Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Gan: Pekerja, syarikat perlu maju bersama dalam era AI

Beliau tekankan usaha NTUC dalam bantu pekerja sesuaikan diri dengan perubahan pesat akibat kemajuan teknologi
Nov 13, 2025 | 5:08 PM
Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong (empat dari kiri), dan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng (dua dari kiri), diberi taklimat tentang alat bimbing kerjaya semasa Persidangan Perwakilan Biasa (ODC) NTUC 2025 yang diadakan di D’Marquee, Downtown East, pada 13 November.
Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong (empat dari kiri), dan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng (dua dari kiri), diberi taklimat tentang alat bimbing kerjaya semasa Persidangan Perwakilan Biasa (ODC) NTUC 2025 yang diadakan di D’Marquee, Downtown East, pada 13 November. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kemajuan pesat dalam kecerdasan buatan (AI) dan automasi telah mencetuskan rasa optimis selain kebimbangan dalam kalangan pekerja serta perniagaan sambil industri seperti logistik, penjagaan kesihatan, kewangan, serta pengilangan mengalami transformasi besar.

Walaupun perubahan tersebut menjanjikan potensi besar dalam meningkatkan produktiviti, ia juga menimbulkan ketidaksenangan terhadap keselamatan pekerjaan, keperluan mempertingkatkan kemahiran, serta kadar perubahan yang pantas, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

“Para pekerja tertanya-tanya, adakah pekerjaan saya masih akan wujud? Adakah saya akan digantikan? Adakah saya bersedia menghadapi apa yang bakal datang?

“Syarikat pula bimbang tentang kadar perubahan yang berlaku, bagaimana untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka dengan pantas, serta bagaimana mengubah perniagaan mereka agar bersedia untuk masa depan.

“Cabaran kami adalah untuk memastikan bahawa kedua-dua pekerja dan syarikat kami dapat melangkah maju bersama-sama memasuki era teknologi baru ini,” kongsi beliau

Demikian dikongsi Encik Gan semasa Persidangan Perwakilan Biasa (ODC) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) 2025 yang diadakan di D’Marquee, Downtown East, pada 13 November.

Persidangan tersebut, yang diadakan hingga 14 November, dihadiri sekitar 1,400 hadirin yang terdiri daripada pemimpin kesatuan, tripartit, dan tetamu.

Persidangan dwitahunan itu berfungsi sebagai platform bagi gerakan pekerja menilai kemajuan yang telah dicapai serta merangka strategi bagi tahun-tahun mendatang.

Pemerintah merupakan salah satu daripada tiga anggota dalam rangka kerja tripartit Singapura, yang turut merangkumi gerakan pekerja dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF).

Mengambil kira cabaran dalam membawa pekerja dan syarikat bersama ke hadapan dalam arus teknologi ini, Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, menekankan usaha yang dijalankan oleh NTUC dalam membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan pesat akibat kemajuan teknologi.

Antaranya adalah pelancaran Pembimbing Kerjaya Kecerdasan Buatan (AICC), iaitu bimbingan kerjaya yang dipacu AI, dan inisiatif “AI-Ready SG”.

Menerusi wadah AICC, pengguna boleh menilai tahap kesediaan kerjaya, mengenal pasti jurang kemahiran dan meneroka laluan bagi meningkatkan kemahiran atau beralih kepada pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi.

Menyentuh tentang inisiatif “AI-Ready SG” itu, Encik Gan berkata:

“Dengan memanfaatkan sistem Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC), inisiatif AI-Ready SG dapat membantu syarikat merancang perjalanan transformasi mereka, mengenal pasti peranan yang akan berubah, serta melengkapkan pekerja dengan kemahiran baru yang bernilai lebih tinggi.”

Inisiatif tersebut pertama kali diketengahkan oleh Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, semasa bahas Amanat Presiden yang diadakan pada 22 September.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), NTUC berkata inisiatif tersebut akan mula dilancarkan pada 2026.

Sementara itu, Encik Gan berkata gerakan pekerja perlu menyesuaikan diri dengan perubahan profil tenaga kerja negara yang semakin berkembang.

Ini sambil golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) kini membentuk lebih separuh daripada jumlah penduduk yang bekerja, tambah beliau.

“Pekerja muda amat mementingkan tujuan kerja, fleksibiliti, pembelajaran dan peningkatan kemahiran secara berterusan.

“Bagi memastikan NTUC kekal benar-benar mewakili semua, ia juga perlu memperluaskan pengaruhnya dalam kalangan kumpulan ini.

“Ini bermakna membawa lebih ramai golongan PME dan belia untuk terlibat bukan sahaja sebagai anggota, tetapi juga sebagai pemimpin dan penyokong,” ujar beliau.

Presiden NTUC, Cik K Thanaletchimi, melakarkan tiga keutamaan strategik gerakan pekerja bagi penggal yang akan datang.

Mereka adalah mengukuhkan asas gerakan pekerja itu dengan terus kekal relevan; memupuk budaya inovasi bagi mewujudkan pekerjaan yang lebih baik; dan memperluas serta membangunkan kepimpinan untuk masa depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg