Topik diikuti
Pergi ke BHku2,000 sambungan Internet alami gangguan di Bishan, Thomson
2,000 sambungan Internet alami gangguan di Bishan, Thomson
Sekitar 2,000 sambungan Internet di Bishan dan Thomson mengalami gangguan akibat kerosakan pada kabel gentian semasa kerja-kerja pembinaan, menurut kenyataan NetLink Trust di laman webnya pada 15 September.
NetLink Trust bertanggungjawab mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan infrastruktur rangkaian gentian pasif bagi Rangkaian Jalur Lebar Seluruh Negara.
Dalam satu hantaran pada 5 petang 15 September, syarikat itu menyatakan bahawa siasatan awal mendapati beberapa kabel gentian NetLink telah rosak semasa kerja-kerja pembinaan oleh kontraktor pihak ketiga yang tidak dilantik oleh NetLink Trust.
"Kami sedang menyiasat keadaan sebenar kejadian ini.
“Pasukan pemulihan kami berada di lokasi yang terjejas dan kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan," kata NetLink Trust.
Syarikat itu menambah bahawa perkhidmatan dijangka pulih sepenuhnya menjelang pagi 16 September, kecuali jika berlaku keadaan di luar jangkaan, mengambil kira tahap kerosakan pada kabel berkenaan.
Syarikat itu memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan memaklumkan bahawa pasukannya sedang bekerja sepanjang masa serta bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan Internet untuk memulihkan perkhidmatan tersebut.
Dalam hantaran berasingan di media sosial pada 15 September, syarikat telekomunikasi Singtel, StarHub dan M1 menyatakan bahawa gangguan itu mungkin menjejaskan sebahagian pelanggan mereka.
StarHub menyatakan dalam hantaran Facebook bahawa gangguan itu berpunca daripada "pemotongan kabel gentian", manakala Singtel pula memaklumkan di platform media sosial yang sama bahawa mereka telah dimaklumkan oleh NetLink Trust mengenai gangguan di Bishan itu.
Ketiga-tiga syarikat telekomunikasi itu sedang bekerjasama dengan NetLink Trust bagi menangani isu berkenaan.
Di laman web Downdetector, Singtel merekodkan kemuncak kira-kira 120 laporan gangguan perkhidmatan sekitar jam 2.30 petang, manakala StarHub merekodkan 91 laporan sekitar jam 1.40 petang.
M1 pula merekodkan 32 laporan sekitar jam 1.30 petang.
NetLink Trust sebelum ini pernah mengalami gangguan perkhidmatan gentian pada April, yang menjejaskan 5,000 sambungan jalur lebar di kawasan tengah dan timur laut Singapura selama kira-kira 20 jam.
Kerosakan kabel itu turut menjejaskan sistem jangkaan masa ketibaan bas, menyebabkan sistem tersebut memaparkan waktu ketibaan bas yang tidak tepat serta tempoh menunggu yang lama di perhentian bas dan pada aplikasi mudah alih.
Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) ketika itu menyatakan bahawa kabel perkhidmatan gentian tersebut rosak semasa kerja-kerja pembinaan bagi projek Koridor Utara-Selatan.
