
Video itu kemudian memaparkan tangan yang membawa bendera Amerika Syarikat dan Jepun melontarkan monyet berkenaan menggunakan lastik ke arah semburan meriam air, merujuk kepada insiden penggunaan meriam air oleh Pengawal Pantai China terhadap kapal Filipina di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan Filipina, Encik Gilberto Teodoro, mengecam video itu dan menyifatkannya sebagai bukti kegagalan moral serta intelektual jentera propaganda China.
“Video yang mengagungkan keganasan terhadap rakyat dan anggota tentera Filipina ini menunjukkan betapa muflisnya propaganda China.
“Tindakan tidak berperikemanusiaan ini membuktikan China bukan jiran yang boleh dipercayai,” katanya.
Jurucakap Kedutaan China di Manila berkata pihaknya mengambil maklum reaksi pemerintah Filipina terhadap kandungan yang diterbitkan China Daily.
Kontroversi itu tercetus hanya beberapa hari selepas Filipina memperingati ulang tahun ke-10 keputusan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa pada 2016 yang memutuskan bahawa tuntutan China ke atas sebahagian besar Laut China Selatan tidak mempunyai asas undang-undang.
Filipina turut mengeluarkan kenyataan bersama yang disokong 13 negara lain, termasuk Amerika Syarikat dan Jepun, yang menegaskan keputusan tribunal itu adalah mengikat di sisi undang-undang.
China bagaimanapun terus menolak keputusan itu dan menyifatkannya sebagai tidak sah, selain mendakwa kenyataan bersama berkenaan memutarbelitkan fakta serta bertujuan memburukkan Beijing.
Hubungan kedua-dua negara semakin tegang sejak kebelakangan ini, termasuk apabila China bulan lalu mengenakan sekatan terhadap Teodoro selepas beliau mengkritik tindakan Beijing di Laut China Selatan. Menteri itu kini dilarang memasuki tanah besar China, Hong Kong dan Macau. - Agensi berita
