Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ekon AS kekal kukuh meski pemerintah tutup sebabkan rugi $14 bilion

Nov 24, 2025 | 5:56 PM
Scott Bessent, economy, amerika syarikat, america
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Encik Scott Bessent, kekal optimis tentang pertumbuhan ekonomi 2026 walaupun ekonomi negara itu kerugian sebanyak AS$11 bilion ($14.4 bilion) akibat penutupan pemerintah selama 43 hari. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Encik Scott Bessent, berkata pada 23 November bahawa penutupan pemerintah negara itu selama 43 hari telah menyebabkan kerugian kekal sebanyak AS$11 bilion ($14.4 bilion) kepada ekonomi Amerika.

Namun beliau kekal yakin terhadap ramalan pertumbuhan pada 2026 memandangkan kadar faedah yang semakin rendah dan pemotongan cukai.

Beliau memberitahu program Meet The Press terbitan NBC bahawa sektor ekonomi Amerika yang sensitif terhadap kadar faedah, termasuk perumahan, mengalami kemelesetan, namun beliau tidak melihat keseluruhan ekonomi berada dalam risiko pertumbuhan negatif.

Encik Bessent berkata lonjakan harga berpunca daripada sektor perkhidmatan dan bukannya tarif besar-besaran Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

Beliau turut menjangkakan, harga tenaga yang semakin rendah akan membantu menurunkan harga secara keseluruhan.

Encik Trump telah beralih tumpuan kepada isu kemampuan hidup apabila kadar popularitinya jatuh kepada 38 peratus, paras terendah sejak beliau kembali berkuasa, menurut tinjauan Reuters dan penyelidik pasaran, Ipsos.

Walaupun data menunjukkan kegiatan perkilangan Amerika kini perlahan akibat harga lebih tinggi ekoran kesan tarif import, Encik Bessent mengekalkan nada optimis.

Tinjauan pengguna oleh Universiti Michigan turut menunjukkan kekecewaan pengguna dengan kenaikan harga.

“Saya sangat yakin dengan prospek 2026. Kami telah menyediakan asas bagi pertumbuhan kukuh yang tidak membawa kepada inflasi,” tambah beliau.

Beliau berkata harga tenaga menurun pada Oktober dan jualan rumah pula meningkat, sambil menambah, pentadbiran negara itu akan terus berusaha menurunkan inflasi yang kini berada pada kadar 3 peratus setahun.

Kenaikan harga juga didapati 0.5 peratus lebih tinggi di negeri-negeri yang ditadbir Demokrat berbanding Republikan, yang disifatkan beliau sebagai kesan peraturan lebih ketat.

Pengarah Majlis Ekonomi Negara, Encik Kevin Hassett, memberitahu Fox News bahawa 2026 dijangka menjadi “tahun yang sangat cemerlang”, walaupun suku keempat 2025 mungkin terjejas akibat penutupan pemerintah yang lama.

Pertumbuhan suku itu diramalkan sekitar 1.5 hingga 2 peratus dengan peningkatan pekerjaan sektor perkilangan.

Pemotongan tarif ke atas import makanan seperti pisang dan kopi diumumkan minggu lalu selepas berbulan rundingan perdagangan.

Menurut Encik Bessent, pihaknya cuba menurunkan semua komponen inflasi yang berada dalam kawalan.

Pada 19 November, Encik Trump menandatangani undang-undang yang telah menamatkan penutupan pemerintah paling lama dalam sejarah Amerika, melanjutkan pembiayaan hingga 30 Januari.

Ini membuka kemungkinan pertarungan baru antara Demokrat dengan Republikan pada 2026.

Encik Bessent berkata Republikan patut segera menamatkan penghalang atau ‘filibuster’ itu jika Demokrat menutup pemerintah lagi, namun beliau tidak menjawab sama ada terdapat undian mencukupi untuk berbuat demikian.

‘Filibuster’ adalah taktik melengah-lengahkan undian untuk menyekat sesuatu undang-undang di Senat Amerika.

Beliau berkata perubahan dasar termasuk mengehadkan cukai bagi kerja lebih masa, pengurangan cukai tip dan cukai sistem keselamatan sosial bagi individu tertentu, serta potongan cukai bagi pinjaman kereta, akan meningkatkan pendapatan sebenar rakyat Amerika yang bekerja dan mengimbangi kenaikan harga.

Beliau menambah, pulangan cukai persekutuan dijangka meningkat pada suku pertama 2026.

Pentadbiran Encik Trump juga merancang pengumuman untuk menurunkan kos penjagaan kesihatan, kata Encik Bessent.

Beliau menambah, beberapa perjanjian perdagangan baru yang dijangka membuka lebih banyak kilang di seluruh negara itu juga boleh merangsang ekonomi. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg