SYDNEY: Asia-Pasifik kekal sebagai rantau yang paling pantas berkembang di dunia, namun tarif yang lebih tinggi dan peningkatan perlindungan perdagangan dijangka menjejas permintaan eksport dan akhirnya melembabkan kegiatan ekonomi, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Pada awal 2025, ekonomi Asia meningkat hasil lonjakan eksport menjelang kenaikan tarif, serta kebangkitan semula sektor teknologi. Dasar dan keadaan global yang lebih longgar turut menyokong permintaan domestik.
Namun begitu, IMF menjangkakan bahawa rantau ini akan menutup 2025 dengan pertumbuhan Hasil Dalam Negari Kasar (GDP) sebanyak 4.5 peratus, lebih rendah berbanding 4.6 peratus pada 2024.
Pertumbuhan dijangka terus perlahan kepada 4.1 peratus pada 2026, kata IMF dalam laporan yang dikeluarkan pada 24 Oktober.
“Walaupun ketidaktentuan dasar perdagangan telah berkurangan berbanding pada April, ia kekal tinggi dan boleh menekan pelaburan serta sentimen,” kata IMF.
Badan dunia itu menambah bahawa keadaan kewangan yang lebih ketat akibat faktor domestik atau global boleh memperbesarkan kejutan perdagangan dan meningkatkan kerentanan ekonomi serta sosial.
IMF menyeru para penggubal dasar negara-negara Asia, yang menyumbang kira-kira 60 peratus daripada pertumbuhan global pada 2024, supaya meningkatkan permintaan domestik, terutamanya penggunaan, serta memperkukuh daya penghasilan.
Dalam jangka pendek, IMF menggesa negara-negara agar mengambil langkah rangsangan fiskal dan kewangan yang disasarkan bagi meredakan kesan kejutan perdagangan.
Pada masa yang sama, pembaharuan struktur bagi menyokong sektor perkhidmatan, mengurangkan insentif bagi salah peruntukan modal, dan menangani kesan penuaan penduduk amat penting bagi meningkatkan potensi pertumbuhan jangka sederhana serta mengimbangi semula ekonomi serantau.
“Selepas menikmati pertumbuhan pesat di China dan penyertaan dalam rantaian nilai global, negara-negara di rantau ini kini berdepan kesan kelemahan permintaan di China.
“Peningkatan pengangguran belia dan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan politik turut menjejas sentimen dan mencetuskan ketegangan sosial di beberapa negara,” kata IMF.
Gelombang demonstrasi dipimpin Generasi Z – yang merujuk kepada belia yang dilahirkan antara lewat 1990-an dengan awal 2010-an – turut melanda Filipina, Indonesia dan Timor Leste, bagi membantah rasuah, pengangguran dan jurang ketidaksamaan.
Rasa tidak puas hati terhadap kemewahan golongan elit pula telah menyasarkan beberapa pemerintah, hingga menumbangkan pemerintahan di Nepal dan Bangladesh.
Menurut IMF, tekanan ini dicerminkan oleh kemerosotan pertumbuhan ekonomi dalam dekad semasa, yang lebih perlahan iaitu sekitar 1.8 mata peratusan berbanding purata pada 2010-an.
Dari sudut positif, lonjakan pelaburan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dijangka memberi dorongan lebih kukuh kepada eksport, pelaburan dan produktiviti di rantau ini, tambah IMF.
Pengurangan ketegangan geopolitik juga boleh membantu menangani ketidaktentuan dan meyakinkan pelabur. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg