Lebih 90% arahan turunkan kandungan siber jenayah libat kes penipuan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 90% arahan turunkan kandungan siber jenayah libat kes penipuan

Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (OCHA) sumbang penurunan 36.5% kes penipuan libatkan platform dalam talian
Feb 28, 2026 | 12:00 PM

Lebih 90% arahan turunkan kandungan siber jenayah libat kes penipuan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pengarah Pejabat Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (OCHA), Penolong Pesuruhjaya Polis (AC) Marc E (tiga dari kanan), Timbalan Penolong Pesuruhjaya (DAC) Audrey Ong (empat dari kanan) serta Pengarah Kepercayaan dan Pengalaman Pelanggan Carousell, Encik Gijs Verheijke (dua dari kanan), berkongsi fungsi dan kemajuan OCHA dalam tangani bahaya di ruang siber kepada ahli media di New Phoenix Park pada 19 Februari.
Pengarah Pejabat Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (OCHA), Penolong Pesuruhjaya Polis (AC) Marc E (tiga dari kanan), Timbalan Penolong Pesuruhjaya (DAC) Audrey Ong (empat dari kanan) serta Pengarah Kepercayaan dan Pengalaman Pelanggan Carousell, Encik Gijs Verheijke (dua dari kanan), berkongsi fungsi dan kemajuan OCHA dalam tangani bahaya di ruang siber kepada ahli media di New Phoenix Park pada 19 Februari. - Foto ZAOBAO

Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (OCHA) – yang memberi kuasa kepada pemerintah mencegah kegiatan jenayah siber sejak Februari 2024 – merupakan satu daripada beberapa langkah yang berjaya menurunkan kes penipuan pada 2025.

Laporan tahunan penipuan Pasukan Polis Singapura (SPF) 2025 mendedahkan, kadar kes menyusut buat pertama kali setelah lapan tahun meningkat berturut-turut.

Sekitar 37,308 kes dilaporkan pada 2025, turun 27.6 peratus berbanding 51,501 kes pada 2024.

OCHA menyumbang kepada penyusutan 36.5 peratus kes penipuan yang melibatkan platform dalam talian yang dikenal pasti berisiko tinggi kepada rakyat Singapura.

Walaupun OCHA menangani pelbagai jenis jenayah dan kebahayaan, 90 peratus arahan yang dikeluarkan berkaitan dengan kes penipuan.

Bercakap di sidang media di New Phoenix Park pada 19 Februari, Pengarah Pejabat OCHA, Penolong Pesuruhjaya Polis (AC) Marc E, berkata penubuhan OCHA memainkan peranan penting dalam mengurangkan ancaman penipuan.

Namun, beliau menekankan bahawa pendekatan pelbagai strategi tetap diperlukan bagi memastikan kemajuan berterusan dalam membanteras penipuan dan kemudaratan dalam talian yang lain.

“Kami sedar usaha pemerintah sahaja tidak memadai untuk mencegah jenayah dan bahaya dalam talian.

“Lantas, kami bekerjasama dengan industri untuk memahami jenayah siber dengan lebih baik, sambil memperkukuhkan pendekatan pelbagai strategi,” katanya.

Mereka juga perlu mencari keseimbangan bersama pengendali platform dalam talian supaya langkah pencegahan tidak terlalu menjejas pengalaman pengguna.

AC Marc menjelaskan dua pendekatan utama jabatan OCHA untuk membanteras penipuan melalui platform dalam talian.

Pendekatan pertama bersifat proaktif, menyaksikan jabatan OCHA mengarahkan pengendali platform dalam talian agar menetapkan langkah atau sistem pencegahan bagi menangani risiko serta jenis jenayah yang dikenal pasti pada peringkat awal.

Pendekatan kedua pula menghendaki platform menyekat akses pengguna Singapura kepada kandungan berbahaya, termasuk menurunkan akaun yang dikaitkan dengan kandungan tersebut.

Bermula Jun 2024, OCHA turut memperkenalkan dua Kod Amalan (COP) untuk memperkukuh kerjasama dengan pengendali platform media sosial, e-dagang dan komunikasi.

Timbalan Pengarah (Dasar) OCHA, Timbalan Penolong Pesuruhjaya (DAC) Audrey Ong menjelaskan, COP memudahkan proses kerjasama dengan pengendali platform dalam talian bagi mencegah jenayah penipuan.

Berdasarkan data OCHA, platform dalam talian yang ditetapkan di bawah COP dinilai berisiko tinggi dan berpotensi menimbulkan kesan penipuan yang lebih besar.

Ini termasuk Meta (syarikat induk Facebook), serta Carousell, Telegram, WeChat, WhatsApp dan TikTok.

Menurut laporan tahunan penipuan polis 2025, beberapa platform ini merupakan kaedah utama yang digunakan penipu untuk menghubungi mangsa.

AC Marc dan DAC Ong memperincikan beberapa langkah pencegahan penipuan yang berkesan hasil kerjasama OCHA dengan pengendali platform tersebut.

Contohnya, platform beli-belah dan tempahan perkhidmatan Carousell bekerjasama dengan OCHA dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk memerangi penipuan e-dagang.

Pengarah Kepercayaan dan Pengalaman Pelanggan Carousell, Encik Gijs Verheijke, berkongsi langkah mengesahkan akaun pengguna Carousell melalui Singpass dengan kerjasama OCHA.

SPF melaporkan, semasa tempoh percubaan Jun hingga Disember 2024, kadar penipuan e-dagang di Carousell menurun sekitar 11 peratus, manakala kadar penipuan keseluruhan susut 36 peratus dari April hingga Jun 2025.

Encik Verheijke berkata: “Jabatan OCHA menunjukkan perspektif pemerintah, membolehkan Carousell memahami skop dan mekanisme penipuan, sekali gus membolehkan kami menangani kes penipuan lebih awal.”

Misalnya, Carousell bekerjasama dengan SPF pada April 2025 untuk menangani penipuan berskala antarabangsa, di mana mangsa diperdaya dengan harga staycation di Marina Bay Sands yang dijual dengan diskaun tinggi.

Beliau menambah, langkah pengesahan Singpass membantu mencegah kira-kira 90 peratus kes penipuan di Carousell, dan sistem itu terus diperhalusi agar penipu tidak mengeksploitasi akaun yang disahkan.

Pada November 2025, OCHA turut mengarahkan Google dan Apple menetapkan langkah bagi mencegah penipuan penyamaran sebagai pegawai pemerintah melalui platform pesanan Google dan iMessage.

Pengarah Hal Ehwal Pemerintah dan Dasar Awam Google Singapura, Encik Clement Cher, menyatakan komitmen mereka untuk “membangunkan kepercayaan secara berperingkat demi menyokong penguatkuasaan undang-undang tempatan”.

Menurut Google, antara usaha mereka di Singapura ialah melancarkan langkah perlindungan Google Play yang dipertingkatkan untuk menyekat aplikasi berbahaya.

Setakat ini di Singapura, 3 juta cubaan pemasangan berisiko bagi lebih 55,000 aplikasi berbahaya telah disekat.

Langkah itu juga dilancarkan pada skala antarabangsa untuk melindungi lebih 2.8 bilion peranti.

Pada September 2025, polis mengeluarkan arahan yang memerlukan Meta untuk melaksanakan langkah mencegah kegiatan penipuan menyamar sebagai pemegang jawatan pemerintah, setelah melihat kadar kes itu meningkat dari Jun 2024 hingga Jun 2025.

AC Marc berkata: “Kami melihat kadar penipuan menyamar sebagai pemegang jawatan kementerian di Facebook menurun setelah arahan yang pertama dikeluarkan.”

OCHA terus bekerjasama dengan Meta, dengan satu lagi arahan perlu dipatuhi setakat 28 Februari.

Arahan tersebut mewajibkan Meta melindungi individu di Singapura yang dinilai oleh polis sebagai berisiko tinggi untuk disamarkan, termasuk mereka yang telah disamarkan dan membuat laporan polis.

Jabatan OCHA juga bekerjasama dengan TikTok sejak September 2025, yang menyaksikan kadar kes penipuan melonjak 241 peratus dari 2023 hingga 2024.

Lantas, SPF dan TikTok menetapkan saluran hubungan untuk merakamkan laporan kes penipuan dan kegiatan berbahaya di platform itu.

Selain daripada penipuan, OCHA turut berkesan dalam mencegah jenayah lain.

Contohnya, mereka bekerjasama dengan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) membendung saluran penjualan vape melalui platform seperti Telegram.

Jabatan OCHA ingin terus memperkukuhkan usaha mereka untuk meningkatkan keselamatan di ruang siber, terutama dalam menangani kes penipuan.

“Perangkaan kes penipuan menunjukkan bahawa pendekatan perundangan dan kerjasama dengan industri telah memperbaiki keadaan.

“Namun, penipu sentiasa mengubah strategi. Lantas, kita perlu terus berwaspada dan bekerjasama dengan lebih rapat bersama platform tempatan dan antarabangsa, serta mendidik orang awam demi memerangi penipuan di pelbagai peringkat,” kata AC Marc.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg