Gaji sebenar pekerja di Singapura naik 0.4 peratus pada 2023, selepas mengambil kira inflasi, mengekalkan kadar pertumbuhan pada 2022.
Ini biarpun negara ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dan permintaan bagi buruh kian reda, ujar Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 25 Jun.
Gaji nominal, termasuk caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) majikan, pekerja tempatan sepenuh masa yang bekerja dengan majikan sama sekurang-kurangnya setahun naik 5.2 peratus pada 2023.
Ia tumbuh pada rentak lebih perlahan berbanding 6.5 peratus pada 2022, namun “masih lebih tinggi daripada julat yang dilihat pada tahun-tahun yang tidak menyaksikan kemelesetan”, kata MOM.
Ini berikutan pasaran kerja ketat dan bilangan pekerjaan kosong melebihi jumlah pencari kerja, menurut pengarah jabatan penyelidikan tenaga kerja dan statistik MOM, Encik Ang Boon Heng, sewaktu taklimat kepada wartawan di ibu pejabat MOM di Havelock Road pada 25 Jun.
Semua industri terus menyaksikan pertumbuhan gaji pada 2023, namun kadar kenaikan amnya lebih rendah daripada 2022 bagi semua sektor, tambah MOM.
Ini kecuali sektor perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, yang menyaksikan pertumbuhan gaji lebih tinggi sekitar 7.1 peratus pada 2023, meningkat daripada 5.2 peratus pada 2022.
Ia mencerminkan kesan Model Gaji Progresif (PWM), yang diperluaskan kepada mereka yang bekerja dalam peranan pentadbiran mulai Mac 2023. PWM membantu meningkatkan gaji pekerja melalui peningkatan kemahiran dan produktiviti.
“Seiring dengan perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) serta perdagangan runcit, gaji dalam industri ini dijangka terus berkembang dengan mantap pada tahun-tahun akan datang, di samping pengembangan PWM,” kata MOM lagi.
Pekerjaan dalam perkhidmatan kewangan serta maklumat dan komunikasi menyaksikan pertumbuhan gaji kukuh, masing-masing 7.6 peratus dan 6.2 peratus.
Perkhidmatan perkilangan dan pembinaan terus menyaksikan kenaikan gaji di bawah purata, iaitu sekitar 4 peratus bagi kedua-dua industri. Ini mencerminkan kelembapan dalam industri pengeluaran barangan, yang terus terjejas oleh halangan luar, seperti gangguan rantaian bekalan sejagat.
Ekonomi Singapura, bagaimanapun, dijangka bertambah baik pada 2024, dengan pertumbuhan diunjur antara 1.0 peratus dan 3.0 peratus.
Pasaran pekerjaan kekal sengit, dengan permintaan kukuh bagi karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) dalam sektor seperti maklumat dan komunikasi, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan profesional serta perkhidmatan kesihatan dan sosial.
“Perkembangan itu boleh merangsang pertumbuhan gaji lebih tinggi dalam sektor-sektor ini pada 2024 berbanding 2023.
“Namun, dengan persekitaran perniagaan tidak menentu, syarikat mungkin mengambil pendirian lebih berhati-hati berhubung kenaikan gaji,” ujar MOM.
Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Desmond Choo, berkata perniagaan Singapura perlu terus berusaha dari segi produktiviti.
“Hingga pertengahan 2024, pekerjaan kosong melebihi jumlah pencari kerja,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
“Ekonomi diramal masih dapat meningkat dengan lebih baik.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg