Syarikat pembangunan di Singapura menjual 1,300 rumah privet pada Mac, melonjak 78.3 peratus daripada 729 unit yang dijual setahun sebelumnya, setelah lebih banyak projek membanjiri projek pasaran pasca kemerosotan.

Perangkaan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 15 April, menunjukkan jumlah jualan terkini, tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), juga melambung tinggi, melebihi lima kali ganda berbanding 246 unit yang dijual pada Februari 2026.

Sebanyak 1,937 unit, termasuk EC, telah bertukar tangan pada Mac dengan 1,615 unit dilancarkan.

Sebagai perbandingan, 1,510 unit dijual dan 1,315 unit dilancarkan pada Mac 2025.

Berbanding Februari 2026, hanya 266 unit dijual dan 15 unit sahaja dilancarkan.

Kekukuhan jualan didorong oleh pelancaran kondominium baharu yang hampir habis terjual pada Mac.

River Modern yang terletak di River Valley dan mempunyai 455 unit telah menjual 90 peratus unit pada hujung minggu pelancarannya, manakala dua projek di Tampines, Rivelle Tampines EC dan Pinery Residences, turut menjual lebih daripada 90 peratus unit.

Jualan kembali rancak pada Mac selepas empat bulan yang perlahan, dengan jumlah jualan kekal di paras ratusan rendah sepanjang tempoh akhir tahun dan kelembapan bermusim semasa Tahun Baru Cina.

Walaupun demikian, angka jualan pada Mac menjadikan jualan suku pertama lebih merosot berbanding yang dicatatkan pasaran pada suku pertama 2025.

Menurut Ketua Pegawai Penyelidikan mogul.sg, Encik Nicholas Mak, pembeli rumah membeli 2,012 rumah persendirian baharu pada suku pertama 2026.

Ini adalah kemerosotan sebanyak 31.6 peratus berbanding suku sebelumnya, dan 40.4 peratus lebih rendah berbanding setahun yang lalu.

Sebagai petanda harga dan permintaan EC mencapai tahap baharu, jumlah EC yang dijual pada harga sekurang-kurangnya $2 juta mencatat rekod tertinggi pada Mac.

Sebanyak 275 unit dijual pada harga tersebut pada Mac, mengatasi rekod sebelumnya 150 unit pada Mac 2025, kata Ketua Penyelidik dan Ahli Strategi Realion, Cik Christine Sun.

“Dari segi harga seunit, 411 EC telah dijual pada harga premium S$1,900 setiap kaki persegi dan ke atas pada Mac 2026, di mana 410 unit daripadanya adalah dari Rivelle Tampines.

“Sebelum ini, hanya 10 EC pernah dijual pada paras harga ini,” katanya.

Antara tiga segmen pasaran, Luar Kawasan Tengah (OCR) mendahului jualan kondominium dan apartmen persendirian, merangkumi 51.2 peratus pada Mac.

Ini diikuti oleh Kawasan Tengah Utama (CCR) dengan 36.3 peratus jualan utama, dan Luar Kawasan Tengah (OCR), atau kawasan pinggir bandar berhampiran pusat bandar, dengan 12.5 peratus jualan baharu pada Mac.