Isetan Serangoon Central di NEX Mall akan mengakhiri operasinya pada April 2026.
Dengan itu, ia merupakan langkah yang akan menyebabkan gedung tersebut hanya mengekalkan satu cawangan di Singapura, iaitu di Shaw House, Orchard Road, sahaja.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 8 Disember, NEX mengumumkan penutupan Isetan di premisnya sambil mengucapkan terima kasih kepada pengendali gedung berkenaan atas “sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi” sepanjang “15 tahun yang indah”.
Pusat beli-belah itu tidak memberikan butiran terperinci mengenai apa yang bakal menggantikan Isetan di ruang tersebut, tetapi menjanjikan “tawaran baru dan menarik” akan diperkenalkan, lapor The Straits Times (ST).
Selepas cawangan Serangoon Central ditutup, satu-satunya cawangan Isetan yang tinggal di Singapura ialah Isetan Scotts, yang terletak di Shaw House, Orchard Road.
Di halaman Facebook, Isetan Singapore tidak mengumumkan penutupan cawangan Serangoon Central itu.
Namun, syarikat itu menjawab pertanyaan seorang pengguna di salah satu hantaran mereka, mengenai berita tersebut.
“Kami mengalu-alukan pelanggan untuk terus membeli-belah di gedung utama kami di Isetan Scotts,” kata pengendali halaman itu.
Isetan ialah gedung serbaneka terkemuka dari Jepun yang menawarkan produk rumah, fesyen dan kecantikan, dan telah beroperasi di Singapura sejak 1972.
Pada November 2025, Isetan menutup cawangannya di Tampines Mall selepas 30 tahun beroperasi di pusat beli-belah itu, “berdasarkan pertimbangan teliti terhadap keadaan semasa dan keuntungan masa depan”, ujar jurucakap syarikat tersebut.
Pada 2013, Isetan mencapai jumlah cawangan tertingginya, iaitu enam di seluruh Singapura.
Enam cawangan ketika itu ialah Isetan Scotts, Isetan Wisma Atria, Isetan Katong, Isetan Serangoon Central, Isetan Tampines dan Isetan Westgate.
Sebelum penutupan di Tampines Mall, penutupan terakhirnya ialah Isetan Katong di Parkway Parade pada 2022.
Isetan tidak lagi disenaraikan di Bursa Singapura (SGX) pada September 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg