Metro akan menutup gedung serbanekanya di Paragon dan Causeway Point, apabila tempoh pajakan kedua-dua cawangan itu tamat, ekoran semakan strategik terhadap perniagaan runcit kumpulan itu.

Tiada garis masa diberikan mengenai bila tamatnya tempoh pajakan itu.

Dalam pemfailan kepada Bursa Saham SGX pada 20 Julai, syarikat tersenarai di papan utama itu menyatakan ia sedang “menilai pelbagai format runcit lain, termasuk kedai lebih kecil, kedai berkonsep pelbagai kepakaran, pengalaman runcit terpilih dan inisiatif kedai ‘pop-up’.

Metro menambah pihaknya sedang berbincang dengan pemilik hartanah semasa, serta pemilik hartanah lain, bagi memperkenalkan kedai berkonsep baharu itu.

Ia berhasrat beralih secara berperingkat daripada model gedung serbaneka besar, kepada model yang lebih fleksibel, selaras dengan perubahan cita rasa pelanggan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CE), Encik Yip Hoong Mun, berkata strategi runcit baharu kumpulan itu “direka untuk memenuhi jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah, di samping memberi lebih ruang untuk memperkenalkan konsep, jenama dan kerjasama baharu”.

Metro sedang memuktamadkan garis masa strategi runcit baharu serta menilai kesan kewangan yang masih belum dapat dianggarkan.

Namun, syarikat itu tidak menjangkakan peralihan tersebut akan memberi kesan terhadap aset bersih atau pendapatan sesaham bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2027.

CapitaLand Integrated Commercial Trust yang melengkapkan pengambilalihan Paragon pada 1 Julai, berkata dalam satu kenyataan bahawa pihaknya merancang menyusun semula beberapa kawasan di pusat beli-belah tersebut.

Langkah itu bertujuan memperkukuh campuran penyewa, serta memperkenalkan konsep dan pengalaman baharu, termasuk ruang Metro kini.

Pemilik Causeway Point ialah Frasers Centrepoint Trust.

Metro menyatakan langkah itu akan meletakkannya pada kedudukan yang lebih kukuh untuk menyesuaikan perniagaan dengan perubahan cita rasa pengguna, dalam sektor runcit Singapura yang terus menghadapi persekitaran operasi yang mencabar, sedang sentimen pengguna terus tertekan akibat inflasi.

Dalam pembentangan keputusannya bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac lalu, Metro berkata jualan runcit dijangka terus lembap hingga menjejas prestasi cawangan di Paragon dan Causeway Point, serta wadah dalam taliannya.

Peruncit itu, yang turut mempunyai perniagaan hartanah, sebelum ini melaporkan bahawa jualan lebih lemah di kedua-dua gedung serbaneka itu telah mengurangkan hasil penjualan kumpulan, dan menyebabkan kerugian dalam tahun kewangannya.