Meneruskan legasi menjahit selama tiga generasi bukan mudah, lebih-lebih lagi dengan peredaran zaman yang kurang menghargai seni jahitan.
Namun bagi usahawan perniagaan dari rumah (HBB), Cik Nur Atiqah Mohamed Rihat, 34 tahun, beliau menyesuaikan jenamanya, Sew Stitchez, dengan menawarkan sulaman yang disesuaikan dengan citarasa moden.
Beliau merupakan salah seorang pegerai di SELOKAL 2024, sebuah usaha yang menyokong perniagaan milik Melayu/Islam setempat anjuran Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) di Our Tampines Hub.
Acara tersebut berlangsung dari 29 November hingga 1 Disember.
Berkongsi pengalamannya dengan Berita Harian (BH), Cik Atiqah berkata SELOKAL adalah wadah yang baik untuk mempromosikan perniagaannya.
“Lokasi yang dipilih selalunya mempunyai ramai pengunjung,” katanya yang pertama kali menyertai SELOKAL.
Dengan penyertaannya itu, Cik Atiqah berharap ia dapat menarik lebih ramai orang untuk menghargai seni sulaman yang disesuaikan mengikuti citarasa dan keperluan.
“Kini, saya ingin mengembangkan lagi seni ini untuk memenuhi keperluan masyarakat yang berbeza,” ujar ibu empat anak yang berusia antara tiga dengan lapan tahun itu.
SELOKAL 2024 mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk menampilkan bengkel lukisan akrilik, penjualan makanan dan busana, serta realiti maya (VR).
Menyerikan acara itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, meluangkan masa mengenali peniaga Melayu/Islam yang menyertai SELOKAL 2024 dengan lebih dekat.
Beliau turut menyampaikan sijil penyertaan kepada mereka.
Menerusi laman Facebook beliau, Encik Masagos berkata DPPMS terus memainkan peranan penting untuk memperkasa perniagaan setempat seperti memberikan mereka wadah untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan unik mereka.
“SELOKAL bukan sahaja mengeratkan semangat kemasyarakatan, malah mengukuhkan ekonomi dengan mempromosikan barang buatan tempatan dan menawarkan peluang kepada usahawan kita untuk mengembangkan karya mereka.
“Saya memuji usaha DPPMS dalam menyokong usahawan, menyediakan peluang untuk mereka berkembang, menjalin rangkaian dan mencapai tahap kejayaan yang lebih tinggi dalam pasaran Singapura,” ujarnya.
Beliau turut menggalak orang ramai terus menyokong perniagaan tempatan kerana dengan memilih untuk membeli barangan tempatan, mereka juga dapat menyumbang kepada perkembangan dan kejayaan perusahaan kecil dan sederhana.
Timbalan Presiden DPPMS merangkap presiden pusat syarikat kecil dan sederhana (SME) DPPMS, Encik Azhar Othman, berkata peserta SELOKAL dapat mendedahkan perniagaan mereka melalui interaksi langsung dengan pengunjung di samping mengukuhkan reputasi perniagaan mereka dengan sijil yang diberikan.
“Yang lebih penting, acara ini menyediakan wadah untuk membina hubungan perniagaan baru melalui peluang menjalin rangkaian, yang dapat mengeratkan lagi hubungan dalam masyarakat perniagaan,” katanya.
Edisi SELOKAL kali ini turut menampilkan peniaga seperti Cik Eka Rohmini Suli Rojis dan suami, Encik Muhammad Rauf Razali, kedua-duanya 38 tahun, yang pernah menyertai acara itu sebelum ini.
Mereka kembali untuk memberi inspirasi kepada peniaga HBB lain dan mendapatkan panduan pengurusan perniagaan.
Cik Eka, pemilik bersama Panna Cotta By Rohmini, bermula dari rumah pada 2022 dan kini memiliki dapur sendiri untuk menyediakan hidangan Panna Cotta.
“Saya suka hubungan kuat DPPMS dengan masyarakat... ia memberi saya keinginan untuk menyumbang dan memberi inspirasi dalam perniagaan,” kata ibu empat anak berusia empat hingga 10 tahun itu.
Cik Eka turut menambah bahawa SELOKAL memberi peluang kepada mereka untuk mendapat nasihat perniagaan seperti cara menetapkan harga penghantaran makanan dan penjenamaan semula perisa Panna Cotta agar lebih sesuai dengan citarasa masyarakat Melayu.
Selain itu, SELOKAL 2024 juga memberi peluang kepada peserta bagi Program Elevate Your Home-Based Business Journey, sebuah kerjasama antara Akademi DPPMS dengan Masjid Maarof, untuk menubuhkan sebuah reruai di SELOKAL.
Reruai tersebut menampilkan empat peserta termasuk Cik Rosnawati Mohamed Zain, yang menjual produk jamu tradisional.
Beliau yang mengikuti program enam minggu di Masjid Maarof berkata program tersebut membantunya memperbaiki cara penjualan dan mendapatkan keuntungan secara terperinci.
“Akademi DPPMS benar-benar fokus untuk membawa kita ke hadapan, bukan sahaja bagi produk bukan makanan, tetapi juga HBB yang memasak di rumah.
“Wadah DPPMS juga membantu kami untuk berhubung dengan peniaga lain dan belajar daripada pengalaman mereka, seperti cara mereka menjual dan berinteraksi dengan pelanggan” ujar ibu empat orang anak itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg