Topik diikuti
Pergi ke BHkuHong Tat: URA kaji garis panduan GFA untuk beri pemaju lebih kelonggaran
Hong Tat: URA kaji garis panduan GFA untuk beri pemaju lebih kelonggaran
Pemerintah sedang mengkaji garis panduan keluasan lantai bangunan bagi memberi syarikat pembangunan lebih kelonggaran dalam reka bentuk, satu langkah yang mampu meningkatkan nilai dan daya pelaksanaan projek.
Kajian keluasan lantai kasar (GFA), diumumkan Menteri Pembangunan Negara Encik Chee Hong Tat pada 21 September, turut meneliti ciri bangunan bagi daya tahan haba dan keselesaan terma.
GFA yang lebih besar atau anjal boleh meningkatkan nilai projek. GFA tambahan juga dicadangkan untuk menggalakkan pembaharuan hartanah sambil memelihara bangunan yang mempunyai nilai warisan.
Encik Chee berkata kajian Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) itu dibuat berdasarkan maklum balas industri. Beliau mengumumkannya ketika membuka Anugerah Korporat Singapura (SCA) 2026. Butiran lanjut akan diumumkan kelak.
Encik Chee berkata dasar dan peraturan perlu berubah seiring dengan persekitaran perniagaan. Namun, sikap mesra perusahaan “tidak bermakna mempunyai kurang peraturan”, sebaliknya memerlukan pendekatan berdasarkan tahap risiko yang mengambil kira pelbagai pertimbangan dan matlamat.
“Ia bermakna peraturan yang lebih baik, yang mencapai hasil kawal selia yang diingini tanpa kos, kelewatan dan halangan perniagaan yang tidak perlu.”
Jumlah GFA yang boleh dibangunkan di sesuatu tapak umumnya dihadkan oleh nisbah plot yang ditetapkan bagi kegunaan tanah tersebut. Namun, pemaju boleh memperoleh GFA tambahan menerusi pelbagai skim insentif sedia ada.
Contohnya, Skim Insentif Kawasan Pusat Bandar (CBD) membolehkan pembangunan lebih besar bagi menukar bangunan pejabat lama kepada pembangunan bercampur dengan lebih banyak kediaman dan hotel.
Pembangunan yang layak boleh mendapat GFA tambahan sehingga 30 peratus di Anson dan Cecil Street, serta 25 peratus di Robinson Road, Shenton Way dan Tanjong Pagar.
Skim Insentif Pembangunan Strategik (SDI) pula menggalakkan pembaharuan bangunan lama di kawasan seperti Orchard Road dan Marina Centre, dengan memberi lebih kelonggaran dalam nisbah plot, GFA dan penggunaan tanah.
Penggunaan GFA sebagai insentif perancangan antara isu yang dibincangkan pada persidangan industri pada 15 September. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pontiac Land, Encik David Tsang, merujuk pendekatan Sydney dalam menggalakkan penyelenggaraan bangunan warisan.
Encik Tsang berkata pemilik yang menyelenggara bangunan warisan di Sydney boleh menerima keluasan lantai tambahan untuk digunakan di tapak lain atau dijual.
Kenyataan itu dikongsi semula di LinkedIn pada 16 September oleh pengacara panel, Cik Jaelle Ang, pengasas dan rakan pengurusan The Possible Capital.
Encik Tsang berkata pemilik bangunan di Sydney diberi ganjaran kerana terus melabur dalam hartanah berdasarkan sasaran yang dipersetujui. Sebaliknya di Singapura, katanya, “nampaknya lebih banyak insentif diberikan kepada bangunan usang yang perlu dibangunkan semula berbanding bangunan yang dijaga dengan baik”.
Pontiac Land mengambil alih projek warisan utama di Sydney selepas memperoleh pajakan jangka panjang daripada pemerintah New South Wales pada 2015 bagi dua bekas bangunan pemerintah yang disenaraikan sebagai warisan.
Selepas tujuh tahun perancangan, pemuliharaan dan pengubahsuaian, bekas bangunan Jabatan Pendidikan dibuka semula pada 2023 sebagai Capella Sydney dengan 192 bilik. Pontiac turut memulihkan bangunan Jabatan Tanah bersebelahan sebagai The Lands by Capella, yang menempatkan ruang runcit, tempat makan, ruang kerja dan acara.
Dalam hantaran LinkedIn, Encik Tsang menyatakan: “Daya tahan pusat bandar bukan sekadar bergantung pada kepadatan pejabat atau keluasan lantai, tetapi juga pada pengalaman orang ramai di situ selepas 6 petang.
“Untuk terus berdaya saing di persada dunia, CBD kita perlu menggabungkan prestasi ekonomi dengan persekitaran yang selesa didiami, reka bentuk teliti dan identiti budaya yang tersendiri.”
Encik Chee turut mengumumkan rangka kerja baharu untuk mengurangkan ujian bar keluli tetulang atau rebar yang digunakan di projek pembinaan.
Kini, rebar boleh diuji berulang bagi setiap projek walaupun daripada sumber bertauliah sama.
Di bawah rangka kerja baharu, ujian boleh dilakukan sebelum penghantaran, mengurangkan ujian dan kos sehingga 90 peratus.
Encik Chee turut mengumumkan langkah membantu firma persekitaran binaan mereka bentuk semula pekerjaan dan melengkapkan pekerja dengan kemahiran kemampanan bagi sektor penyahkarbonan.
Usaha itu bakal menyokong pembinaan mampan dan perakaunan karbon. Setakat ini, 15 firma telah menyertainya.