Topik diikuti
Pergi ke BHkuJualan runcit naik perlahan 1.5% pada Julai, sedang makanan, jualan gedung serbaneka susut
Kebanyakan sektor runcit catat pertumbuhan bulan ke bulan pada Julai, dengan jualan keseluruhan naik 0.9% selepas mengambil kira perubahan bermusim.
Pertumbuhan jualan runcit Singapura naik perlahan pada Julai, walaupun jualan barangan riadah serta jam tangan dan barang kemas meningkat dua angka.
Hasil jualan meningkat 1.5 peratus tahun ke tahun pada Julai, berbanding 4 peratus pada Jun, menurut Jabatan Perangkaan Singapura (Singstat).
Pada 7 September, SingStat menyatakan jualan runcit – tidak termasuk kenderaan bermotor, alat ganti dan aksesori – meningkat 1.5 peratus tahun ke tahun, berbanding 4.1 peratus pada Jun.
Setelah mengambil kira faktor bermusim, jualan runcit meningkat 0.9 peratus bulan ke bulan pada Julai. Jualan yang tidak termasuk kenderaan bermotor, alat ganti dan aksesori pula meningkat 0.7 peratus.
Jumlah keseluruhan jualan runcit dianggarkan $4.4 bilion pada Julai, dengan urus niaga dalam talian merangkumi 15.4 peratus daripada keseluruhan jualan, turun daripada 16.4 peratus pada Jun.
Dalam sektor runcit, barangan riadah mencatat pertumbuhan tahun ke tahun yang tertinggi, melonjak 13.9 peratus, didorong terutamanya oleh jualan barangan sukan yang lebih tinggi.
Jualan jam tangan dan barang kemas meningkat 11.1 peratus, disebabkan jualan barang kemas lebih tinggi, manakala peralatan komputer dan telekomunikasi meningkat 5.1 peratus.
Industri lain yang meningkat tahun ke tahun termasuk kosmetik, kelengkapan dandanan diri dan barangan perubatan, sebanyak 4.5 peratus; pakaian dan kasut, 2.3 peratus; serta perabot dan peralatan rumah, 1.3 peratus.
Jualan kenderaan bermotor, alat ganti dan aksesori pula meningkat 1.4 peratus.
Sebaliknya, jualan makanan dan minuman alkohol merosot 5.1 peratus tahun ke tahun, manakala jualan gedung serbaneka susut 3.5 peratus.
Jualan barangan lain merosot 4 peratus, manakala barangan optik dan buku susut 2.2 peratus. Jualan di pasar raya dan pasar raya besar turun 2.1 peratus, manakala kedai mini dan kedai serbaneka merosot 1.5 peratus.
Jualan di stesen minyak pula merosot 1.1 peratus tahun ke tahun.
Setelah mengambil kira perubahan bermusim, kebanyakan industri runcit mencatat pertumbuhan bulan ke bulan pada Julai.
Jualan barangan riadah melonjak 7.5 peratus berbanding Jun. Jualan di gedung serbaneka naik 4.6 peratus, manakala jualan di pasar raya dan pasar raya besar bertambah 4.3 peratus.
Sebaliknya, jualan di stesen minyak merosot 7.2 peratus bulan ke bulan, manakala jualan peralatan komputer dan telekomunikasi susut 4.7 peratus.
Menurut SingStat, jualan perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) merosot 1.9 peratus tahun ke tahun pada Julai, selepas turun 2.3 peratus pada Jun.
Jumlah jualan F&B dianggarkan $1.6 bilion, dengan urus niaga dalam talian merangkumi 20.9 peratus daripada keseluruhan jualan, naik daripada 20.4 peratus pada Jun.
