Boeing mengumumkan pada 13 November bahawa ia telah memberi notis pemberhentian kerja mulai minggu ini kepada pekerja yang terjejas oleh rancangan syarikat itu untuk mengurangkan 17,000 pekerjaan, atau 10 peratus daripada tenaga kerja globalnya.
Kakitangan Amerika Syarikat yang menerima notis minggu ini akan terus berada dalam senarai gaji Boeing sehingga Januari 2025 untuk mematuhi keperluan persekutuan yang memberikan pekerja notis 60 hari sebelum perkhidmatan mereka ditamatkan.
Berita bahawa Boeing akan mengeluarkan Pemberitahuan Pelarasan dan Latihan Semula Pekerja (Warn) pada November telah dijangka, lapor The Straits Times.
“Seperti yang diumumkan sebelum ini, kami sedang menyesuaikan tenaga kerja kami untuk selaraskan dengan realiti kewangan kami.
“Kami komited untuk memastikan pekerja kami mendapat sokongan sepanjang waktu yang sukar ini,” kata Boeing dalam satu kenyataan.
Notis tersebut dikeluarkan ketika Boeing di bawah ketua pegawai eksekutif (CEO) baru, Cik Kelly Ortberg, sedang berusaha untuk menghidupkan semula pengeluaran 737 Max, model pesawat yang paling laris.
Ia dijalankan selepas mogok yang berlarutan selama beberapa minggu oleh lebih 33,000 pekerja di Pantai Barat Amerika menghentikan pengeluaran sebahagian besar pesawat komersialnya.
Pesawat 737 Max merupakan penjana pendapatan utama bagi syarikat itu, yang mengumpul lebih daripada AS$24 bilion ($32.2 bilion) pada Oktober untuk mengukuhkan kewangannya yang lemah dan melindungi penarafan pelaburan selepas kebimbangan daripada agensi penarafan.
Boeing telah menghadapi krisis demi krisis pada 2024, bermula pada 5 Januari apabila panel pintu pesawat 737 Max tercabut di udara.
Sejak itu, CEO syarikat tersebut meletak jawatan dan pengeluarannya semakin perlahan apabila kesatuan terbesarnya memulakan mogok pada 13 September.
Mogok itu berakhir pada 5 November dan pekerja telah kembali bekerja – membantu memulihkan pengeluaran Max dengan perlahan.
Namun, pemberhentian kerja yang bakal berlaku, ditambah dengan potongan perbelanjaan dan perjalanan, telah memberi kesan negatif kepada semangat pekerja di syarikat itu sepanjang beberapa bulan lalu, kata dua sumber berbeza kepada Reuters.
Ramai pekerja pada 13 November masih menunggu panggilan telefon atau mesyuarat Zoom dengan ketua mereka untuk mengetahui sama ada mereka akan kehilangan pekerjaan, kata sumber yang tidak boleh didedahkan kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg