Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndustri kapal persiaran Asia Tenggara raih AS$10b pada 2024
Industri kapal persiaran Asia Tenggara raih AS$10b pada 2024
S’pura terus pacu pertumbuhan sektor sebagai hab utama rantau, sumbang hampir separuh trafik penumpang
Industri kapal persiaran Asia Tenggara raih AS$10b pada 2024
Industri kapal persiaran Asia Tenggara menjana hasil pendapatan sebanyak AS$10 bilion ($12.7 bilion) pada 2024, menyumbang 5 peratus daripada keluaran sedunia.
Perbelanjaan setiap penumpang di rantau ini adalah 2.4 kali ganda purata sedunia, iaitu AS$2,564 bagi setiap lawatan, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada 15 April, berdasarkan Penilaian Kesan Ekonomi Pelancongan Persiaran pertama bagi Asia Tenggara.
Singapura menguasai 48 peratus daripada 3.9 juta pelawat yang merupakan penumpang kapal persiaran di rantau ini.
Kajian yang dihasilkan firma perunding industri pelancongan, Tourism Economics, untuk Persatuan Kapal Persiaran (CLIA), dengan kerjasama STB, menunjukkan pelancongan kapal persiaran menyumbang AS$4.5 bilion kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Asia Tenggara.
Rantau ini merangkumi 2 peratus daripada 186 juta penumpang kapal persiaran sedunia pada 2024, menguasai 5 peratus GDP berkaitan dengan kapal persiaran sedunia.
STB menyatakan pelancongan kapal persiaran memperkenalkan pelawat kepada pelbagai tarikan di rantau ini dan menjana permintaan pelancongan berterusan selepas lawatan pertama.
Ia juga mengukuhkan kepentingan strategik Asia Tenggara dalam industri kapal persia sedunia.
Singapura dan Malaysia, secara keseluruhan, menyumbang 70 peratus lawatan penumpang kapal persiaran rantau ini pada 2024, namun destinasi lain berkeupayaan merebut bahagian pasaran yang lebih besar, tambah STB.
“Kajian ini mengukuhkan nilai pelancongan kapal persiaran Asia Tenggara, didorong pertumbuhan kelas pertengahan, kenaikan permintaan dalam beraneka pengalaman pelancongan, dan pelbagai tarikan,” kata Penolong Ketua Eksekutif Kumpulan Pembangunan Pengalaman di STB, Cik Jean Ng.
Menurut CLIA, jumlah penumpang sedunia dijangka mencecah 42 juta menjelang 2028, melonjak daripada 34.6 juta pada 2024.
Sektor pelancongan kapal persiaran Singapura mencatat kenaikan dalam kededua jumlah ketibaan kapal dan penumpang dari Januari hingga September 2025.
Maklumat STB menunjukkan dari tahun ke tahun, jumlah ketibaan kapal naik 10 peratus kepada 375 bagi tempoh sembilan bulan tersebut, manakala jumlah penumpang bertambah lebih 9 peratus sehingga melebihi dua juta.
STB menyatakan sektor ini menunjukkan rentak kukuh, memantapkan kedudukan Singapura sebagai hab pelancongan kapal persiaran utama rantau ini pada 2025.
Terdapat juga pembangunan prasarana utama dalam sektor pelancongan kapal persiaran pada 2025.
Peluasan Pusat Kapal Persiaran Marina Bay bernilai $40 juta siap pada Oktober 2025, meningkatkan keupayaan daripada 6,800 kepada 11,700 penumpang.
Pilihan pelayaran turut dipelbagaikan dengan kemasukan kapal baharu, termasuk Star Voyager, Ovation of the Seas dan Luminara.
Antara yang paling menonjol ialah kapal pelayaran Disney pertama di Asia, Disney Adventure, yang memulakan pelayaran buat julung-julung kalinya pada 10 Mac 2026.
Kapal yang mampu menampung 6,700 penumpang, terbesar dalam armada Disney Cruise Line, akan menggunakan Singapura sebagai pangkalan sekurang-kurangnya lima tahun.
