KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan langkah Amerika Syarikat untuk menangguhkan sementara tarif lebih tinggi ke atas banyak rakan dagangannya, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau bagaimanapun mengakui ketidaktentuan itu mewujudkan cabaran besar terhadap ekonomi Asean.
“Perubahan terkini ini pastinya antara topik perbincangan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Asean yang akan saya pengerusikan pagi ini (10 April),” kata Tengku Zafrul menerusi satu hantaran di platform media sosialnya sambil menekankan bahawa tiada yang pasti tentang tarif Presiden Donald Trump selain ketidaktentuan.
Mesyuarat khas itu adalah untuk membincangkan tindak balas yang diselaraskan daripada blok itu terhadap tarif timbal balik yang dikenakan Encik Trump.
“Malaysia sedang giat menilai implikasi daripada perubahan ini dan kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan Asean dalam mengurangkan gangguan, memperkukuhkan daya tahan ekonomi serantau, dan memperjuangkan hubungan perdagangan yang seimbang serta stabil,” katanya, lapor Malaysiakini.
Beliau menegaskan perpaduan Asean dan integrasi ekonomi serantau akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini, dan Malaysia mengalu-alukan sokongan daripada rakan-rakan yang berkongsi visi itu dan mahu melihat rantau itu berjaya.
Menurutnya, Malaysia sentiasa menjadi dan akan terus menjadi rakan perdagangan dan pelaburan yang terbuka kepada semua negara, termasuk China dan Amerika.
“Kita komited untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan dalam isu perdagangan dengan Amerika,” katanya.
Tengku Zafrul berkata Malaysia juga akan meneruskan strategi sedia ada untuk mempelbagaikan perdagangan dan meneroka pasaran baru, serta memperdalam hubungan dengan pasaran sedia ada.
“Kita juga akan meningkatkan usaha dalam agenda pembaharuan ekonomi negara untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing.
“Keutamaan kita adalah untuk mengharungi landskap yang sentiasa berubah ini sambil melindungi kemakmuran ekonomi negara kita,” ujarnya.
Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), Encik Trump pada petang 9 April berkata beliau telah mempertimbangkan penangguhan 90 hari bagi tarif timbal balik yang dikenakan ke atas rakan dagang negara itu “sejak beberapa hari lalu” dengan memetik penglibatan diplomatik dan muhibah sebagai faktor di sebalik langkah tersebut.
Pengumuman itu dibuat pada hari sama beliau menaikkan tarif ke atas import China kepada 125 peratus.
Antara negara anggota Asean yang paling teruk terjejas akibat tarif Amerika termasuk Kemboja yang dikenakan tarif 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg