Topik diikuti
Pergi ke BHkuWhatsApp perkenal ciri privasi terkini, kunci nama ahli politik S’pura
WhatsApp perkenal ciri privasi terkini, kunci nama ahli politik S’pura
WhatsApp perkenal ciri privasi terkini, kunci nama ahli politik S’pura
Platform pesanan popular, WhatsApp, akan melancarkan ciri baru yang membolehkan pengguna menyembunyikan nombor telefon mereka dan menunjukkan nama pengguna pilihan mereka.
Menurut The Straits Times (ST), menjelang pelancarannya pada lewat 2026, platform itu telah mengunci nama pengguna berprofil tinggi seperti @LawrenceWong, @OngYeKung dan @VivianBalakrishnan.
Mereka adalah Perdana Menteri, Menteri Kesihatan dan Menteri Ehwal Luar Singapura.
Platform teknologi itu memberitahu ST langkah tersebut menghalang penyamar daripada mendakwa sebagai tokoh awam, entiti pemerintah atau selebriti.
“Untuk melindungi daripada penyamaran, kami telah mengunci nama-nama berprofil tertinggi... jadi ia hanya boleh dituntut oleh pemilik sahnya. Terbitan bagi nama yang hampir serupa juga turut dikunci,” kata seorang jurucakap.
Ketua penyelidikan risikan ancaman di Unit Penyelidikan Ancaman syarikat perlindungan siber, Acronis, Encik Santiago Pontiroli, berkata nama pengguna yang digunakan oleh penipu boleh menampilkan aksara yang serupa secara visual atau perbezaan ejaan yang halus dengan gambar profil yang meyakinkan agar kelihatan sahih.
Contohnya, penipu boleh mendaftarkan nama pengguna @ongyekungg untuk menyamar sebagai Menteri Kesihatan Singapura.
Semakan ST menunjukkan pelbagai pilih atur nama ahli politik Singapura telah dikunci. Ini termasuk @Lawrence_Wong, @LawrenceWongg dan @LawrenceW0ng.
Pada 29 Jun, WhatsApp mula membenarkan tiga bilion pengguna globalnya menempah nama pengguna sebelum pelancaran operasi, dengan tujuan membolehkan orang ramai melindungi privasi mereka dengan menyembunyikan nombor telefon mereka, yang kini boleh dilihat oleh semua pengguna lain.
Jika pengguna menggunakan nama pengguna, individu atau perniagaan untuk mengirim mesej buat kali pertama, mereka tidak akan melihat nombor telefonnya melainkan mereka sudah menyimpannya.
Perniagaan yang menggunakan WhatsApp untuk menghubungi pelanggan juga boleh mula menggunakan nama pengguna baru sebelum orang lain melakukannya.
Nama pengguna diberikan berdasarkan siapa cepat dia dapat.
Pengguna WhatsApp boleh terus menggunakan nombor telefon bimbit mereka jika mereka memilih untuk tidak memilih nama pengguna.
Apabila pertikaian mengenai nama pengguna berlaku, laporan terhadap penyamar boleh dihantar di laman web WhatsApp.
Platform tersebut kemudiannya akan menjalankan semakan dan mengambil tindakan.
