NTUC Enterprise mengumumkan persaraan pengerusi lembaganya, Encik Lim Boon Heng pada 30 Oktober.
Pengumuman dibuat dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 30 Oktober, kata NTUC Enterprise dalam satu kenyataan.
Encik Lim yang merupakan mantan menteri Kabinet akan menyerahkan kepimpinan kepada Encik Tan Hee Teck, mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Resorts World Sentosa (RWS), yang pelantikannya berkuat kuasa 31 Oktober.
Sementara itu Encik Lim mengakui pada 31 Oktober bahawa beliau “bertanggungjawab sepenuhnya” atas penarikan balik tawaran syarikat insurans Jerman Allianz untuk membeli Income Insurance.
Berucap pada EGM NTUC Enterprise pada 30 Oktober, Encik Lim melahirkan rasa kesal kerana perkongsian strategik itu gagal walaupun banyak masa dan usaha dicurahkan bagi menjamin masa depan Income.
“Malangnya, tawaran Allianz telah ditarik balik, dan saya bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.
Dalam mesyuarat itu, tokoh berusia 77 tahun itu mengumumkan persaraannya sebagai pengerusi NTUC Enterprise, syarikat induk kepada Income, selepas 13 tahun berkhidmat.
Encik Lim dan lembaga NTUC Enterprise mengakui tawaran Allianz boleh diuruskan dengan lebih baik, khususnya dari segi komunikasi dengan pihak berkepentingan dan kejelasan mengenai potensi memperkukuh daya tahan serta kecekapan modal.
NTUC Enterprise, katanya, akan memperbaiki proses dalaman dan komunikasi awam berdasarkan pengajaran ini.
Beliau menegaskan NTUC Enterprise sentiasa bertindak dengan niat baik dalam persyarikatan Income dan cadangan tawaran Allianz, sebagaimana disahkan oleh semakan undang-undang bebas.
Walaupun episod itu berakhir, masih banyak kerja perlu dilakukan untuk memastikan masa depan Income yang mampan.
Pada Julai 2024, Allianz mencadangkan pembelian pegangan majoriti dalam syarikat Income melalui perjanjian bernilai $2.2 bilion, tetapi perjanjian itu dibatalkan selepas lima bulan.
Pemerintah membatalkan penyatuan tersebut kerana kebimbangan terhadap struktur perjanjian dan keupayaan Income mengekalkan misi sosialnya.
Parlimen kemudian meluluskan pindaan Akta Insurans yang mewajibkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengambil kira pandangan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) bagi kelulusan insurans berkaitan koperasi.
Rancangan Allianz untuk mengurangkan modal dan memulangkan $1.85 bilion kepada pemegang saham menjadi isu utama yang menimbulkan persoalan mengenai gerakan koperasi Singapura.
Kisah Income-Allianz turut menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan kebertanggungjawapan.
Isu itu mencetuskan perbahasan hangat di Parlimen, dengan Anggota Parlimen (AP) mempersoalkan sama ada kepimpinan NTUC mengetahui rancangan tersebut.
Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Encik Desmond Tan, menjelaskan jawatankuasa pusat tidak dimaklumkan lebih awal dan keputusan operasi diserahkan kepada lembaga NTUC Enterprise.
Dalam ucapannya, Encik Lim berkata beliau rasa berbesar hati dapat berkhidmat dan memimpin NTUC Enterprise bersama pasukan yang berpengalaman dan bersemangat terhadap misi sosial NTUC.
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, menyifatkan Encik Lim sebagai “tokoh besar gerakan pekerja”.
Beliau mengimbas pengorbanan Encik Lim semasa Krisis Kewangan Asia 1997, apabila beliau meyakinkan pekerja menerima pengurangan sementara caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi menyelamatkan pekerjaan dan mengekalkan daya saing perniagaan.
Encik Lim berharap penggantinya, Encik Tan akan terus membawa NTUC Enterprise ke tahap baru.
Encik Tan, 69 tahun, berpengalaman luas dalam sektor awam dan swasta.
Beliau menerajui RWS sejak 2007, mengetuai kemenangan bidaan resort bersepadu di Sentosa, dan pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Genting Singapore.
Beliau juga berkhidmat dalam Lembaga CPF dan Majlis Gaji Kebangsaan (NWC).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg