Menjadi lebih terbuka kepada Pengaturan Kerja fFeksibel (FWA) boleh membantu syarikat menjadi lebih produktif, kata ahli panel dalam perbincangan meja bundar pada 19 Disember yang dikendalikan oleh The Straits Times (ST).
Di bawah garis panduan baru yang berkuat kuasa pada 1 Disember, semua majikan di Singapura, termasuk Syarikat Kecil dan Sederhana (SME), mesti mempertimbangkan permintaan rasmi daripada pekerja untuk FWA secara adil.
Satu kebimbangan majikan mengenai pelaksanaan FWA ialah syarikat akan menanggung beban kos, kata Cik Faith Li, Pengurus Besar, Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep), semasa perbincangan meja bundar ST mengenai FWA.
Perbincangan meja bundar itu dibentangkan oleh Tafep, bersama ahli panel lain dari Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP), Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (Asme) dan hotel Royal Plaza on Scotts.
Cik Li menambah bahawa majikan juga mungkin bimbang mereka tidak dapat melayani pelanggan dengan berkesan jika permintaan untuk FWA diterima.
Contoh pengaturan sedemikian termasuk kerja jarak jauh, waktu kerja berperingkat, kerja sambilan atau perkongsian kerja.
Ketua Eksekutif IHRP, Encik Aslam Sardar, berkata sebaliknya, kerja fleksibel harus dilihat sebagai peluang bagi pertubuhan menyelaraskan proses melalui penggunaan lebih banyak teknologi atau mengurangkan beberapa langkah dalam aliran kerja.
Garis Panduan Tiga Pihak bagi Permintaan Pengaturan Kerja Fleksibel (TG-FWAR) menetapkan norma dan jangkaan tentang cara kakitangan harus memohon dan menggunakan FWA secara bertanggungjawab, dan juga bagaimana majikan harus menilai sesuatu permintaan dan bertindak balas.
Di pihak mereka, pekerja harus membuat permohonan FWA rasmi mereka secara bertulis dan mengikut keperluan yang ditetapkan oleh majikan.
Garis panduan itu, yang terpakai kepada pekerja yang telah tamat tempoh percubaan, mengguna pakai takrif luas FWA di luar pengaturan tempat fleksibel, seperti kerja jarak jauh atau hibrid, yang dipopularkan oleh pandemik Covid-19.
Kumpulan kerja tiga pihak yang menghasilkan garis panduan itu bertujuan menggalakkan majikan, terutama SME dengan proses sumber manusia yang kurang maju, untuk mempertimbangkan pengaturan masa fleksibel dan beban kerja fleksibel juga.
Majikan tidak perlu mempertimbangkan permintaan FWA daripada pencari kerja.
Walau bagaimanapun, majikan masih boleh menyatakan pendekatan atau dasar FWA mereka dalam iklan pekerjaan dan temu duga.
Majikan tidak perlu bersetuju dengan setiap permintaan FWA, kata Cik Li.
Bagaimanapun, majikan perlu memasukkan sebab penolakan yang munasabah jika mereka berkata tidak.
Karyawan sumber manusia (HR) boleh membantu menjadi jambatan antara majikan dengan pekerja dalam menerangkan dasar HR pertubuhan, serta meyakinkan pekerja bahawa terdapat cara yang jelas untuk menilai prestasi dalam FWA yang telah dipersetujui, katanya.
Dengan garis panduan baru itu, banyak SME yang bercakap dengan Asme bimbang mereka akan dipaksa untuk memberi pekerja mereka FWA, kata seorang ahli panel, Encik Ang Yuit, presiden Asme.
Namun, ramai daripada mereka mendapati bahawa FWA adalah alat yang boleh menyokong mereka dalam interaksi yang lebih baik dengan kakitangan.
Cik Juliana Ong, Pengarah Kebudayaan dan Modal Insan, hotel Royal Plaza on Scotts, yang juga antara barisan ahli panel berkata hotel itu telah meraih manfaat daripada melaksanakan FWA selama lebih sedekad.
“Pada 2008, kami menghadiri pameran pekerjaan, dan kami bercakap dengan beberapa wanita yang ingin kembali bekerja,” kata Cik Ong.
“Kami menyedari bahawa apa yang diperlukan oleh kumpulan ini ialah pekerjaan dengan lebih kefleksibelan, itulah sebabnya kami memutuskan untuk melaksanakan pengaturan ini bagi memenuhi keperluan mereka,” tambahnya.
Untuk membantu majikan yang mungkin tidak mengikuti laluan FWA, Cik Li berkata terdapat garis panduan tiga pihak yang boleh dirujuk dan disesuaikan oleh majikan.
Perbincangan meja bundar itu, yang diadakan di SPH Media di Toa Payoh North, dikendalikan oleh Penolong Editor Perniagaan ST, Cik Joanna Seow.
“
... kami menghadiri pameran pekerjaan, dan kami bercakap dengan beberapa wanita yang ingin kembali bekerja. Kami menyedari bahawa apa yang diperlukan oleh kumpulan ini ialah pekerjaan dengan lebih kefleksibelan, itulah sebabnya kami memutuskan untuk melaksanakan pengaturan ini bagi memenuhi keperluan mereka.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg