Daripada persekitaran lasak sebagai seorang perancang operasi di sebuah kilang penapisan minyak, Encik Muhammad Haiqal Sapuan, 36 tahun, kini bertukar angin menyelia pembungkusan kanta lekap di Alcon.
Beliau kini memastikan kanta lekap sedemikian disiapkan dengan teliti, dibungkus dalam kotak dan sedia untuk diedarkan.
Selepas hampir sedekad bertugas dalam industri minyak dan gas, bapa dua anak itu beralih ke syarikat farmaseutikal itu pada 2022 untuk mengutamakan keselamatan dan keluarga.
Menurutnya, keputusan itu semakin ketara apabila anak sulungnya baru berusia setahun ketika itu.
“Ada detik di tempat kerja yang benar-benar mencabar saya, dan ia menjadi peringatan yang kuat tentang apa yang benar-benar penting, iaitu keluarga saya,” jelas beliau kepada Berita Harian (BH) melalui wadah Zoom.
Meskipun peralihan itu bermakna beliau perlu bermula semula dalam industri baru, beliau cepat menyesuaikan diri dan menerima budaya yang menghargai sifat ingin tahu serta pembelajaran berterusan di syarikat Alcon.
Ini bersandarkan budaya terbuka syarikat tersebut yang menggalakkan pekerja bertanya soalan dan fleksibiliti syarikat dalam menyesuaikan matlamat pembangunan kerjaya mengikut aspirasi dan potensi setiap individu, serta bimbingan yang diterima dalam memupuk sikap positif terhadap peningkatan diri.
“Di Alcon, mereka menggalakkan kita bertanya soalan apabila ragu-ragu dan mencipta pelbagai peluang untuk berkembang.
“Ia benar-benar membuat saya menantikan apa yang seterusnya dalam kerjaya saya,” kongsi Encik Muhammad Haiqal.
Ternyata, dalam tempoh 18 bulan sahaja selepas menyertai Alcon sebagai teknisyen pengeluaran kanan, beliau diberi amanah sebagai Penyelia Bersekutu dan kini menguruskan satu pasukan yang terdiri daripada 15 pekerja.
Beliau merupakan Penyelia Bersekutu dalam Operasi Teknikal Pengeluaran. Bahkan, dorongan berterusan yang dipupuk beliau juga dihargai apabila Encik Muhammad Haiqal baru-baru ini dianugerahkan sijil Green Belt.
Ia adalah pengiktirafan bagi pekerja yang berjaya memimpin projek penambahbaikan berterusan untuk meningkatkan daya pengeluaran dan kecekapan syarikat.
Bersama seorang rakan sekerja, beliau mengetuai projek yang berjaya mengurangkan pembaziran dalam pengeluaran kanta.
Dengan kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pasukan rentas fungsi, inisiatif mereka berjaya dilaksanakan.
Mengulas lebih lanjut, Encik Muhammad Haiqal berkata pengalamannya di Alcon telah meningkatkan kesedaran beliau tentang kesan lebih luas kerja yang dilakukannya, di mana perspektif tersebut semakin kukuh dalam peranan semasanya.
“Sebelum ini, sebagai teknisyen, saya banyak berurusan dengan mesin. Namun sebagai penyelia bersekutu hari ini, saya semakin menghargai bahawa mutu, pematuhan dan integriti produk kami bukan sekadar matlamat operasi, bahkan amat penting buat pengguna kami,” ujar lulusan Diploma dalam Kejuruteraan Kimia dari Politeknik Singapura (SP) itu.
Ini khususnya apabila beliau melihat pemulihan penglihatan ibunya selepas pembedahan katarak, dengan kesedaran itu lebih bertambah melihat cabaran penglihatan yang dihadapi penduduk di kampung isterinya yang terletak di kepulauan Riau.
“Apabila saya melawat kampung isteri saya dan melihat sebahagian penduduk yang tidak dapat melihat dengan jelas dari jarak tertentu, ia semakin menyedarkan saya tentang kepentingan penglihatan.
“Pengalaman kerja saya juga membolehkan saya berkongsi dengan mereka tentang produk seperti kanta lekap yang dapat membantu individu yang menghadapi masalah astigmatisme,” kongsinya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg