Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

CEO TikTok yakin dapat atasi sekatan di AS

Apr 25, 2024 | 06:12 PM



WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TikTok, Encik Chew Shou Zi, berkata pada 24 April bahawa syarikatnya menjangka memenangi satu cabaran undang-undang untuk menyekat rang undang-undang (RUU) yang ditandatangani Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, bagi mengharamkan aplikasi video pendek itu di Amerika.


Aplikasi popular tersebut kini digunakan sekitar 170 juta rakyat Amerika.

“Yakinlah kami tidak akan ke mana-mana,” kata Encik Chew, dalam video yang disiarkan selepas Encik Biden menandatangani satu RUU yang memberi pemilik TikTok dari China, ByteDance, tempoh 270 hari untuk melepaskan atau menjual aset TikTok di Amerika atau dikenakan larangan.

Menurut beliau, fakta dan perlembagaan Amerika menyebelahi TikTok, dan pihaknya menjangka akan menang lagi.

Dokumen yang ditandatangani Encik Biden menetapkan 19 Januari 2025 sebagai tarikh akhir penjualan aset TikTok, iaitu sehari sebelum tarikh akhir beliau memegang jawatan Presiden.

Namun, Encik Biden boleh melanjutkan tarikh akhir tersebut selama tiga bulan jika beliau mendapati ByteDance membuat kemajuan ke arah itu.

Encik Biden mahu bertanding bagi penggal kedua dalam kempen pilihan raya Presiden negara itu, menentang mantan presiden, Encik Donald Trump.

Pada 2020, tindakan Encik Trump untuk mengharamkan TikTok dan WeChat, sebuah unit Tencent milik China, turut disekat mahkamah Amerika.

“Jangan tersilap, ini adalah larangan ke atas TikTok,” tambah Encik Chew, sambil menekankan bahawa TikTok akan terus beroperasi sementara syarikat itu mencabar sekatan itu.

Didorong kebimbangan meluas dalam kalangan penggubal undang-undang Amerika bahawa China boleh mengakses data rakyat Amerika atau mengawasi mereka dengan aplikasi itu, rang tersebut diluluskan dengan undi majoriti pada 23 April oleh Senat Amerika.

Dewan Perwakilan Amerika pula meluluskannya pada 20 April.

Pertikaian empat tahun ke atas TikTok adalah medan penting dalam perang ke atas Internet dan teknologi antara Washington dengan Beijing.

Minggu lalu, syarikat teknologi Apple menyatakan bahawa China mengarahnya mengeluarkan wadah mesej WhatsApp dan wadah perbualan Threads milik Meta Platforms daripada App Store di China atas kebimbangan keselamatan negara gergasi Asia itu.

TikTok bersedia mencabar rang tersebut di Amerika atas alasan Pindaan Pertama dan pengguna TikTok juga dijangka mengambil tindakan undang-undang sekali lagi.

Pada November 2023, seorang hakim Amerika di Montana membatalkan larangan negeri itu terhadap TikTok atas alasan kebebasan bersuara.

Kesatuan Kebebasan Awam Amerika menyatakan bahawa pengharaman atau rang yang memerlukan penjualan TikTok akan menjadi contoh membimbangkan di seluruh dunia mengenai kawalan pemerintah yang berlebihan ke atas wadah media sosial. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >