Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP Shawn Loh bakal jadi pengarah urusan kumpulan firma di sebalik jenama PastaMania

Oct 10, 2025 | 5:23 PM
Barisan pasukan kepimpinan Commonwealth Capital akan diubah dan terdiri daripada (dari kiri) Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Encik Ryan Kwan; Pengerusi Eksekutif, Encik Andrew Kwan, dan Pengarah Urusan Kumpulan, Encik Shawn Loh.
Barisan pasukan kepimpinan Commonwealth Capital akan diubah dan terdiri daripada (dari kiri) Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Encik Ryan Kwan; Pengerusi Eksekutif, Encik Andrew Kwan, dan Pengarah Urusan Kumpulan, Encik Shawn Loh. - Foto BT

Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Encik Shawn Loh, 38 tahun, bakal memimpin sebuah syarikat tempatan di sebalik jenama terkenal seperti PastaMania dan Baker & Cook, sebagai pengarah urusan kumpulan.

Langkah itu menandakan perubahan penting dalam kepimpinan Commonwealth Capital Group, yang mahu meluaskan barisan pengurusannya.

Pengasas syarikat, Encik Andrew Kwan, 58 tahun, akan beralih menjadi Pengerusi Eksekutif, manakala anaknya, Encik Ryan Kwan, 31 tahun, akan dilantik sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, menggantikan Encik Loh.

Perubahan ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, menurut kenyataan syarikat itu.

Encik Loh menyertai syarikat itu pada April selepas meletakkan jawatan sebagai pengarah di Kementerian Kewangan (MOF) untuk menceburi bidang politik.

Beliau kemudian memenangi kerusi Parlimen bagi GRC Jalan Besar di bawah Parti Tindakan Rakyat (PAP) sewaktu pilihan raya umum pada Mei.

Ditubuhkan pada 2010, Commonwealth Capital kini mempunyai lebih 1,000 pekerja dengan hasil pendapatan tahunannya melebihi $200 juta, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Syarikat itu beroperasi dalam tiga bidang utama – logistik, pembuatan dan perkhidmatan makanan – serta memiliki jenama popular seperti Baker & Cook, Fat Cow dan Bedrock Bar & Grill.

Menurut Encik Andrew Kwan, beliau melihat dirinya berkembang menggalas peranan yang berbeza, dengan lebih ruang untuk memastikan organisasi itu terus menuju ke arah yang betul.

“Syarikat semakin besar dan rumit. Saya mahu memastikan ia terus berkembang melebihi hayat pengasasnya,” ujarnya sambil mengakui bahawa faktor usia turut memainkan peranan dalam keputusan itu.

Ini bukan kali pertama Encik Loh menyertai syarikat berkenaan.

Pada 2020, beliau pernah dipinjamkan daripada perkhidmatan awam selama 18 bulan sebagai Pengarah Kumpulan bagi Strategi dan Inovasi Perniagaan.

Ketika itu, beliau dan Encik Ryan Kwan memainkan peranan penting dalam pengambilalihan sebuah syarikat logistik yang tiga kali lebih besar daripada operasi sedia ada tanpa menamakan syarikat itu.

“Pengambilalihan itu antara kejayaan terbesar kami. Kami melihat diri kami sebagai syarikat yang sentiasa mahu maju, tidak sekadar berpuas hati dengan keadaan tetapi terus berkembang di dalam dan luar negara,” kongsi Encik Loh.

Kini, Commonwealth Capital menumpukan perhatian kepada peluang penggabungan dan pengambilalihan di Indonesia, Filipina, Vietnam dan Malaysia.

Baru-baru ini, syarikat itu juga mengambil alih dua perniagaan di Muzium Tamadun Asia (ACM) yang dahulunya dikendalikan oleh Prive Group.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg